Tips Membuat Rayuan Terhadap Taksiran Cukai LHDN

Anda rasa tidak puas hati dengan cukai yang dikenakan? Rasa macam taksiran tersebut ada kesilapan? Bawa bertenang, kami ingin kongsikan bagaimana cara untuk anda membuat rayuan terhadap taksiran cukai yang dikenakan.

Sebelum ini, kami ada kongsikan 22 Cara ‘Elak’ Daripada Kena Bayar Cukai Pendapatan Secara Sah. Tapi kalau pihak LHDN masih mengenakan taksiran cukai kepada anda, begini caranya untuk anda respons kepada mereka.

Rayuan Perlu Dibuat Dalam Masa 30 Hari

Sebaik saja anda menerima Notis Taksiran, anda ada masa 30 hari untuk membuat rayuan. Rayuan boleh dibuat dengan mengisi Borang Q dan terus hantar ke cawangan LHDN. Ingat, bukan dihantar ke sebarang cawangan ya, ianya perlu dihantar ke cawangan fail cukai anda dikendalikan.

Borang Q

Sumber: Muat Turun Borang CP 14 – Pin1/2009

Di dalam Borang Q tersebut, lengkapkan beberapa perkara seperti tarikh, taksiran cukai yang dipertikaikan dan juga alasan terhadap jumlah cukai yang dipertikaikan.

Alasan yang dibuat hendaklah lengkap dan mengandungi maklumat seperti mengapa anda tidak bersetuju dengan taksiran yang dikenakan. Sekiranya anda ada bukti yang kukuh, boleh sertakannya sekali. Anda boleh kemukakan apa saja bukti dan kertas sokongan bagi memberi justifikasi terhadap rayuan.

Contoh bukti ialah seperti lejar akaun anda, invois jualan, rekod atau dokumen lain yang berkaitan dengan isu yang dipertikaikan.

Hasil daripada kertas sokongan tersebut akan membolehkan pihak LHDN mengurangkan taksiran anda atau mungkin juga dapat melepaskan daripada taksiran terus.

Yang penting, bukti kena power! Ketika proses ini, ianya seolah-oleh proses rundingan atau proses bargaining, di mana pihak anda dan LHDN akan cuba berbincang bagi mendapatkan taksiran yang adil dan saksama. Namun, proses rundingan ini adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai.

Walaubagaimanapun, sekiranya tiada kata putus berjaya dicapai di antara kedua-dua pihak dan bagi memberi keadilan kepada anda sebagai perayu, rayuan tersebut akan dimajukan ke Mahkamah Cukai yang dikenali sebagai Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan yang bertempat di Kementerian Kewangan Putrajaya.

Di sini, suasananya sama seperti di mahkamah. Ada panel hakim seramai 3 orang, ada jurubahasa dan juga ada kandang saksi. Sebagai Perayu, anda dikehendaki menyediakan Petisyen Rayuan.

Prosesnya dan suasananya saling tak ubah seperti di Mahkamah. Jadi, siapkan Petisyen Rayuan anda sebaik-baiknya. Anda boleh melantik peguambela mahupun agen cukai yang berpengalaman bagi mewakili kes ini.

Apabila semua kertas kausa (kertas berkaitan prosiding mahkamah) telah lengkap,  Mahkamah kemudianya akan menetapkan tarikh bicara.

Di hari perbicaraan kelak, kedua-dua pihak akan berhujah bagi menentukan taksiran yang sebenar dan Mahkamah akan menetukan keputusan akhir. Sekiranya mana-mana pihak berasa tidak puas hati dengan keputusan, maka rayuan selanjutnya boleh dibuat di Mahkamah Tinggi.

Guna Borang N Jika Tidak Sempat Masukkan Borang Q Dalam Tempoh 30 Hari

Andai kata anda terlepas tempoh 30 hari dari tarikh taksiran, anda masih lagi boleh membuat rayuan dengan menggunakan Borang N.

Sumber: Muat Turun Borang CP 15 – Pin.1/2009

Di Borang N, nyatakan alasan mengapa dan bagaimana anda boleh terlepas untuk memfailkannya dalam masa 30 hari. Pemohon perlu memberikan alasan yang kukuh mengapa mereka lambat dan perlu diberikan bukti yang kukuh.

Sebagai contoh, sekiranya anda berada di luar negara, terlibat dengan bencana alam seperti banjir, dan alasan lain yang sah dan munasabah. Sekiranya berada di luar n,egara boleh ditunjukkan bukti anda ke luar negara dengan memberikan salinan pasport.

Borang-borang ini semuanya boleh diperolehi daripada laman web LHDN. Sekiranya permohonan Borang N ini berjaya, anda sekali lagi akan mendapat masa 30 hari untuk memfailkan rayuan terhadap taksiran yang dipertikaikan itu. Kelulusan rayuan tu dah dapat, jangan pula anda tak buat rayuan dalam masa yang ditetapkan pula.

Ditulis oleh Zairul Izzain, beliau pernah berkhidmat sebagai peguam di sektor kerajaan dan swasta. Kini melepaskan dunia kepeguaman dan melibatkan diri secara sepenuh masa sebagai seorang ejen takaful.

Beliau berazam untuk mengubah mindset masyarakat bahawa Takafulism bukan sekadar medical card saja malah mencakupi aspek dunia dan akhirat.

Layari www.zairulizzain.com untuk maklumat lanjut.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend