“Faraid Kan Ada, Apa Gunanya Buat Wasiat?” Fahamkan Dulu 5 Perkara Ini

“Ish, tak payahlah nak sebut-sebut pasal wasiat ni. Aku muda lagi. Lagipun, bukannya aku ni banyak harta. Kalau mati esok pandai-pandailah, hukum faraid kan ada.”

Jika faraid ada, kenapa selalu sangat kita dengar drama pergaduhan di kalangan ahli keluarga yang meninggal dunia?

Persepsi ramai wasiat hanya perlu dibuat apabila kita berada di hujung usia atau diambang kematian. Ada yang hanya mula buat wasiat bila mereka nak pergi menunaikan haji. Menurut Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), 90% umat Islam tidak membuat wasiat kerana tidak tahu kepentingan wasiat dan sikap suka menangguh-nangguhkan urusan berkaitan harta pusaka yang bakal ditinggalkan.

Hakikatnya, semua umat Islam yang berusia 18 tahun ke atas, sempurna akal, sukarela, tidak dihalang mengurus hartanya, waras fikiran, baik ingatan dan memahami wasiat dibuat adalah digalakkan untuk meninggalkan sebarang bentuk wasiat bertulis atau yang boleh disahkan.

Berikut adalah sebab-sebab digalakkan berwasiat.

1. Faraid Adalah Kaedah Pengagihan, Bukan Pentadbiran

Pertama sekali, perlu diingat bahawa faraid hanyalah kaedah pengagihan harta, di mana ia hanya boleh bermula setelah segala proses pentadbiran selesai.

Jika arwah tidak membuat apa-apa dokumetasi untuk lantikan Wasi (pemegang amanah), maka waris-waris perlu bersepakat untuk melantik salah seorang daripada mereka. Hal ini bukanlah semudah yang disangka. Sekalipun tidak wujud sebarang pertelingkahan di kalangan ahli keluarga, ia mungkin melibatkan kos guaman tertentu yang boleh menelan belanja ribuan ringgit, terutamanya jika harta tersebut tinggi nilainya.

Maka, proses pentadbiran inilah yang selalunya mengambil masa kerana ia agak rumit. Malah, ia boleh menjadi lebih rumit sekiranya tiada pengalaman, pengetahuan, dan kerjasama di kalangan pewaris.

2. Melunaskan Hutang & Tanggungjawab Syarie

“Macam mana pula kalau saya ada hutang?

Banyak mana pun kita berhutang, masukkan semua maklumat itu dalam wasiat. Hutang dengan bank ada hitam putihnya, tetapi hutang sesama kawan atau ahli keluarga mungkin lebih sulit untuk diuruskan sekiranya tidak ditinggalkan wasiat. Walaupun berapa pun jumlah hutang, hukum bagi menjelaskan hutang tersebut tetap tidak berubah dan WAJIB dibayar. Siapa pemberi hutang dan jumlah hutang perlulah dijelaskan kepada pewaris.

Menurut JAWHAR, sungguhpun hukum berwasiat adalah bergantung kepada keadaan, namun ia boleh menjadi wajib apabila melibatkan hutang atau wadiah sekiranya pemilik sebenar tidak dikenali oleh orang lain.

Selain itu, seseorang juga perlu berwasiat jika terdapat tanggungjawab syarie yang masih belum dilaksanakan seperti zakat dan haji, di mana dia bimbang harta berkenaan habis jika tidak diwasiatkan.

3. Menjamin Kebajikan Keluarga

Pentingnya melantik Wasi (pemegang amanah) melalui wasiat adalah supaya mereka dapat bertindak sebagai seseorang yang boleh dipercayai dalam menguruskan dan mempercepatkan proses tuntutan harta pusaka. Mereka inilah yang akan menjalankan tugas bagi pihak kita apabila kita sudah tiada nanti.

Sebagai contoh wasi inilah yang akan ke bank-bank untuk tutup akaun dan keluarkan wang dari akaun tersebut.

Selain itu, perkara-perkara lain juga boleh dinyatakan di dalam dokumen wasiat seperti cara pembahagian harta pusaka, perlantikan penjaga sah anak di bawah umur 18 tahun, peruntukan perbelanjaan sara hidup dan pendidikan anak. Malah, bagaimana cara sesuatu perniagaan akan diwariskan juga boleh dinyatakan di dalam dokumen wasiat.

4. Mempercepatkan Urusan

Menurut sumber, secara purata, seseorang telah mempunyai dokumen wasiat akan melalui proses pentadbiran pusaka yang lebih lancar dan hanya akan mengambil masa di antara 6 bulan hingga 1 tahun sahaja. Sebaliknya, ia akan memakan masa antara 3 hingga 5 tahun atau lebih daripada itu jika tidak diwasiatkan.

Bayangkan nasib ahli keluarga yang ditinggalkan seperti isteri tidak bekerja, anak-anak yang masih belum cukup umur atau ibu bapa uzur dan tua. Jika ia tidak dikendalikan oleh pihak yang jujur, mungkin akan berlaku unsur penganiayaan terhadap mereka.

5. Dapat Melakukan Amal Jariah

Amal jariah adalah salah satu daripada perkara yang dapat memberi pahala berterusan sekalipun setelah kita meninggal dunia.

Menurut hukum Islam, seseorang boleh menyalurkan tidak lebih daripada 1/3 daripada hartanya untuk tujuan wakaf, membantu orang miskin, anak angkat, atau apa saja tujuan kebajikan. Hukumnya sunat jika diberikan kepada orang yang memerlukan, manakala harus jika ia diberikan kepada sahabat handai atau orang kaya yang bukan dari golongan berilmu dan beramal soleh.

Wasiat Bukanlah ‘Pengganti’ Faraid

Benar, faraid itu ada dan ianya digunapakai semasa proses mengagihkan harta pusaka. Namun, penyediaan dokumen berkaitan wasiat, hibah, amanah dan wakaf bukanlah perkara mudah yang boleh disediakan oleh sesiapa sahaja. Di Malaysia, terdapat beberapa institusi amanah yang berdaftar seperti Majlis Agama Negeri, Baitulmal, peguam-peguam, atau ejen amanah yang diiktiraf dan mahir dalam bidang ini untuk menyempurnakannya.

Maka, jika dilihat secara menyeluruh, berwasiat ini bukanlah semata-mata untuk kepentingan ahli waris saja tetapi sebenarnya manfaatnya adalah lebih untuk diri sendiri.

Jadi, jangan bertangguh lagi. Kita senang waris pun tak pening.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend