Gaji RM3,500 – Logik Ke Boleh Simpan RM1,500?

Baru-baru ini, kami ada terbaca satu posting yang memaparkan realiti kehidupan anak muda pada hari ini. Artikel bertajuk Gaji RM3,500 Untuk Fresh Grad Sudah Tidak Relevan Lagi?

Kami simpulkan artikel tersebut seperti di bawah:

Belanjawan Bulanan

Gaji: RM3,500

KWSP: RM350

Kereta: RM1,077

Sewa Bilik: RM400

Makan Minum: RM1,000

Telefon Bimbit: RM100

Bersuka-ria hujung minggu: RM200

Keperluan Peribadi: RM100

Jumlah Perbelanjaan: RM 3,227

Baki Perbelanjaan: RM273

Ini saya belum agihkan duit gaji saya untuk takaful diri, takaful kereta, duit belanja untuk mak ayah, duit percutian, duit nak balik kampung dan paling penting duit simpanan kahwin. Eh, lepas kahwin nak kena beli rumah kan?

Nampak sesuatu tak di atas? Macam ada benda yang tak kena je kan?

Perbelanjaan yang paling besar adalah kereta, iaitu 30% daripada gaji kasar.
Jom kita perhalusi yang ini dulu:

Penulis berkata bahawa beliau memilih untuk membeli kereta Myvi 1.3 Std G Metallic yang berharga sekitar RM 44,000 sahaja. Diambil pula skim graduan loan 100% dengan berhutang selama 9 tahun, cuma perlu bayar RM527 setiap bulan. Ditambah pula duit tol untuk sebulan RM50, duit minyak dalam RM200, kos penyelenggaraan kereta sekitar RM 00 dan bayar parking sebulan dalam RM 200.

Pertama sekali, kos pemilikan kereta memang sangat besar dan memerlukan komitmen selama 9 tahun pula tu. Biasalah, baru saja mula kerja mesti nak bergaya dengan kereta baru. Tapi tabiat buruk inilah yang akan menyusahkan kehidupan anda pada masa akan datang.

Ada beberapa cara lain untuk tidak membeli kereta seawal fresh grad:

1. Tinggal Berdekatan Dengan Tempat Kerja

Cuba cari kediaman yang berdekatan dengan tempat kerja. Dengan kadar sewa RM400 yang sama, banyak pilihan untuk anda menyewa bilik di apartmen sekitar Lembah Klang (jika anda bekerja di Lembah Klang). Mungkin anda perlu bayar sewa sedikit tinggi, tapi anda dapat jimat banyak dari segi pengangkutan.

2. Ambil Pengangkutan Awam

Dengan adanya MRT yang baru siap, pilihan anda untuk mengambil pengangkutan awam lebih mudah. Dan pilihan kediaman juga lebih mudah, kerana lebih banyak apartmen yang terletak berhampiran dengan LRT, MRT, Komuter dan seangkatan dengannya.

3. Berkongsi Kereta Ke Tempat Kerja

Beberapa tahun dahulu, banyak kempen dijalakkan untuk menggalakkan perkongsian kereta dengan beberapa kempen kesedaran. Namun, ianya tidak bertahan lama kerana anda perlu berusaha sendiri untuk mencari pemandu yang anda boleh berkongsi kereta dengan mereka.

Dengan kemudahan teknologi yang ada kini, aplikasi-aplikasi seperti Wunder, Droupr dan Carpool World Malaysia; telah memudahkan anda untuk mencari pemandu untuk ke tempat kerja. Cubalah.

Daripada membelanjakan 1/3 daripada gaji kepada sesuatu yang susut nilainya, mengapa tidak gunakan 1/3 gaji tersebut untuk membeli rumah? Kan lebih elok tu?

Perbelanjaan kedua terbesar pula merupakan Makan & Minum iaitu sebanyak RM1,000 sebulan.

Berikut merupakan hujah penulis:

Makanan di kawasan Kuala Lumpur mahal. Sekali makan boleh cecah RM 10. Tu kalau makan dekat foodcourt. Kalau makan Nandos, Kenny Rogers, Chicken Rice Shop mesti dah lebih RM 10.

Sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Belum campur lagi kalau kawan ajak lepak kedai mamak waktu malam. Kalau sehari belanja makan RM 30 sebulan dah cecah RM 900. Kalau terlebih … ? Hm…

Tidak dinafikan makanan & minuman adalah sangat penting dan tidak sewajarnya dipotong. Namun anda boleh mengubah tabiat dengan hanya order air kosong atau air suam setiap kali hendak makan. Malah ianya lebih sihat jika diamalkan selalu.

Tak salah untuk reward diri sendiri untuk makan di tempat yang mahal sekali-sekala. Nak makan Nandos ke Kenny Rogers ke Chicken Rice Shop ke boleh, tapi cuba hadkannya sekali seminggu / sebulan sahaja.

Cara yang lain, cuba anda cari tips untuk menyediakan sarapan atau makan tengah hari yang ringkas, ada yang boleh siap dalam masa 5 minit; tak kurang juga yang ambil masa 10 minit untuk siap. Lepas tu, makan bersama-sama dengan rakan-rakan lain di pejabat pada waktu rehat.

Kenapa perlu membazir waktu 10 minit untuk pergi ke tempat makan untuk berbelanja lebih, dan juga untuk melepak bersama rakan sepejabat yang anda jumpa hari-hari di tempat kerja?

Percayalah, kalau anda dapat tackle dua perbelanjaan besar ini; banyak perubahan yang anda akan alami. Apa guna gaji RM3,500 sebulan, kalau tak dapat menyimpan RM1,500 setiap bulan. Anda hanya perlu adjust sedikit perbelanjaan, insyaAllah dah boleh.

Rujukan: FB Savwee Investment

Previous ArticleNext Article

Tawaran Gaji Rendah Punca Graduan Enggan Bekerja Dalam Sektor Kemahiran -MITI

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) — Penawaran gaji yang rendah menjadi punca kekurangan tenaga mahir tempatan terutama daripada kalangan lepasan pengajian tinggi, walaupun permintaan dari pihak industri terus meningkat, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata berdasarkan laporan statistik suku tahun yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Buruh Malaysia (MBLS), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terdapat 49,500 kekosongan jawatan berkemahiran tinggi bagi sektor pembuatan pada suku kedua 2023.

Beliau berkata selain itu, data pada suku ketiga 2023 daripada Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) melaporkan terdapat sebanyak 22,248 kekosongan pelbagai jawatan bagi industri profesional, saintifik dan teknikal, melibatkan 5,734 syarikat tempatan.

“Sekiranya dilihat pada data-data ini, jumlah penghasilan graduan di Malaysia boleh dianggap mencukupi untuk menampung permintaan daripada industri.

“Namun begitu, kebanyakan daripada mereka memilih untuk bekerja di luar negara berikutan tawaran gaji dan persekitaran kerja yang lebih baik ataupun melibatkan diri dalam ekonomi gig,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa mengenai unjuran guna tenaga teknikal kejuruteraan, sains dan teknologi yang diperlukan pelabur pada 2024 memandangkan terdapat kenyataan bahawa kerajaan terpaksa menggunakan tenaga kerja mahir asing yang memberi kesan defisit terhadap peluang pekerjaan graduan tempatan.

Liew turut merujuk laporan kajian bertajuk ‘Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysia’s Skilled Talents’ oleh Institut Penyelidikan Khazanah baru-baru ini yang melaporkan jumlah graduan baharu terlebih kelayakan terus meningkat dan menghadapi masalah gaji rendah, dengan 65.6 peratus graduan pada  2021 menerima gaji permulaan kurang daripada RM2,000. 

Mengulas lanjut, beliau berkata MITI dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama kementerian lain mengatur langkah komprehensif bagi memastikan graduan yang menganggur mendapat pekerjaan dalam industri dan sesuai dengan kehendak pelabur, sekali gus memenuhi permintaan pasaran.

“MITI dan KPT bersama kementerian-kementerian (lain) sedang menguruskan program ‘work-based learning’ untuk memadankan, supaya kita boleh bawa TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) bersesuaian dengan industri bersama program-program lain bagi mewujudkan suasana graduan serta profesional bersama pekerja teknikal yang bersesuaian dengan permintaan industri,” katanya.

Beliau berkata walau bagaimanapun, pihak industri juga perlu bersedia untuk membayar gaji yang lebih tinggi kepada graduan tempatan.

— BERNAMA