Pendapatan vs Produktiviti: Analisis Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018

Pada tahun 2016, BNM telah membuat satu kajian dan mendapati 27% daripada isi rumah di Kuala Lumpur memperoleh pendapatan di bawah gaji wajar. Gaji wajar membolehkan penyertaan bermakna dalam masyarakat, peluang memajukan diri, dan keluarga serta bebas daripada tekanan kewangan yang membebankan.

Sebagai contoh, gaji wajar bagi individu bujang di Kuala Lumpur adalah RM 2,700. Boleh baca lanjut mengenainya di RM2,700 Gaji Untuk Hidup Bujang di KL.

Rajah menunjukkan perbandingan Malaysia dengan Negara penanda aras iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Jerman, dan Singapura. Sebagai perbandingan, untuk menghasilkan output bernilai USD1000, Malaysia membayar sebanyak USD340.

Berbanding dengan Negara penanda aras, untuk menghasilkan output bernilai USD1000, mereka membayar USD510. Lambakan pekerja asing adalah salah satu faktor menyebabkan kadar penawaran upah menjadi rendah.

Graf menunjukkan kadar upah yang diterima oleh pekerja di Malaysia adalah jauh ketinggalan dengan Negara penanda aras. Walaupun statistik menunjukkan ada peningkatan pendapatan pekerja di Malaysia dari tahun 2010 hingga 2017, namun pendapatan pekerja di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding pendapatan pekerja di Negara penanda aras.

Laporan telah menggariskan 4 strategi untuk meningkatkan pendapatan:

1. Menjana permintaan terhadap pekerja yang berkualiti
Menarik pelaburan baharu yang berkualiti daripada syarikat asing dan tempatan, sekali gus menggalakkan peralihan daripada model perniagaan berkos rendah.

2. Mengurangkan ketidakpadanan pekerja
Menambahkan pusat pekerjaan setempat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

3. Memperkukuh hubungan antara upah dan produktiviti
Kerjasama lebih erat antara Majlis Produktiviti Negara (NPC) dan Majlis Perundingan Gaji Negara.

4. Mewujudkan pasaran kerja yang kondusif
Meneruskan pembaharuan pengawalseliaan dan perundangan yang berkaitan dengan pekerja.

Secara keseluruhannya, laporan ini menjelaskan bahawa dari perspektif produktiviti dan kesaksamaan, pekerja Malaysia menerima pampasan yang lebih rendah berbanding dengan sumbangan mereka kepada pendapatan negara. Pertama, pekerja Malaysia dibayar upah yang lebih rendah jika dibandingkan dengan pekerja di Negara penanda aras meskipun setelah mengambil kira faktor perbezaan produktiviti.

Kedua, Malaysia empunyai bahagian pendapatan pekerja yang lebih rendah meskipun menggunakan tenaga kerja yang lebih intensif. Hal ini menunjukkan pekerja tidak diberikan pampasan yang setimpal dengan sumbangan mereka.

Sumber: Laporan Tahunan BNM 2018, http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=bm_publication&pg=bm_ar&ac=43&lang=bm

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tawaran Gaji Rendah Punca Graduan Enggan Bekerja Dalam Sektor Kemahiran -MITI

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) — Penawaran gaji yang rendah menjadi punca kekurangan tenaga mahir tempatan terutama daripada kalangan lepasan pengajian tinggi, walaupun permintaan dari pihak industri terus meningkat, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata berdasarkan laporan statistik suku tahun yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Buruh Malaysia (MBLS), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terdapat 49,500 kekosongan jawatan berkemahiran tinggi bagi sektor pembuatan pada suku kedua 2023.

Beliau berkata selain itu, data pada suku ketiga 2023 daripada Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) melaporkan terdapat sebanyak 22,248 kekosongan pelbagai jawatan bagi industri profesional, saintifik dan teknikal, melibatkan 5,734 syarikat tempatan.

“Sekiranya dilihat pada data-data ini, jumlah penghasilan graduan di Malaysia boleh dianggap mencukupi untuk menampung permintaan daripada industri.

“Namun begitu, kebanyakan daripada mereka memilih untuk bekerja di luar negara berikutan tawaran gaji dan persekitaran kerja yang lebih baik ataupun melibatkan diri dalam ekonomi gig,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa mengenai unjuran guna tenaga teknikal kejuruteraan, sains dan teknologi yang diperlukan pelabur pada 2024 memandangkan terdapat kenyataan bahawa kerajaan terpaksa menggunakan tenaga kerja mahir asing yang memberi kesan defisit terhadap peluang pekerjaan graduan tempatan.

Liew turut merujuk laporan kajian bertajuk ‘Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysia’s Skilled Talents’ oleh Institut Penyelidikan Khazanah baru-baru ini yang melaporkan jumlah graduan baharu terlebih kelayakan terus meningkat dan menghadapi masalah gaji rendah, dengan 65.6 peratus graduan pada  2021 menerima gaji permulaan kurang daripada RM2,000. 

Mengulas lanjut, beliau berkata MITI dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama kementerian lain mengatur langkah komprehensif bagi memastikan graduan yang menganggur mendapat pekerjaan dalam industri dan sesuai dengan kehendak pelabur, sekali gus memenuhi permintaan pasaran.

“MITI dan KPT bersama kementerian-kementerian (lain) sedang menguruskan program ‘work-based learning’ untuk memadankan, supaya kita boleh bawa TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) bersesuaian dengan industri bersama program-program lain bagi mewujudkan suasana graduan serta profesional bersama pekerja teknikal yang bersesuaian dengan permintaan industri,” katanya.

Beliau berkata walau bagaimanapun, pihak industri juga perlu bersedia untuk membayar gaji yang lebih tinggi kepada graduan tempatan.

— BERNAMA