Kita Tak Perlu Hantar Borang Cukai Pendapatan Kalau…

PCB Sebagai Cukai Muktamad

Jangan salah faham. Artikel ini bukan nak kata kita dah tak perlu hantar borang cukai. Jika gaji kasar korang lebih RM2,800 dan ada penolakan PCB (Potongan Cukai Bulanan) setiap bulan sila teruskan membaca.

Tahu tak bermula tahun 2015 individu yang bekerja boleh memilih sama ada nak menghantar borang cukai (e-filing) atau sebaliknya. Ini adalah hasil pengenalan konsep Potongan Cukai Berjadual (PCB) sebagai cukai muktamad.

Dalam konteks PCB sebagai cukai muktamad, setiap pembayar cukai boleh melakukan pengiraan sendiri pada 31 Disember setiap tahun. Kalau amaun dikira adalah tepat maka seseorang itu boleh memilih PCB sebagai cukai muktamad (dan tak perlu hantar e-filing).

Bahasa mudahnya, kalau dah potong PCB bulan-bulan kita boleh tak hantar borang cukai, asalkan memenuhi syarat.

Bagaimanapun, kalau amaun PCB dipotong lebih rendah berbanding cukai dikira atau amaun PCB lebih tinggi, maka dinasihatkan supaya isi borang cukai seperti biasa.

Apa itu Potongan Cukai Bulanan sebagai Cukai Muktamad (PCB Cukai Muktamad)?

PCB sebagai Cukai Muktamad membenarkan pembayar cukai yang layak untuk tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Siapa yang layak untuk tidak hantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang BNCP)?

Individu yang layak adalah:

1. Mempunyai satu punca pendapatan sahaja iaitu pendapatan penggajian di bawah seksyen 13 ACP 1967. Walau bagaimanapun sekiranya individu menerima pendapatan penggajian bersama manfaat berupa barangan atau nilai tempat kediaman, individu itu perlu kemukakan BNCP;

Contoh : Jika bekerja makan gaji dan majikan beri kemudahan sebuah kereta untuk kegunaan adalah contoh manfaat berupa barangan (MBB). Maka korang tak memenuhi kriteria PCB Cukai Muktamad.

Contoh : Jika bekerja makan gaji tetapi ada pendapatan lain seperti sewa atau komisen juga kira ada lebih satu punca pendapatan. Maka korang tak memenuhi kriteria PCB Cukai Muktamad.

2. PCB dipotong mengikut KKCP (Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan);

Maksudnya potong PCB ikut jadual yang ditetapkan dan tak skip-skip.

3. Berkhidmat selama 12 bulan dalam tahun taksiran dengan majikan yang sama;

Contoh : Fattah bekerja dengan Sykt Boniasara selama 12 bulan (Jan – Dec 2016). Dia kemudian bekerja dengan Sykt Padinini (Jan 2017). Maka Fattah tergolong dalam kriteria berkerja dengan satu majikan dalam tempoh asas.

4. PCB tidak ditanggung oleh majikan dalam tahun taksiran tersebut; dan

5. Suami atau isteri tidak membuat pilihan untuk ditaksir bersama di bawah seksyen 45 ACP 1967.

Menurut sumber yang dipercayai, susah nak jumpa suami isteri buat taksiran bersama zaman hipster ni atas banyak sebab. Jadi kalau buat taksiran berasingan memenuhi kriteria PCB Cukai Muktamad.

Adakah pembayar cukai perlu mengemukakan borang BNCP sekiranya tidak memenuhi kriteria-kriteria PCB Cukai Muktamad?

Ya. Layanan ini tidak terpakai kepada pekerja berikut:

1. Bekerja dengan lebih daripada satu maijikan;

2. Tempoh penggajian kurang daripada 12 bulan (Januari – Disember);

3. Cukai ditanggung oleh majikan;

4. Taksiran Bersama;

5. Mempunyai saraan Manfaat Berupa Barangan (MBB) dan Nilai Tempat Kediaman (NTK); atau

6. Pembayar cukai yang ingin menuntut bayaran balik atau menuntut pelepasan atau rebat.

Contohnya umat Islam yang membayar zakat perlu menghantar borang cukai bagi membolehkan bayaran zakat terbabit diambil kira dalam pengiraan cukai.

 

Mana Lebih Bagus? Hantar Borang atau Pilih PCB Cukai Mukatamad?

Pilihan di tangan anda, secara logiknya hantar borang lebih bagus sebab macam-macam pelepasan boleh kita tuntut. Silap haribulan dapat lebihan baki cukai (refund) sebab terlebih bayar PCB.

 

Rujukan : Soalan Lazim PCB Sebagai Cukai Muktamad, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Boleh juga rujuk berita Harian Metro berhubung perkara ini.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend