Nak Melabur atau Bayar Hutang dulu?

Siapa dekat sini yang tiada hutang? Hutang kereta, hutang rumah, hutang PTPTN, hutang down payment beli rumah, hutang kad kredit, hutang personal loan nak kahwin, dan bermacam-macam lagi hutang.

Persoalannya sekarang, jika anda mempunyai sejumlah wang, anda nak gunakan untuk melabur demi mendapat pulangan atau nak bayar hutang terlebih dahulu?

Hutang Baik VS Hutang Tidak Baik

Sebelum itu, anda perlu tahu bahawa bukan semua hutang itu tidak baik.

Hutang baik – wang yang anda pinjam pada kadar faedah yang rendah, di mana anda boleh mendapat pulangan yang lebih tinggi.

Hutang tidak baik pula, kita pinjam wang pada kadar yang tinggi, tetapi pulangannya rendah – atau lebih teruk lagi, ianya menyusut nilai saban tahun.

Hutang Baik

Kita ambil contoh hutang untuk beli rumah. Bank akan berikan kita pinjaman berdasarkan Kadar Pinjaman Asas (KPA) atau Base Lending Rate (BLR).

Dengan BLR berada di paras 6.65%, kita ambil contoh pinjaman RM100,000 untuk beli seunit rumah seperti berikut:

Harga Rumah: RM100,000

Tempoh Pinjaman: 30 Tahun

Kadar Faedah: 6.65%

Bayaran Bulanan: RM641.96

Contoh hutang yang baik adalah sekiranya:

  1. Anda sewakan rumah tersebut lebih daripada bayaran bulanan. Contohnya anda menyewakan rumah tersebut pada kadar sewa RM900 sebulan. Dengan ini anda boleh buat bayaran bulanan kepada bank sebanyak RM641.96 dan mempunyai lebihan tunai sebanyak RM258.04. Seronok bukan?
  2. Harga rumah meningkat naik sebanyak 10% setahun, dan anda menjualnya pada harga RM259,374.25 selepas 10 tahun. Ini maknanya anda meminjam pada kadar 6.65% setahun, tetapi pulangannya lebih tinggi iaitu 10% setahun.

Hutang Tidak Baik

Sebaliknya untuk hutang tidak baik, kita pinjam wang dan ianya memberikan kita pulangan lebih rendah atau ianya susut nilai.

Contoh terbaik bagi hutang tidak baik adalah hutang kad kredit dan hutang kereta.

#1. Hutang Kad Kredit

Tahukah anda syarikat kad kredit mengenakan caj setinggi 18% setahun ke atas hutang tertunggak kad kredit anda? Bolehkan anda mencari pelaburan yang memberikan pulangan lebih tinggi daripada 18% setahun?

Jika anda melabur di dalam ASB ke Tabung Haji ke, malah simpanan EPF anda pun cuma dapat 5-8% setahun.

#2. Hutang Kereta

Kita ambil contoh yang sama, kita pinjam RM100,000 untuk beli kereta.

Harga Kereta: RM100,000

Tempoh Pinjaman: 9 Tahun

Kadar Faedah: 3%

Bayaran Bulanan: RM1,175.93

Adakah kita dapat menyewa kereta tersebut lebih mahal daripada bayaran bulanan?

Jawapannya TIDAK.

Adakah kereta tersebut akan menjadi lebih mahal dalam tempoh 9 tahun, setelah tamat pinjaman kita tadi?

Jawapannya TIDAK.

Nampak je kadar faedah rendah iaitu 3%, tetapi kita meminjam untuk sesuatu yang akan susut nilainya.

Tahukah anda punca pertama rakyat Malaysia menjadi bankrap adalah disebabkan kegagalan untuk melunaskan hutang kereta. Kita terlalu taksub dengan pepatah, “Biar Papa Asal Bergaya”. Padahnya, kita yang terpaksa ikat perut setiap bulan untuk bayar hutang kereta yang membebankan.

Peraturan Pelaburan #1 – Jangan Hilang Wang (Bayarlah Hutang Anda Terlebih Dahulu)

Kalau kita ikut nasihat daripada pelabur tersohor Warren Buffet, Peraturan #1 beliau ialah “Jangan Hilang Wang”. Peraturan #2 pula, “Jangan Lupa Peraturan #1.

Malah, Islam juga menuntut kita supaya melangsaikan hutang dengan segera, sekiranya kita berkemampuan. Bila dah bayar hutang tu, takdelah stres sangat kan?

Kalau boleh, selesaikanlah hutang-hutang ‘tidak baik’ itu terlebih dahulu baru fikir untuk mula melabur. Kemudian barulah anda yakin untuk melabur, sebab kalau pelaburan anda tidak menjadi sekali pun; anda tidak akan dikejar oleh bank mahu pun Ah Long!

Selesaikan juga hutang hutang dengan individu (saudara mara / kawan) yang sudah tertunggak lama. Kasihan pada mereka. Mungkin mereka juga memerlukan duit.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend