Sentimen Berisiko Pasaran Saham Global, Apa Yang Anda Perlu Tahu Setakat Ini?

Pasaran saham Jepun menjunam pada Selasa dan secara rasminya memasuki zon ‘Bear Market’ dengan kejatuhan saham global semakin meningkat pada perayaan Krismas. Dalam masa yang sama, ketidaktentuan dalam pasaran global memacu permintaan aset selamat (safe-haven) sekaligus membawa matawang Yen ke paras tertinggi empat bulan yang lalu berbanding Dolar AS.

Penanda aras saham Jepun, Nikkei 225 jatuh sebanyak 5% pada hari Selasa sekaligus menjadi paras terendah sejak April 2017. Indeks utama Jepun ini telah merekodkan kejatuhan 20% sejak Oktober dan berada di landasan untuk mencatat kejatuhan 16% bagi tahun 2018.

Amerika Syarikat Jatuh, Yang Lain Jatuh Sekali

Seperti yang kita tahu, Wall Street telah pun memasuki zon ‘Bear Market’ dan menjadi faktor utama yang menolak saham global ke bawah sejak dua bulan yang lepas.

Bear Market adalah keadaan di mana harga sesuatu sekuriti jatuh lebih dari 20% dan membawa kepada keadaan pesimis dalam pasaran contohnya kejatuhan Nasdaq, S&P500 dan Nikkei 225 ketika ini.

Kejatuhan di Tokyo berlaku sehari selepas Wall Street merekodkan kejatuhan terbesar dengan Dow Jones Industrial Average (DJIA) jatuh sebanyak 653 mata. S&P 500 pula jatuh sebanyak 2.7% sekaligus menyertai Nasdaq dalam ‘Bear Market’.

Ketidakstabilan Di Amerika Syarikat

Pasaran global ketika ini banyak terkesan oleh ketidaktentuan di Amerika Syarikat, khususnya dalam isu dasar monetari dan ketidakstabilan politik. Ketika ini separuh daripada kerajaan Amerika Syarikat ditutup kerana tidak mendapat sokongan daripada Parti Demokratik dalam isu perbelanjaan kerajaan. Ahli-ahli Demokratik di House of Representative menentang cadangan kerajaan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mendapatkan dana pembinaan sempadan AS-Mexico.

Siri kenaikan kadar faedah oleh bank pusat Amerika Syarikat (Federal Reserve) berkemungkinan telah memberi kesan kepada pasaran saham. Baru-baru ini, The Fed sekali lagi telah menaikkan kadar faedah di Amerika Syarikat yang membawa Fed Fund Rate ke paras 2.50%. Dalam masa yang sama bank pusat memberi isyarat dua lagi kenaikan kadar pada tahun hadapan.

Pasaran keseluruhannya bimbang dengan kenaikan kadar faedah yang tinggi akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi dan memberi tekanan kepada harga saham global. Hal ini kerana, sesetengah pelabur berpendapat The Fed menaikkan kadar faedah ketika pertumbuhan ekonomi global sedang perlahan.

Pelabur Beralih Ke Aset Selamat

Tidak dapat dinafikan, pasaran ketika ini berada dalam ketidaktentuan (uncertainty) berikutan situasi di Amerika Syarikat dan juga perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China. Dalam keadaan pasaran yang berisiko (Risk-Off) ketika ini, pelabur tidak akan duduk diam dan membiarkan portfolio mereka begitu sahaja, dan akan mencari jalan untuk menyimpan dana-dana mereka di tempat selamat yang boleh mengekalkan nilai aset tersebut daripada kerugian.

Dua aset yang sering menjadi pilihan pelabur ketika pasaran berada dalam keadaan berisiko (Risk-Off) adalah mata wang Yen dan Emas. Kita dapat lihat kenaikan berterusan emas khasnya sejak bulan Oktober sehingga hari ini.

Kenaikan Harga Emas

Tren Kenaikan Emas Sejak Oktober, Sumber : Investing.com

Harga emas naik ke paras $1,276 setiap auns, paras tertinggi yang dicatatkan sejak enam bulan yang lalu. Begitu juga dengan logam berharga Perak. Kedua-dua logam ini secara amnya dianggap sebagai aset selamat untuk mengekalkan nilai aset pelabur pada ketika pasaran berisiko.

Kenaikan Mata Wang Yen

Tren Kejatuhan USD/JPY Sejak Oktober, Sumber : Investing.com

Matawang Yen pula membuat kenaikan sejak bulan Oktober dan menjadi antara pilihan popular sebagai aset selamat. Untuk pengetahuan anda, matawang Yen sering membuat kenaikan ketika Risk-Off dan ini terbukti dengan beberapa peristiwa yang berlaku seperti krisis Korea Utara – Amerika pada tahun lalu.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend