Rahsia Mengerjakan Umrah Dan Haji Di Usia Muda

Siapa yang tidak mahu menjejakkan kaki ke tanah suci? Mengerjakan umrah ataupun haji adalah merupakan impian setiap umat Islam yang mahu menjadi tetamu Allah. Namun, bukan semua orang yang berkemampuan untuk ke tanah suci disebabkan ia memerlukan belanja yang tinggi untuk ke sana.

Bagi mereka yang berkemampuan, mungkin tiada sebarang masalah kewangan untuk mengerjakan haji mahupun umrah. Namun, bagi yang masih tidak berkemampuan untuk menunaikan haji, dapat mengerjakan umrah sahaja sudah cukup membuatkan mereka tersenyum bahagia.

Ada yang beruntung kerana diberikan rezeki dan peluang pergi ke tanah suci di usia yang muda. Namun,ada juga yang hanya berpeluang menjejakkan kaki ke sana ketika usia sudah lanjut.

Berapa Kos Nak Pergi Haji?

Sumber: Tabung Haji

Setakat hari ini, kos nak pergi haji adalah RM9,980. Tapi sebelum itu, anda perlu buka akaun dengan Tabung Haji dengan menyimpan RM1,300.

Oleh itu, sambil-sambil nak tunggu lagi berbelas atau berpuluh tahun untuk tunggu giliran kita, sempat rasanya nak simpan lagi RM8,680.

Berapa Pula Kos Nak Mengerjakan Umrah?

Rata-rata pakej umrah kebanyakannya bermula daripada RM5,000 dan boleh menjangkau sehingga puluhan ribu ringgit. Semuanya bergantung kepada keselesaan, rasa nak tidur sebilik seorang harganya lebih mahal. Dan kalau nak hotel dekat dengan Masjidil Haram, bersedia untuk bayar lebih mahal juga.

Kalau anda jumpa pakej yang murah di bawah RM5,000, sila elakkan kerana takut-takut anda tertipu pula.

Tunggu, Semak Dulu Senarai Pengendali Umrah Dan Ziarah Yang Berdaftar

Dah biasa sangat kita dengar kes penipuan melibatkan umrah dan ziarah kan? Jadi eloklah sekiranya anda semak dulu samada syarikat yang anda ingin ikut pakej umrah tersebut mempunyai lesen atau tidak. Jangan dah habis ribuan ringgit, baru tahu syarikat tersebut tidak berdaftar, sekaligus hilang duit dan peluang anda untuk menunaikan umrah ranap sama sekali.

Anda boleh semak di sini:

  1. Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) – di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia
  2. Senarai Agensi Pengelola Umrah Yang Berdaftar Dengan Kerajaan Arab Saudi – Portal Rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia
  3. Senarai Lesen Pengendalian Pelancongan dan Agensi Pengembaraan (TOBTAB) – Portal Rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia

Sekarang kita berbalik pula bagaimana caranya untuk anda pergi ke tanah suci di usia muda. Berikut ada beberapa tips yang boleh diamalkan.

1. Punya Matlamat Yang Jelas Dan Sediakan Tabung Khusus

Apa yang menjadi tunjang utama di sini adalah matlamat untuk pergi ke tanah suci di usia muda.
Jika anda hanya berangan-angan tanpa mempunyai matlamat yang jelas, jangan tanya kenapa anda susah hendak mencapai impian anda.

Apabila anda sudah mempunyai matlamat yang jelas, maka perlulah disertai dengan usaha yang berterusan. Bagaimana usaha yang dimaksudkan itu?

Anda mestilah mula membuat tabung khusus untuk pergi ke Mekah. Lagi awal anda ada kesedaran ini, lagi awal anda sediakan tabung tersebut, maka lagi cepat anda dapat menyediakan wang yang secukupnya.

Ia bukannya sesuatu yang mustahil, ternyata ramai yang telah berjaya pergi menunaikan umrah di waktu muda dengan menggunakan wang simpanan sendiri. Best kan?

Jika anda merupakan ibu bapa yang inginkan anak-anak anda menunaikan umrah atau haji di usia yang muda, anda mestilah sediakan tabung ini seawal yang mungkin. Boleh mula dengan simpanan daripada duit raya yang mereka perolehi setiap tahun, duit pemberian harijadi mereka, duit hasil mereka tolong anda di rumah dan sebagainya.

Sentiasa ingatkan kepada mereka bahawa duit dalam tabung tersebut tidak boleh digunakan untuk perkara yang sia-sia.

2. Menambah Pendapatan

Seterusnya, anda boleh juga berusaha untuk menambah pendapatan dengan melakukan kerja sambilan. Duit hasil daripada kerja part-time tadi, terus masuk ke dalam tabung khusus seperti di point #1 di atas.

3. Daftar Haji Cepat-Cepat

Seeloknya, anda sediakan wang sebanyak RM1,300 dan pergi buka akaun dengan Tabung Haji bagi mendapatkan tempat anda. Memanglah kita rasa seolah-oleh nak tunggu giliran kita sangat lama, ada yang kena tunggu sampai umur 70 tahun; tapi mana tahu rezeki kita dipanggil lebih awal. Semuanya ketentuan Allah, yang penting kita dah berusaha untuk masuk dalam ‘queue’, seterusnya kita hanya mampu tawakkal.

Menunaikan Haji Rukun Islam Kelima

Beruntungnya kalau kita dapat mengerjakan haji, lagi beruntung sekiranya dapat mengerjakan haji pada usia yang muda. Di saat kita masih kuat, sihat, berbadan sado dan tiada penyakit. Tapi semuanya itu urusan Allah, kita sebagai hamba-Nya hanya mampu berusaha.

Bagi mereka yang masih belum berpeluang untuk membuat haji, boleh pergi buat umrah terlebih dahulu. Ambil dulu feel bagaimana menjadi tetamu Allah. Semoga ianya menjadi perangsang untuk kita lebih berusaha dan menjadi orang yang lebih baik menjelang dapatnya kita mengerjakan haji pada masa hadapan.

Lagipun Hibah Tahunan dan Bonus Tabung Haji Meningkat 0.25% Bagi Tahun 2017, jadi cepat sikit simpanan kita nak cukup untuk ke haji.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tawaran Gaji Rendah Punca Graduan Enggan Bekerja Dalam Sektor Kemahiran -MITI

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) — Penawaran gaji yang rendah menjadi punca kekurangan tenaga mahir tempatan terutama daripada kalangan lepasan pengajian tinggi, walaupun permintaan dari pihak industri terus meningkat, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata berdasarkan laporan statistik suku tahun yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Buruh Malaysia (MBLS), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terdapat 49,500 kekosongan jawatan berkemahiran tinggi bagi sektor pembuatan pada suku kedua 2023.

Beliau berkata selain itu, data pada suku ketiga 2023 daripada Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) melaporkan terdapat sebanyak 22,248 kekosongan pelbagai jawatan bagi industri profesional, saintifik dan teknikal, melibatkan 5,734 syarikat tempatan.

“Sekiranya dilihat pada data-data ini, jumlah penghasilan graduan di Malaysia boleh dianggap mencukupi untuk menampung permintaan daripada industri.

“Namun begitu, kebanyakan daripada mereka memilih untuk bekerja di luar negara berikutan tawaran gaji dan persekitaran kerja yang lebih baik ataupun melibatkan diri dalam ekonomi gig,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa mengenai unjuran guna tenaga teknikal kejuruteraan, sains dan teknologi yang diperlukan pelabur pada 2024 memandangkan terdapat kenyataan bahawa kerajaan terpaksa menggunakan tenaga kerja mahir asing yang memberi kesan defisit terhadap peluang pekerjaan graduan tempatan.

Liew turut merujuk laporan kajian bertajuk ‘Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysia’s Skilled Talents’ oleh Institut Penyelidikan Khazanah baru-baru ini yang melaporkan jumlah graduan baharu terlebih kelayakan terus meningkat dan menghadapi masalah gaji rendah, dengan 65.6 peratus graduan pada  2021 menerima gaji permulaan kurang daripada RM2,000. 

Mengulas lanjut, beliau berkata MITI dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama kementerian lain mengatur langkah komprehensif bagi memastikan graduan yang menganggur mendapat pekerjaan dalam industri dan sesuai dengan kehendak pelabur, sekali gus memenuhi permintaan pasaran.

“MITI dan KPT bersama kementerian-kementerian (lain) sedang menguruskan program ‘work-based learning’ untuk memadankan, supaya kita boleh bawa TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) bersesuaian dengan industri bersama program-program lain bagi mewujudkan suasana graduan serta profesional bersama pekerja teknikal yang bersesuaian dengan permintaan industri,” katanya.

Beliau berkata walau bagaimanapun, pihak industri juga perlu bersedia untuk membayar gaji yang lebih tinggi kepada graduan tempatan.

— BERNAMA