Tabung Haji (TH) Untung Setiap Tahun, Tetapi Bagaimana Liabiliti Melebihi Aset?

Hasil dividen tabung haji

Sejak beberapa hari yang lalu, nampaknya Tabung Haji (TH) berada di dalam spotlight kerana kononnya syarikat tidak membuat keuntungan – tetapi masih membayar dividen kepada orang ramai.

Kalau dilihat daripada segi pemberian hibah (dividen) kepada para pendeposit, ianya menurun walaupun tahun 2017 menunjukkan sedikit peningkatan.

Prestasi Hibah Tabung Haji

2012 6.50% Hibah + 1.50% Bonus
2013 6.00% Hibah + 2.00% Bonus
2014 6.25% Hibah + 2.00% Bonus
2015 5.00% Hibah + 3.00% Bonus
2016 4.25% Hibah + 1.50% Bonus
2017 4.50% Hibah + 1.75% Bonus

Boleh baca lebih lanjut mengenainya di Hibah Tahunan dan Bonus Tabung Haji Meningkat 0.25% Bagi Tahun 2017.

Untuk kupasan lebih lanjut berkenaan isu bagaimana liabiti Tabung Haji boleh mengatasi asetnya, kita ikuti kupasan berikut yang diambil daripada Rencana Ringgit.

Tabung Haji Langgar Akta Tabung Haji 1995

Isu Tabung Haji kini menjadi perbualan hangat kerana ramai yang menabung di institusi ini.  Menurut YB Dr Mujahid, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tabung Haji telah melanggar Akta Tabung Haji 1995 kerana membayar hibah walaupun liabilitinya melebihi aset. Satu syarat pengagihan untung dalam Akta ialah aset mesti melebihi liabiliti.

Pertama sekali kita perlu sedar bahawa isu yang ditimbulkan dalam emphasis of matter pada laporan juruaudit negara tahun ini bukan punca asal berlaku nilai aset bersih negatif. Itu adalah isu kini yang perlu dan akan ditangani oleh pengurusan baru Tabung Haji (TH).

Untuk melihat bagaimana TH boleh mengalami nilai aset bersih negatif, kita perlu kembali ke akaun tahun 2014, kerana di situlah bermulanya masalah yang dihadapi.

Tetapi sebelum itu, bagi mereka yang ingin tahu bagaimana untuk mengira angka liabiliti melebihi aset RM4.1 bilion yang diterangkan oleh Dr Mujahid, kita boleh semak bahagian rizab TH seperti dalam petikan laporan tahunan 2017. Saya telah membulatkan item ini.

Jika kita jumlahkan, ketiga-tiga angka rizab menghasilkan negatif RM4,093 bilion.

Untung Besar, Tapi Rizab Negatif

Rizab negatif ini boleh diumpamakan dengan nilai aset bersih negatif dalam sesebuah syarikat. Kedudukan rizab negatif bermula pada tahun 2014. Tetapi yang pelik ialah sejak 2014, TH mencatatkan untung yang agak besar. Jadi bagaimana ia boleh berlaku?

Kita perlu semak kembali akaun tahun 2014. Saya sendiri pun sukar untuk mencari di mana puncanya tetapi ia boleh ditemui dalam statement of comprehensive income. Dalam penyata kewangan. terdapat dua penyata pendapatan, iaitu penyata pendapatan biasa (statement of net income) dan penyata pendapatan komprehensif (statement of comprehensive income).

Penyata pendapatan komprehensif ini menurut Investopedia termasuk untung atau rugi belum terealisasi atas pelaburan yang sedia untuk dijual.  Kadangkala syarikat, terutamanya syarikat besar, mengalami untung atau rugi besar daripada perubahan nilai aset tertentu (contohnya saham atau bon).

Kita dapat lihat bahawa untung dalam kedua-dua penyata jauh berbeza kerana satu item yang saya highlight dalam warna kuning pada statement of comprehensive income, iaitu perubahan dalam nilai sekuriti sedia untuk dijual yang menunjukkan perubahan negatif.

Saya belum lagi mengesan sebarang penerangan dalam nota kepada kewangan mengenai sekuriti apa yang dirosot nilanya.

Sepatutnya Hibah Lebih Rendah

Akibatnya ialah pendapatan komprehensif adalah jauh lebih rendah daripada pendapatan biasa. Jadi untuk memastikan bahawa Akta Tabung Haji 1995 tidak dilanggar, TH sepatutnya mengiystiharkan hibah lebih rendah, berasaskan pendapatan komprehensif yang mengambil kira penurunan nilai aset dan bukannya pendapatan biasa.

Tetapi jika anda lihat hibah yang dibayar pada jadual di bawah, TH telah membayar hibah berasaskan pendapatan biasa, .Jumlah hibah yang dibayar pada 2015 dan 2014 ialah lebih kurang RM3.22 bilion dan RM3.24 bilion (tanda  hitam) sedangkan untung komprehensif yang dicapai hanyalah RM450 juta dan RM537 juta (lihat penyata komprehensif di atas).

Ini bermakna bahawa jumlah rizab sudah mula menjadi negatif pada 2014, dan kemudian angka negatif ini bertambah kepada RM3 bilion pada tahun 2015.  Lihat bahagian yang saya highlight berwarna kuning.

Pada 2017, jumlah rizab telah mencecah nilai negatif RM4.1 bilion.  Pendek kata, Tabung Haji telah membayar hibah berasaskan pendapatan biasa, dan tidak mempertimbangkan kemerosotan nilai aset yang telah diambil kira dalam penyata pendapatan komprehensif dan juga lembaran imbangan (balance sheet).

Mengapa? Satu kemungkinan ialah pihak pengurusan berpendapat kemerosotan nilai aset bersifat sementara dan mungkin kembali meningkat apabila pasaran pulih, tetapi sampai sekarang ia belum pulih lagi.

Tabung Haji Punyai Liabiliti Melebihi Aset Sebanyak RM4.1 Bilion

Kesan terkumpulnya ialah liabiliti yang melebihi aset berjumlah RM4.1 bilion pada tahun kewangan 2017. Kesan dari segi undang-undang ialah ia telah melanggar Akta Tabung Haji.

Persoalannya ialah adakah kedudukan kewangan TH masih teguh dan bolehkah ia membayar dividen pada 2018? Insyaallah, saya cuba ulas dalam artikel seterusnya.

Maklumat Terkini:
Menurut laporan akhbar mengenai review oleh PwC, jika rosot nilai aset dibuat dengan betul, keputusan tahun 2017 juga sepatutnya mencatatkan kerugian bukan keuntungan dan rizab negatif lebih besar dicatatkan. Maklumat tambahan ini berasaskan laporan akhbar dan bukan laporan audit.

Sumber: Rencana Ringgit

Harga Saham Turun Turut Memainkan Peranan

Bagi mereka yang mungkin tak tahu, Tabung Haji adalah merupakan ‘jerung’ yang kuat melabur dalam pasaran saham. 53% daripada pelaburannya adalah ke dalam ekuiti iaitu Bursa Malaysia, seperti gambar di bawah.

Tengok saja di mana Tabung Haji melabur mengikut kepada sektor seperti berikut:

Nak tahu lebih lanjut, boleh baca di Kat Mana Tabung Haji (TH) Labur Duit Kita?

Indeks FBMKLCI Turun, Harga Saham Kebanyakannya Turun

Sumber: Trading View

Kalau kita tengok kepada carta di atas, nampak gayanya Bursa Malaysia akan mengalami penurunan lagi. Ini bermakna nilai pegangan Tabung Haji di dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia juga akan terkesan.

Persoalan yang ramai nak tahu, adakah hibah Tabung Haji pada tahun ini dan akan datang menurun juga? Sama-sama kita tunggu….

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend