Memperkasa Zakat, Wakaf, dan Sedekah Membangun Ummah

Pada hari Jumaat, 1 November 2019 yang lalu lepas, khutbah Jumaat di seluruh Kuala Lumpur adalah berkenaan zakat, wakaf, dan sedekah. Di sini saya kongsikan isi kandungan khutbah tersebut:

Islam menganjurkan umatnya memiliki harta. Apabila sudah memiliki harta, ia perlu diagihkan dan diuruskan dengan teratur. Disebabkan itu, Islam mempunyai zakat, wakaf, dan sedekah. Harta yang diperoleh adalah amanah dari Allah SWT.

Pelaksanaan ketiga-tiga ibadah ini dapat mengurangkan jurang sosial di antara golongan kaya dan miskin serta membantu golongan yang memerlukan. Malah, ia juga menjadi saham kita di akhirat nanti selaku umat Islam.

Zakat merupakan rukun Islam yang ketiga. Zakat adalah satu proses penyucian harta setelah kita berusaha mencari harta. Matlamat utama zakat adalah untuk membantu golongan asnaf. Zakat adalah satu perkongsian di mana golongan kaya akan membantu golongan miskin.

Disebabkan itu, Islam menggalakkan memiliki harta kerana semakin ramai orang Islam yang kaya, semakin banyak kutipan zakat, dan akhirnya ramai golongan memerlukan yang boleh dibantu. Pada zaman Rasulullah SAW, zakat telah menjadi sumber pendapatan Madinah bagi tujuan pembangunan ummah.

Di Wilayah Persekutuan, PPZ-MAIWP bertanggungjawab membuat kutipan zakat manakala Bahagian Baitulmal MAIWP akan melaksanakan proses pengagihan. Terdapat 28 skim bantuan zakat yang membantu golongan asnaf dari segi keperluan asasi, perumahan, pendidikan, perniagaan, kebajikan, dan dakwah. Bantuan ini berjalan sepanjang tahun.

Selain zakat, Islam juga menganjurkan pelaksanaan ibadah wakaf. Wakaf adalah pemberian sukarela bertujuan untuk manfaat orang ramai. Pahala pihak yang berwakaf adalah berpanjangan sehingga kematian pewakaf.

Rasulullah SAW pernah mewakafkan tujuh kebun untuk manfaat golongan fakir miskin, Saidina Umar pernah mewakafkan tanahnya di Khaibar, Abu Talhah pernah mewakafkan kebun, dan Saidina Uthman pernah mewakafkan perigi untuk kegunaan penduduk Madinah.

MAIWP melalui Pusat Wakaf MAIWP berperanan untuk mengurus dana wakaf sama ada secara tunai atau aset. Jika tidak mempunyai aset seperti tanah dan rumah, sumbangan tunai boleh dibuat di mana tunai tersebut akan digunakan untuk manfaat orang ramai secara berpanjangan contohnya seperti penubuhan sekolah tahfiz atau perpustakaan bagi tujuan penyebaran ilmu.

Sedekah pula telah disebutkan lebih seratus kali dalam al-quran. Sedekah boleh dibuat seikhlas hati tidak kira berapa nilainya. Terdapat 3 kesimpulan yang boleh diambil dari khutbah seperti berikut :

1. Harta adalah amanah daripada Allah SWT yang padanya terdapat hak orang lain yang mesti ditunaikan malah ia akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

2. Islam mensyariatkan ibadah zakat, wakaf, dan sedekah sebagai jalan melepaskan golongan tidak bekemampuan daripada belenggu kemiskinan.

3. Ibadah zakat, wakaf, dan sedekah sekiranya digembleng secara kolektif dan strategik akan memberikan impak yang besar dalam pembangunan ummah.

Teks Penuh Khutbah: http://www.islam.gov.my/e-khutbah

Ayuh Kita Berzakat, Berwakaf dan Bersedekah

Untuk makluman, setiap negeri mempunyai institusi sendiri yang membuat kutipan dan agihan zakat contohnya seperti Wilayah Persekutuan melalui PPZ-MAIWP / Baitulmal-MAIWP (boleh layari laman web www.zakat.com.my). Manakala bagi Negeri Selangor adalah melalui Lembaga Zakat Selangor (www.zakatselangor.com.my).

Bagi institusi wakaf, kita ada Pusat Wakaf-MAIWP (www.maiwp.gov.my). Contoh lain adalah Yayasan Wakaf Malaysia (www.ywm.gov.my).

Sedekah pula boleh dibuat di mana-mana sahaja seperti di tabung masjid atau membuat sedikit sumbangan makanan ketika majlis bacaan Yasin di surau pada malam Jumaat.

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Boleh dihubungi melalui emel azharuladha@gmail.com

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend