Latar Belakang Facebook Versi China yang Juga Pemilik Kepada Platform Popular TikTok

Salah satu aplikasi yang sangat popular di kalangan remaja pada masa ini adalah platform video pendek yang dikenali sebagai TikTok.

TikTok bertindak sebagai rangkaian sosial seperti Facebook di mana pengguna berkongsi pelbagai jenis video. Walaupun TikTok hanya terkenal di kalangan generasi-Z dan kadangkala mengundang kecaman golongan dewasa, ia tidaklah merugikan jika kita menambah pengetahuan tentang asal usul dan pemilik kepada platform ini.

1 Bilion Muat Turun

Untuk pengetahuan anda, TikTok telah dimuat turun oleh satu billion pengguna di seluruh dunia dan popularitinya tidak terhenti setakat ini sahaja apabila ia kini tersedia di 150 buah negara dan 75 bahasa.

Bagi yang tertanya-tanya, siapakah pemilik TikTok, ia dimiliki oleh gergasi internet dari China yang baru sahaja beberapa tahun bertapak dalam industri internet global. Menariknya, aplikasi ini menjalani beberapa perubahan sebelum ia terkenal dengan nama TikTok pada hari ini.

Kali ini, kami akan rungkaikan bagaimana salah sebuah gergasi internet China mengangkat platform terbaru ini yang sangat digemari oleh remaja di seluruh dunia.

Bagi merungkai sejarah awal aplikasi perkongsian video ini, penting untuk diketahui bahawa TikTok bukanlah TikTok yang sama seperti hari ini.

TikTok dimiliki oleh gergasi teknologi dari China yang dikenali sebagai ByteDance. Syarikat ini juga memiliki beberapa aplikasi popular yang lain seperti Toutiao, TopBuzz, Flipagram, Vigo Video, News Republic dan FlipChat.

Ibu pejabat Bytedance di China boleh dianggap seperti Facebook versi China kerana visi dan matlamat besar mereka. Seperti Facebook, ByteDance juga memiliki beberapa rangkaian aplikasi sosial yang digunakan oleh berbilion pengguna di seluruh dunia.

ByteDance diasaskan oleh Yimin Zhang pada tahun 2012 merangkap Ketua Pegawai Eksekutif. Nama beliau tidak berapa dikenali di luar China tetapi percayalah beliau boleh dianggap sebagai Mark Zuckerberg versi China. Zhang yang berlatar belakangkan kejuruteraan perisian baru berusia 35 tahun.

Sejak 2012, ByteDance telah berkembang dengan melahirkan beberapa aplikasi sosial yang popular di China. Tahun ini, aplikasi terbaru mereka baru sahaja dikeluarkan yang akan menjadi pesaing terdekat kepada WeChat, iaitu FlipChat.

ByteDance pada hari ini adalah antara syarikat start-up paling bernilai di dunia dengan nilaian berjumlah US$75 Billion. Ia menerima pelaburan daripada gergasi pelaburan dunia antaranya SoftBank, Sequoia Capital dan General Atlantic.

Pada tahun 2016, ByteDance melancarkan aplikasi video pendek yang dikenali sebagai Douyin. Berbanding dengan beberapa aplikasi lain di China, Douyin mendapat perhatian hangat sekaligus menyebabkan popularitinya melonjak. Selepas setahun beroperasi, Douyin berjaya mencapai 100 juta pengguna aktif.

Pada 2017, Douyin mengembangkan operasinya ke luar China dengan nama baru – TikTok. Platform ini melonjak dalam masa singkat di beberapa negara Asia seperti Thailand, Jepun dan Indonesia.

Walaubagaimanapun, terdapat satu lagi aplikasi video pendek yang meningkat naik di Amerika Syarikat iaitu Musical.ly yang berfokus kepada lip-sync video muzik. Ia dilihat sebagai satu pesaing yang sangat dekat kepada TikTok pada masa itu.

Sehinggalah pada November 2017, ByteDance mengambil alih Musical.ly dengan nilai pembelian US$1 Billion. Pada ketika itu, Musical.ly dan TikTok beroperasi sebagai dua platform yang berbeza.

Kurang dari setahun selepas itu, pada Ogos 2018 ByteDance mengumumkan penutupan Musical.ly dengan menggabungkan ia kepada platform TikTok. Kesemua akaun pengguna Musical.ly secara automatik dipindahkan ke TikTok.

Baru-baru ini ByteDance dikatakan bercadang untuk membangunkan telefon pintar mereka sendiri. Telefon pintar ini dijangka akan didatangkan dengan aplikasi rasmi syarikat itu seperti TikTok dan lain-lain. Namun, beberapa penganalisis pasaran meragui kebolehan ByteDance untuk mendapatkan pasaran kepada telefon pintar tersebut disebabkan kurangnya pengalaman dalam industri ini.

Dalam perkembangan kewangan mereka, ByteDance dilaporkan berkemungkinan merancang Initial Public Offering (IPO) seawal tahun ini atau tahun 2020. Walaupun masih bergelar start-up, ByteDance yang dianggarkan bernilai US$75 Billion mensasarkan kutipan pendapatan sebanyak US$14.8 Billion pada tahun ini.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend