Kerajaan Prihatin Terhadap Nasib Rakyat – Subsidi Bil Elektrik Ditingkatkan Daripada RM20 Kepada RM40

Pada pembentangan Bajet 2019 yang lalu, kerajaan telah mengumumkan peningkatan kadar subsidi bil elektrik isi rumah daripada RM20 dan ke bawah kepada RM40 dan ke bawah. Peningkatan kadar subsidi ini merupakan salah satu inisiatif yang diambil oleh kerajaan dalam meringankan beban rakyat, terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah dan boleh diibaratkan hadiah kerajaan untuk golongan B40.

Di dalam pembentangan tersebut Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng berkata “Kerajaan mampu meningkatkan kadar subsidi kepada RM40 sebulan dan memanfaatkan 185,000 akaun dan ia membabitkan peruntukan sebanyak RM80 juta”. Ia selaras dengan subsidi bersasar dan penyaluran subsidi ini hanya dikhususkan kepada golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar di bawah program “e-Kasih”.

Tujuan ianya disasarkan kepada peserta program e-Kasih sahaja, adalah untuk mensasarkan golongan miskin dan miskin tegar bagi membasmi kadar kemiskinan dan mengecilkan jurang kemiskinan rakyat di Malaysia. Sistem “e-Kasih” ini adalah satu sistem pangkalan data bersepadu isi rumah miskin yang telah dibangunkan oleh agensi kerajaan persekutuan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Program ini bertindak sebagai pusat pengumpulan data Kemiskinan Nasional berkenaan kemiskinan di Malaysia. Ia mempunyai maklumat seperti profil individu, program atau bantuan yang diterima oleh Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) daripada agensi pemberi bantuan, sehinggalah kepada permohonan bantuan dan pemantauan keberkesanan program atau bantuan yang diterima.

Sistem ini telah dijadikan sebagai rujukan oleh kementerian atau agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam program pembasmian kemiskinan penduduk Malaysia.

Peningkatan kadar subsidi dan program e-Kasih ini sejajar dengan hadis Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud: “Barangsiapa yang berusaha melapangkan suatu kesusahan kepada seseorang mukmin daripada kesusahan-kesusahan dunia, maka Allah akan melapangkannya dari suatu kesusahan di hari kiamat. Dan barangsiapa yang berusaha memberi kemudahan bagi orang yang kesusahan, maka Allah akan memberi kemudahan baginya di dunia dan di akhirat”. (Hadis Riwayat Muslim).

Tidak dapat dinafikan lagi, peningkatan kadar subsidi sebanyak RM20 daripada perbelanjaan tahun lepas adalah satu inisiatif yang terbaik diambil oleh kerajaan dalam meringankan beban dan kos sara hidup rakyat khususnya kepada golongan miskin dan miskin tegar di Malaysia. Oleh yang demikian, kita seharusnya berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan dalam mengambil berat terhadap kebajikan rakyat terumatanya golongan miskin dan miskin tegar di Malaysia.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, mereka ini ibarat “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Justeru, peningkatan kadar subsidi dan program e-Kasih ini bakal memberi impak yang besar dalam membantu mengurangkan kos sara hidup mereka.

Ditulis oleh Nur Amirah binti Nordin, pelajar Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend