5 Soalan Yang Si Gadis Moden Perlu Tanya Dekat Calon Suami

Versi Soalan Kewangan

“Awak, awak serius ke nak kahwin dengan saya?”

Setiap pasangan pasti ingin mengakhiri percintaan mereka dengan ikatan perkahwinan. Jangan risau. Jika dia jodoh yang Allah tetapkan untuk kita, pasti Allah akan mempermudahkan segalanya. Yakin dengan redha Allah, yakin dengan rezeki Allah.

Pasangan perlu bersedia bukan sahaja dari segi ilmu fardu ain dan fardu kifayah, malah perlu bersedia dari fizikal, mental dan juga ekonomi.

Sebelum masuk ke fasa yang lebih serius, tanya soalan-soalan yang lebih ke arah masa depan. Tanya soalan-soalan berkaitan kewangan dan ekonomi. Kenali bakal pasangan hidup anda dengan mengetahui apakah visi, misi dan objektif si dia di dalam kehidupan untuk 5 tahun, 10 tahun akan datang. Tahu tak statistik menunjukkan ramai pasangan muda yang bercerai awal atas sebab masalah kewangan?

Percayalah, soalan-soalan ini akhirnya akan membantu anda menentukan sama ada anda perlu terus serius dengan pasangan anda itu atau sebaliknya. Sebaik-baiknya anda bertanya soalan-soalan ini di masa yang sesuai.

Soalan Kewangan #1 – KERJAYA?

“Berapa gaji awak sekarang?”

Jika pasangan kita berkerja makan gaji, cuba tanya soalan mudah seperti ini. Kalau tak berani sebab sensitif nak tanya direct macam tu, cuba twist sikit soalan tu.

“Apa prospek masa depan kerjaya awak tu ya? Ada peluang naik pangkat tak?”

Dari satu sudut lain nampak macam kita berminat dalam kerjaya dia, tetapi sebenarnya kita sedang menilai perancangan jangka panjang demi masa depan bersama. Takkan kita nak pasangan kita lompat-lompat kerja? Mestilah kita nak bakal suami kita ada kerjaya yang boleh menjamin kestabilan.

Soalan Kewangan #2 – SIMPANAN?

“Apa rancangan awak untuk memantapkan ekonomi keluarga kita lepas kahwin nanti?”

“Berapa awak target dapat simpan setiap bulan?”

“Berapa banyak duit simpanan dah ada untuk bayar deposit rumah?”

Bunyi macam poyo je kan? Tapi kalau pasangan anda tak boleh jawab soalan-soalan ini, rasa-rasanya nampak masa depan tu cerah ke gelap? Bakal suami kita perlulah menjadi lelaki yang boleh mengetuai ekonomi rumahtangga, nama pun imam kepada kita.

Soalan Kewangan #3 – PERLINDUNGAN?

“Awak dah ambil takaful?”

Kepada si gadis, sebelum berkahwin tanya dulu soalan wajib ini kepada si lelaki. Adakah dia sudah mencarum atau belum personal takaful? Kalau nak tahu orang yang ada takaful ni sudah semestinya bijak menguruskan wang. Sebab awal-awal lagi dah punya perancangan di masa hadapan. Jangan lupa suruh dia masukkan nama anda sebagai pewaris bila dah sah nanti.

Zaman sekarang ni takaful sudah menjadi satu keperluan. Berapa puluh ribu pun hantaran kahwin nanti, tak ada maknanya kalau lepas kahwin keluarga kita tiada perlindungan pendapatan yang lebih penting untuk meneruskan kehidupan yang masih panjang. Orang yang bijak tak semestinya diukur dari ijazah, master mahupun Ph.D semata-mata tetapi boleh dilihat dari segi dia menguruskan kewangan.

Soalan Kewangan #4 – HUTANG?

“Awak ada hutang kredit kad tak?”

“Awak pernah buat personal loan tak?”

“Awak dah start bayar hutang PTPTN? Berapa balance yang tinggal?”

Hutang adalah mimpi ngeri kepada kewangan sesiapa pun. Silap haribulan ia boleh menjadi salah satu punca rombongan meminang ditolak. Adalah penting untuk kita bertanya tentang hutang-hutang yang ditanggung oleh bakal pasangan kita tu. Ini bukanlah berniat untuk membuat dia berasa bersalah atau bimbang, tetapi jika dah tahu lebih awal, boleh berbincang bagaimana cara terbaik untuk menguruskan hutang-hutang itu bersama-sama.

Bila dah berkahwin, sepatutnya “Ini hutang kita, macam mana kita nak jelaskan?” Bukannya, “Itu hutang awak, fikirlah sendiri”.

Soalan Kewangan #5 – INCOME?

“Awak nak saya kerja ke lepas kahwin?”

“Awak rasa berapa banyak yang kita perlukan untuk survive?”

Ini boleh menjadi satu soalan yang penting terutamanya kepada wanita yang menghargai kerjaya mereka. Dengan bertanyakan soalan ini, anda akan mendapatkan jawapan sama ada pasangan hidup anda mahu anda untuk meneruskan kerjaya atau menjadi suri rumah sepenuh masa.

Kesimpulan

Jangan salah faham, kita bukan mencari bakal pasangan yang sempurna, tetapi jadikan ini sebagai panduan supaya kita lebih bersedia dari segi kewangan.

Sebagai mukmin sejati, pedoman yang semestinya perlu kita rujuk adalah menerusi kitab Al-Quran yang sudah pastinya sebagai kitab rujukan yang lengkap. Allah SWT apabila menceritakan sesuatu kisah menerusi Al-Quran, sudah pasti ia bukan semata-mata releven untuk zaman tersebut sahaja, bahkan ia sesuai untuk menjadi pengajaran sampai bila-bila.

Dalam surah Yusuf, ayat 47 ada menyebut tentang kepentingan menanam selama 7 tahun dengan bersungguh-sungguh.

قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَباً فَمَا حَصَدتُّمْ فَذَرُوهُ فِي سُنبُلِهِ إِلاَّ قَلِيلاً مِّمَّا تَأْكُلُونَ
Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. (47)

Betul, bukan sekadar menanam, tetapi menanam dengan bersungguh-sungguh.

Dalam erti kata lain, sama ada kita makan gaji atau bekerja sendiri kita perlu benar-benar berjaya dalam bidang yang diceburi.

Dalam zaman yang serba mencabar ini, kalau nak berjaya dalam hidup, sentiasa “laparkan diri” dan terus-menerus memburu ilmu yang bermanfaat. Kalau ada seminar, pergi sama-sama lebih sweet. Sebab tak semua rajin nak baca buku-buku tentang pengurusan kewangan. Benda yang dtulis ni pun merungut kata panjang. Jadi lebih baik belajar terus dari kepakaran orang lain.

Mesti seronok kalau kita dapat sediakan rumah, kereta, perubatan yang sempurna buat keluarga kita hasil dari perancangan kewangan dari awal. Mintalah petunjuk dariNya supaya kelak kalau berlaku apa-apa, kita dapat terima dengan redha.

Nota kaki : Mindset kebanyakan orang kita, bila dibicarakan tentang perancangan kewangan ditafsirnya sebagai materialistik!

7 Cara Ajar Pasangan Menguruskan Duit Walaupun Gaji Bulanan Tak Besar

Gaji ‘Ciput’ Tapi Nak Kahwin? Sebelum Buat Personal Loan Baca Ini

Komen

komen