Perlukah Pasangan Yang Berkahwin Gabungkan Kewangan Mereka? Ambil Tahu 3 Kelebihan dan 3 Kekurangan Ini

Beberapa bulan yang lalu, negara dikejutkan dengan sebuah berita yang agak kelakar namun amat serius: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat YB Hannah Yeoh menyatakan kebimbangannya terhadap kes-kes cerai (bawah lima tahun) yang semakin meningkat saban hari.

Berita itu memaparkan pelbagai punca perceraian yang kelakar dan tak munasabah, contohnya seperti punggung isteri menggerutu, perbezaan fahaman politik, pasangan tidur berdengkur, berebut rancangan televisyen, dan pasangan bangun tidur lewat.

Selain daripada itu, terdapat juga punca-punca perceraian yang berkaitan dengan kewangan, seperti isteri meminta set persalinan 30 jenis warna untuk baju, seluar, dan aksesori; gaji suami lebih rendah; pasangan gemar membeli-belah; dan suami kedekut.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali dalam Utusan Online, kebanyakan pasangan muda yang berusia 30 tahun ke bawah bercerai kerana kurang persediaan dalam memikul tanggungjawab berumah tangga terutama membabitkan soal kewangan.

Pada dasarnya, kebanyakan pasangan muda memilih untuk berpisah selepas mereka gagal menangani krisis kewangan dengan baik. Bagi anda yang baru berkahwin (dengan usia perkahwinan kurang lima tahun), mungkin anda masih belum terbiasa dalam soal pengurusan kewangan rumahtangga.

Terdapat pakar kewangan yang menyatakan pasangan berkahwin digalakkan untuk menggabungkan kewangan mereka. Tapi sebelum anda pergi membuka akaun bank bersama (joint bank account), jom tengok tiga kelebihan dan tiga kekurangan dalam menggabungkan kewangan dalam rumahtangga.

Disebabkan setiap pasangan mempunyai keadaan kewangan dan gaya hidup yang berbeza, mungkin penggabungan kewangan tidak sesuai bagi semua orang. Lihat keadaan anda dan pasangan anda, serta buat pertimbangan yang sewajarnya:

Kelebihan Menggabungkan Kewangan

1. Para isteri lebih terpelihara dari segi kewangan

Bagi golongan isteri, mereka mungkin lebih terpelihara dari segi kewangan jika membuat akaun bank bersama. Ini kerana wanita selalunya akan mengalami ‘gangguan’ dalam pendapatan mereka apabila mereka berhenti kerja bagi menjaga anak di rumah.

Dengan adanya akaun bank bersama, para isteri boleh menggunakan wang yang ada pada bila-bila masa untuk membeli keperluan rumah atau anak, tanpa perlu sering meminta kepada suami. Ini juga sekaligus memudahkan pihak suami.

2. Memudahkan anda dalam urusan tertentu

Sumber Gambar: Pixabay

Dalam hal permohonan pembiayaan atau pinjaman baru di mana pasangan anda turut menandatanganinya bersama (co-signer), anda mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mendapatkan kadar faedah yang rendah serta terma yang lebih baik sekiranya pasangan anda mempunyai skor kredit yang tinggi.

Selain daripada itu, sekiranya pasangan anda meninggal dunia, anda tidak perlu bersusah-payah dalam mendapatkan hak anda. Anda juga tidak perlu merujuk kepada wasiat atau berdepan dengan sistem perundangan bagi menuntut wang itu kerana anda ialah pemilik bersama.

Ini sekaligus menyelamatkan anda daripada perebutan harta yang sering terjadi dalam keluarga.

3. Mengajar anda untuk sama-sama selesaikan masalah

Sumber Gambar: Pixabay

Mempunyai akaun bank bersama boleh mengajar anda untuk bertolak ansur dan menggalakkan kedua-dua pihak untuk bekerjasama bagi menyelesaikan krisis kewangan yang melanda. Ini dapat mengajar anda dan pasangan untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan mengenai wang, yang merupakan suatu topik sensitif.

Komunikasi yang baik boleh mengukuhkan lagi hubungan anda bersama, bukan hanya kewangan semata-mata.

Kekurangan Menggabungkan Kewangan

4. Perbelanjaan anda menjadi semakin terhad

Sumber Gambar: Pixabay

Bagi anda yang gemar berbelanja, anda tidak boleh bebas berbelanja seperti anda masih bujang. Perkahwinan menambah tanggungjawab, dan bagi menunaikan tangungjawab yang ada; perbelanjaan anda juga menjadi semakin terhad, tidak kira bagi suami atau isteri.

Keutamaan harus diberikan kepada pembayaran bil dan perbelanjaan rumah serta anak-anak. Sekiranya anda terlalu boros berbelanja, pasangan anda boleh mengetahuinya dengan mudah melalui akaun bank bersama, dan ini boleh menyebabkan berlakunya pertengkaran.

5. Boleh menjadi punca suami isteri bertengkar

Berbalik kepada point nombor 4 tadi, pasangan boleh bertengkar sekiranya salah seorang tidak bertanggungjawab dalam pengurusan wang. Selain itu juga, jika salah seorang merupakan jenis yang kedekut dan terlalu berkira, ini akan menyebabkan tekanan perasaan kepada pasangannya.

Bagi anda yang mempunyai pasangan yang terlalu berkira dan tak mahu bertolak ansur, sebaiknya lupakan saja rancangan untuk membuka akaun bank bersama. Golongan jenis berkira dan kedekut selalunya juga gemar mengungkit. Jadi demi kebaikan anda, lupakan saja. Cari penyelesaian lain yang sewajarnya.

6. Kesukaran dalam menguruskan wang atau kehilangan wang apabila berlaku perceraian

Sekiranya berlaku perceraian, kemungkinan anda akan berdepan dengan kesukaran dalam membahagikan wang yang telah dikumpul bersama. Tambahan lagi, setiap pasangan mempunyai hak untuk mengeluarkan wang dan menutup akaun itu tanpa persetujuan pihak yang lain.

Bagi mereka yang mempunyai pasangan yang tidak adil atau berniat jahat, anda berisiko tinggi untuk kehilangan semua wang yang ada (jika bekas pasangan anda telah membuat pengeluaran terlebih dahulu).

Buat perbincangan mengenai pengurusan kewangan dengan pasangan

Menggabungkan kewangan bukanlah perkara yang wajib bagi setiap pasangan yang telah berkahwin. Terdapat banyak jalan lain yang boleh membantu anda menguruskan wang, sekaligus mengukuhkan kewangan anda dan pasangan.

Berikut merupakan beberapa perkara penting yang anda berdua boleh lakukan:

Adakan perbincangan mengenai kewangan

Setiap pasangan akan berhadapan dengan krisis kewangan pada bila-bila masa, jadi sebaiknya buatlah persediaan yang wajar. Ajak pasangan anda untuk menilai situasi kewangan masing-masing.

Adakah anda atau pasangan anda mempunyai hutang kad kredit atau pinjaman? Adakah masing-masing mempunyai simpanan yang cukup dan pelan persaraan yang memuaskan? Adakah anda berdua dibebani banyak hutang?

Pastikan pasangan anda juga tahu akan keadaan kewangan anda. Tanya pasangan anda mengenai gaya pengurusan kewangannya.

Lihat jika akaun bank bersama memberi lebih manfaat atau tidak

Selain daripada enam point utama yang disenaraikan, bincangkan lagi kebaikan dan keburukan yang ada sekiranya anda berdua membuka akaun bank bersama.

Sertai bengkel pengurusan kewangan bagi pasangan berkahwin yang dianjurkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)

Bagi mengatasi kadar perceraian yang semakin meningkat, kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk mengukuhkan perkahwinan dan institusi keluarga. Disebabkan masalah kewangan merupakan salah satu punca utama perceraian, program-program berkaitan pengurusan kewangan telah banyak dianjurkan.

Contohnya, LPPKN menawarkan program Smart Start (untuk mendidik pasangan yang berkahwin di bawah lima tahun dalam menubuhkan rumahtangga) dan Belanja Pintar (untuk mendidik mereka tentang pengurusan kewangan yang baik untuk isi rumah).

Anda juga boleh belajar mengenai pengurusan kewangan rumahtangga secara dalam talian dan percuma pada bila-bila masa.

Dikarang oleh BBazaar Malaysia. Disiarkan secara eksklusif di MajalahLabur.

BBazaar Malaysia (BBazaar.my) adalah sebahagian daripada BankBazaar International,pasaran utama dalam talian neutral yang membantu pengguna membuat keputusan mengenai produk kewangan seperti pinjaman, insurans, kad kredit, simpanan tetap, akaun simpanan, dana bersama dan banyak lagi. Perkhidmatan BBazaar Malaysia ditawarkan melalui platform yang selamat, mesra pengguna dan intuitif.

Ditubuhkan pada tahun 2008, BankBazaar bertumpu kepada penggunaan teknologi untuk menyediakan transaksi tanpa kertas dari mula hingga akhir yang memberi keselesaan kepada pelanggan. Hasilnya adalah pemberian tawaran peribadi hingga ke peringkat individu. Dengan bantuan pasukan khidmat pelanggan yang komited dan komuniti pengguna yang semakin meningkat, BankBazaar adalah cara paling mudah untuk orang ramai mencari dan memilih produk kewangan yang tepat secara dalam talian.

BankBazaar disokong oleh pelabur global berkaliber termasuk Walden International, Sequoia Capital, Fidelity Growth Partners, Mousse Partners, Amazon dan Experian.

Di samping menawarkan produk kewangan, BBazaar Malaysia (BBazaar.my) juga menyediakan artikel yang boleh diakses di: https://blog.bbazaar.my, mengenai topik kewangan dan gaya hidup peribadi setiap hari. Artikel artikel dipermudah kan untuk semua orang dari para pemula hinggalah ke pakar. BBazaar Malaysia (BBazaar.my) percaya bahawa setiap orang perlu diberi peluang untuk belajar mengenai dunia kewangan.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend