5 Tumpuan Utama Pasaran Global Pada Awal Tahun Baru 2019

Memasuki tahun 2019, ekonomi global berhadapan dengan beberapa cabaran besar yang mesti ditempuhi. Bermula dengan isu perdagangan, pasaran saham, sehinggalah hubungan politik antarabangsa. Beberapa isu besar masih belum terungkai dan menjadikan pasaran secara keseluruhannya memasuki tahun baru dengan perasaan yang kurang meyakinkan.

Adakah pelabur dan pedagang global dapat berdepan dengan cabaran pada tahun 2019? Semuanya bergantung kepada jangkaan mereka terhadap ekonomi di masa hadapan berbekalkan perkembangan semasa isu-isu perdagangan dan politik global.

Bagi memberikan gambaran besar tentang ekonomi dan pasaran global pada awal tahun 2019, berikut adalah lima tumpuan utama pasaran ketika ini.

1. Pasaran Saham Global Yang Merudum (Bear-Market)

Beruang sedang menguasai pasaran saham global, dari Wall Street sehinggalah ke Asia dan Eropah dalam dagangan volatile bulan Disember. Walaupun ada pantulan semula oleh pasaran, tetapi keadaan masih lagi goyah memasuki tahun baru 2019.

Wall Street dan Nikkei khasnya telah merekodkan kejatuhan sehingga 20% yang mengesahkan indeks tersebut kini berada dalam zon Bear Market. Tambahan lagi keadaan pertumbuhan ekonomi global diragui dan secara beransur-ansur mencatat kemerosotan.

Keadaan ekonomi tidaklah jatuh dengan drastik, di mana ekonomi Amerika Syarikat masih merekodkan pertumbuhan positif, tetapi kejatuhan dalam kaunter-kaunter teknologi di Wall Street telah mengurangkan keyakinan dalam pasaran.

Untuk pengetahuan anda, pasaran Eropah awal-awal lagi telah jatuh ke zon Bear Market yang dicatatkan oleh indeks DAX di Jerman pada awal Disember 2018. Hal ini barulah diikuti oleh Wall Street minggu lalu dan seterusnya oleh indeks Nikkei di Jepun.

Walaupun ada lonjakan pada sesi dagangan Rabu (27 Disember 2018), namun ia masih belum cukup untuk menutupi kejatuhan sebelum itu.

Nak tahu lebih lanjut berkenaal Bear Market ni, jemput baca Pasaran Saham Merudum (Bear Market), Apa Maksudnya Dan Berapa Lama Tempohnya?

2. Data Ekonomi Amerika Syarikat Menjadi Tumpuan Pasaran Dunia

Satu perkara yang selalu dibanggakan oleh Presiden Donald Trump dalam tempoh pentadbirannya, adalah brekenaan pasaran pekerjaan. Walaupun negara ‘Uncle Sam’ itu merekodkan kejatuhan saham terbesar pada Disember 2018, namun petunjuk ekonomi utama ‘Pasaran Pekerjaan’ masih lagi di paras yang kukuh.

Data ekonomi yang menjadi perhatian utama pasaran global akan dikeluarkan oleh Jabatan Buruh AS pada Jumaat (4 Januari) dan akan menjadi pemangkin utama kepada pasaran pada awal tahun 2019. Data pekerjaan Non-Farm Payroll itu akan dikeluarkan pada pukul 8.30 malam yang merangkumi data jumlah tambahan pekerjaan bukan perladangan (NFP), data purata gaji per jam dan data kadar pengangguran.

Sejak pentadbiran Trump, lebih daripada empat juta pekerjaan dihasilkan di Amerika Syarikat yang mana disokong oleh dasar fiskal pengembangan (expansionary fiscal policy) terutamanya dengan pemotongan cukai korporat bermula pada awal tahun 2018.

3. Peralihan Pelabur Kepada Aset Yang Selamat (Safe-Haven)

Dua aset safe-haven yang menjadi perhatian ketika ini adalah mata wang Yen dan Emas. Walaupun mata wang Swiss Franc juga adalah salah satu aset safe-haven, tetapi kenaikannya kurang jelas berbanding dengan Yen dan Emas.

Matawang Yen ketika ini berada di paras tertinggi lapan bulan lalu berbanding dollar AS, manakala Emas pula berada di paras tertinggi berbanding tujuh bulan yang lalu. Faktor utama kenaikan kedua-dua instrumen ini adalah ketidaktentuan (uncertainty) dalam pasaran global, kejatuhan pasaran saham dan juga pertumbuhan global yang semakin perlahan memaksa pelabur beralih ke aset yang lebih selamat bagi mengekalkan nilai aset pelaburan mereka.

Jepun dengan keadaan ekonomi stabil dan jumlah aset pelaburan asing yang besar telah menyokong kenaikan Yen itu berikutan pelaburan yang dibawa masuk semula ke Jepun.

Emas pula mendapat permintaan kerana sifatnya sebagai penyimpan nilai dan harganya yang stabil sejak dahulu.

Minggu ini, kedua-dua aset tersebut akan terus menjadi perhatian untuk menjadi petunjuk tahap risiko dalam pasaran. Jika keadaan pasaran semakin pulih, kita berkemungkinan akan melihat kejatuhan Emas dan Yen. Manakala sebaliknya kedua-dua aset akan meneruskan kenaikan jika pelabur berpendapat keadaan pasaran kekal lemah atau semakin buruk.

4. Raja Dolar Amerika Syarikat (Greenback)

Ya benar, pasaran saham Amerika Syarikat mengalami kejatuhan sehingga memasuki zon Bear-Market, tetapi ia tidak pula membawa Dolar Amerika turut sama ke bawah. Malah Dolar AS berada dalam tren menaik sejak kejatuhan Wall Street pada bulan Oktober.

Tiada apa yang menghairankan, kerana Dolar AS juga dikategorikan sebagai salah satu daripada aset safe-haven. Selain daripada itu, apa yang menambah kepada permintaan greenback adalah kadar faedah yang tinggi dalam pasaran bon kerajaan Amerika Syarikat itu sendiri yang menjadikan pasaran bon di negara ini lebih menarik berbanding negara-negara lain.

Namun, adakah greenback akan terus kukuh di paras tinggi memasuki tahun 2019? Sama-sama kita perhatikan pergerakannya pada tahun baru, lebih-lebih lagi beberapa isu besar seperti perdagangan dan penutupan kerajaan Amerika yang masih belum selesai.

5. Apa Sudah Jadi Dengan Brexit?

Lama sebelum isu perang perdagangan di antara Amerika Syarikat  dan China tercetus, pasaran Eropah telah lama berhadapan dengan isu Brexit yang masih belum terungkai sejak referendum tahun 2016. Walaupun telah lebih daripada dua tahun sejak undian Brexit, isu ini masih lagi bercelaru hingga ke hari ini dan semakin tidak menentu sejak dua tahun lalu.

Walaupun rakyat Britain memilih untuk keluar daripada Kesatuan Eropah, tetapi ia bukanlah satu perkara mudah kerana ada isu besar yang gagal disepakati oleh UK-EU terutamanya dalam isu sempadan Ireland.

Untuk pengetahuan anda, dua orang Menteri Britain telah meletak jawatan pada tahun ini kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan Perdana Menteri, Theresa May. Sejak rundingan berjalan dengan Kesatuan Eropah, pasaran UK juga banyak terjejas kerana kebimbangan peniaga khasnya dalam isu akses perdagangan ke pasaran tunggal EU.

Paling banyak terjejas adalah nilai Pound Sterling itu sendiri yang telah merekodkan kejatuhan 11% sejak bulan April 2018.

Tumpuan pasaran ketika ini adalah kepada undian Parlimen UK terhadap pendirian kerajaan dalam perjanjian Brexit dengan UK dijangka meninggalkan Kesatuan Eropah pada 29 Mac 2019.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pedagang runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini menjadi seorang penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Buatlah Persiapan Menjelang 2019

Orang kata, dunia bakal berdepan dengan kegawatan ekonomi tidak lama lagi. 1998 dulu kita ada Krisis Ekonomi Asia, 2008 pula kita ada Krisis Sub-Prime Amerika Syarikat. Kita mungkin ‘terlepas’ pada tahun 2018, tetapi hanya menunggu masa saja sejarah untuk berulang.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend