Danamodal, Danaharta dan CDRC Pernah Digunakan Untuk Memperbaiki Sistem Kewangan Negara

Ada yang kata Malaysia sedang berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, tapi bukan Malaysia saja yang kena. Satu dunia sedang berdepan dengan ketidaktentuan ini, termasuklah kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat.

Kalau nak tahu lebih lanjut mengenainya, boleh baca Prestasi Saham Wall Street Merudum? Tiga Faktor Ekonomi Amerika Syarikat Yang Anda Perlu Tahu. Dan khabarnya dunia sedang menuju krisis ekonomi yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi, atau telah pun bermula samada kita sedar atau pun tidak.

Jadi apakah yang boleh Malaysia lakukan untuk menanganinya?

Jom kita dengar perkongsian daripada Tuan Nik Hasyudeen mengenai topik hangat ini. Sebelum kita mulakan bicara, jom berkenalan dengan tuan punya badan tersebut.

Sumber: Bank Islam

Memang bukan calang-calang orang Tuan Nik Hasyudeen ni, beliau adalah merupakan pengarah bagi beberapa syarikat besar tanahair.

Berpengalaman Luas Semasa Berlakunya Krisis Sebelum Ini

Sesiapa yang sudah akhir baligh semasa Krisis Kewangan Asia di akhir 90an tentu boleh ingat 2 institusi kembar yang ditubuhkan untuk memperbaiki semula sistem kewangan negara.

Danamodal untuk mempermodalkan bank-bank yang sudah kekeringan modal dan Danaharta untuk membeli peminjam-peminjam yang mungkir dengan bank-bank mereka dan cuba menyelamatkan syarikat dan individu ini.

Apakah hasilnya?

Sistem Kewangan Negara Mampu Dipulihkan

Pasaran modal kemudiannya diubah bentuk dengan pewujudan pasaran bon dan sukuk agar bank-bank bukan satu-satunya pihak yang membiayai projek-projek besar. Kalau penerbit bon atau sukuk hangus, bank-bank kita tidak terusik.

Ada juga “Corporate Debt Restructuring Committee” (CDRC) yang disokong oleh Bank Negara untuk menjadi orang tengah di dalam penyusunan semula hutang-hutang korporat yang terbabit dengan lebih dari satu bank.

Bila ekonomi dan pawasan kewangan sudah pulih, Danamodal, Danaharta dan CDRC ditutup. Penutupan ini melambangkan mereka sudah berjaya. CDRC bagaimana pun diwujudkan semula ketika krisis kewangan dunia di sekitar tahun 2009. Ini adalah kerana peminjam besar kadang-kadang perlu menyusun semula hutang mereka dengan bank-bank. Sehingga kini, saya salah seorang ahli CDRC.

Bila Satu Institusi Besar Menghadapi Masalah Kewangan, Perlu Ada Penyelesaian

Memindahkan harta ke satu badan lain adalah cara yang ternyata berjaya. Yang penting operasi dan perniagaan harus terus berjalan dan kepentingan pendeposit atau pihak lain terjamin.

Saya nasihatkan orang yang menjadi akauntan segera seminggu dua ini mengkaji model Danamodal dan Danaharta. Faham betul-betul dan kemudian kaji balik komen-komen yang sudah kita buat. Bagi akauntan betul-betul yang menimbulkan isu perakaunan kreatif (creative accounting) boleh juga tengok hasil dari kerja-kerja di antara bank-bank, Danamodal dan Danaharta. Siapa yang akhirnya mendapat manfaat?

Sebelum saya lupa, Datuk Sri Zukri tu bukan sahaja pernah menjadi pengarah urusan bank, dia juga pernah jadi pengarah urusan Danaharta.

Hasil dari segala usaha di atas yang dirancang dan diselia oleh Bank Negara, pasaran kewangan pulih dan menjadi semakin mantap. Kita telah mengharungi beberapa krisis kewangan dunia dengan tapak yang ternyata lebih kukuh.

Ini masih dirasai sekarang yang membolehkan kita berkongsi apa saja di media sosial mengikut selera dan nafsu kita. Cuba ikut cadangan saya di atas dengan mengkaji Danamodal, Danaharta dan peranan Bank Negara.

Sumber: FB Nik Hasyudeen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

BNM Ambil Pendekatan Berhemat Tangani Risiko Keberhutangan Isi Rumah Tinggi

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) — Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil pendekatan berhemat dan berhati-hati dalam menangani risiko keberhutangan isi rumah bagi memastikan perkara itu tidak menimbulkan kesan negatif kepada kestabilan sistem kewangan negara.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata kerajaan sedar mengenai risiko keberhutangan isi rumah yang tinggi, justeru pendekatan yang lebih mampan akan dilaksanakan.

“Oleh yang demikian, kerajaan sedang melaksanakan reformasi dan perubahan struktur terhadap ekonomi domestik berteraskan Kerangka Ekonomi MADANI supaya daya saing dan prestasi ekonomi negara dapat dipertingkatkan.

“Melalui usaha ini, pendapatan serta kesejahteraan rakyat akan dapat dipertingkatkan seterusnya membantu untuk mengurangkan peratusan hutang isi rumah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai dasar dan usaha kerajaan untuk mengurangkan peratusan hutang isi rumah.

Lim berkata antara usaha berterusan kerajaan termasuk melaksanakan Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab sejak 2012 untuk memastikan individu meminjam mengikut kemampuan membayar balik pinjaman dalam tempoh yang ditetapkan untuk mengelakkan bebanan hutang berlebihan.

“Kedua, meningkatkan tahap celik kewangan rakyat menerusi Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) agar pengguna perkhidmatan kewangan mempunyai keupayaan dan keyakinan untuk membuat keputusan kewangan yang baik,” katanya.

Beliau berkata usaha lain ialah menggalakkan isi rumah yang ingin membuat keputusan kewangan yang besar seperti pembelian rumah untuk mengikuti program pendidikan kewangan secara talian yang disediakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Beliau berkata pada akhir 2023, jumlah hutang isi rumah secara agregatnya berjumlah RM1.53 trilion.

Sebahagian besar hutang isi rumah digunakan bagi tujuan pengumpulan harta yang merangkumi pinjaman perumahan (60.5 peratus), pembelian harta bukan kediaman (5.3 peratus), dan pembelian sekuriti (4.3 peratus), katanya.

Beliau berkata manakala baki 29.9 peratus pula bagi tujuan perbelanjaan seperti pinjaman untuk pembelian kenderaan (13.2 peratus), pembiayaan peribadi (12.6 peratus) dan kad kredit (3.0 peratus).

Lim turut berkata isi rumah yang mempunyai masalah pengurusan kewangan dan hutang digalakkan untuk mendapatkan nasihat dan perkhidmatan penyusunan semula hutang daripada pihak bank dan AKPK.

Beliau berkata pada masa ini, kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk membenarkan isi rumah mengeluarkan wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mengurangkan beban keberhutangan isi rumah.

“Pada masa sekarang, sesiapa yang menghadapi masalah memulangkan hutang isi rumah ini, kami galakkan mereka tampil kepada kita, terutama melalui AKPK untuk menyelesaikan atau menstrukturkan semula  kewangan supaya mereka boleh mengatasi keadaan kewangan.

“Kerajaan akan cuba membantu sebab setiap individu itu, keadaannya berlainan. Jadi, kita berharap mereka akan tampil ke hadapan dan kita akan memberikan nasihat yang sewajarnya,” katanya.

— BERNAMA