8 Hobi Mahal Orang Kita

Orang kata hobi dilakukan untuk mengisi masa lapang. Tapi bagi sesetengah orang pula hobi dilakukan untuk mencari kepuasan. Ada hobi yang tidak menelan belanja sesen pun. Tapi ada juga sesetengah hobi yang menelan belanja ratusan malah ribuan ringgit.

Meh tengok apa hobi yang memerlukan modal yang bukan kecil anak.

 

1. Modifikasi / Ubah Suai Kereta

Buat sesetengah individu, kereta ibarat suami atau isteri bagi mereka. Oleh sebab itu, ramai yang sanggup menghabiskan duit semata-mata untuk mencantikkan atau mengubah suai kereta mengikut cita rasa sendiri.

Kereta Wira transform jadi Evo. Spoiler dan sport rim bertukar baru setiap tahun.

Mengejutkan, kos modifikasi ini boleh mencecah puluhan ribu malah mengalahkan harga kereta itu sendiri. Tapi, bagi pencinta kereta, kepuasan adalah segala-galanya.

Di antara Page Facebook popular di kalangan geng ini ialah Satriasociety, Myvi Movement dan NoEqual.Co

2. Berlayar

Sumber Gambar : Sailing Florida

Redah lautan menggunakan kapal layar boleh jadi hobi yang menyeronokkan. Sambil bergerak turun naik mengikut gerakan ombak, anda boleh menyaksikan keindahan alam. Tapi untuk menikmati aktiviti mewah sebegini, belanja yang diperlukan juga sudah tentu besar.

Kos sewa kapal layar untuk sehari kira-kira RM20,000 dan harga berbeza mengikut jenis kapal dan saiz. Harga jualan sebuah kapal layar terpakai pula boleh mencecah ratusan ribu ringgit.

Jika berminat untuk membeli kapal, boleh layari The Yacht Market. Ada bot atau kapal yang ditawarkan dengan harga lebih RM1 juta. Buat anda yang mampu dan mahu melakukan hobi lain daripada yang lain, tak salah memberi ganjaran kepada diri dengan aktiviti mewah sebegini.

Anda juga boleh Follow Royal Selangor Yacht Club , Peninsular Sailing Club Selangor atau Sailing School Malaysia Sdn. Bhd jika nak ‘berkenalan’ dengan aktiviti ini.

3. Kumpul Karya Seni/Budaya

Hand Drawn Batik Piece dari Studio Seri Endon

Nilai karya seni tidak dapat dinilaikan dengan wang. Bagi penggemar seni, mereka sanggup menghabiskan ribuan ringgit malah lebih dari itu semata-mata untuk mendapatkan lukisan, arca, batik, atau pelbagai produk yang mengandungi unsur seni. Bagi mereka, nilai karya tersebut lebih tinggi dari nilai duit yang dibayar.

Sebagai contoh, harga sepasang songket Sarawak menjangkau RM5,000, Batik Canting Johor dengan keluaran eksklusif dijual dengan harga RM500 ke atas. Batik eksklusif Hand Drawn Batik dari Studio Seri Endon berharga RM1,500 untuk 4 meter. Jika berminat, boleh ke Facebook atau Instagram Studio Seri Endon.

4. Aktiviti Superbike

“LIVE TO RIDE, RIDE TO LIVE”. Itu merupakan di antara motto bagi sebuah kelab motosikal berkuasa besar. Mendengar deruman enjin sudah memberi satu impak berbeza berbanding motosikal biasa. Apatah lagi kuasa enjinnya yang mencecah lebih 600cc. Menunggang motosikal kuasa besar di lebuh raya Karak Bentong merupakan antara aktiviti kegemaran geng-geng motor.

Kos motosikal sebegini lebih RM30,000 selain daripada aksesori seperti jaket (RM500), helmet (RM1,000), sarung tangan (RM100) dan sebagainya. Harga tayar dia pun ratus-ratus sama macam tayar kereta.

5. Kumpul Figura atau Boneka

Anda peminat tegar adiwira Superman atau Batman? Atau anda penggemar watak animasi dari Jepun? Ekoran taksub dengan watak-watak tontonan dalam siri adiwira atau animasi, ada individu (baca dewasa) yang sanggup berbelanja besar untuk membeli dan mengumpul koleksi figura adiwira atau watak kegemaran mereka.

Biasanya, figura ini terhad keluarannya. Jadi, sudah tentu harganya juga ‘istimewa’ kan? Harga untuk setiap satu figura ini hampir RM1,000 malah boleh jadi lebih mahal bergantung kepada saiz dan koleksi eksklusif.

Contohnya figura Hellboy ini pun dijual pada harga RM650 di Carousell.

Kalau minat untuk menjadi pengumpul figura, boleh usha Facebook Page CTFKL : Collectors Toyfair Kuala Lumpur.

6. Equestrian dan Polo

Kuda Akhal Teke (Sumber: Horse Breeds Pictures)

Berkuda merupakan aktiviti yang digemari Rasulullah dan baik untuk kesihatan khususnya bahagian belakang badan. Ramai yang memilih aktiviti ini semata-mata untuk menunggang, memanah berkuda dan bermain polo.

Jika anda seorang yang gemarkan menggunakan barangan sendiri, kos untuk membeli seekor kuda boleh mencecah RM10,000 seekor. Kuda jenis Akhal Teke dari Turkmenistan merupakan antara kuda termahal dengan harga boleh mencecah RM1 juta.

Boleh tinjau Ladang Alam Warisan dan The Royal Selangor Polo Club serta banyak lagi kelab yang menyediakan kelas dan tempat untuk anda berkuda dan bermain polo.

7. Sky Diving

Bukan sahaja memerlukan semangat yang tinggi, aktiviti Sky Diving juga memerlukan modal yang besar. Bagi individu yang suka menguji adrenalin dan menjadikan aktiviti ini sebagai rutin, Sky Dive Malaysia menawarkan kursus untuk ‘beginner’ dengan pakej berharga RM1,185 termasuk sekali dengan terjunan. Untuk melakukan penerjunan seterusnya, bayaran RM300 dikenakan.

Kos boleh berubah mengikut pakej dan ketinggian. Sanggup untuk jadikan aktiviti lasak ini sebagai hobi? Bagi kaki terjun, dapat terjun sebulan sekali pun dah ok. Jika bercuti ke Pulang Langkawi, anda boleh ke Sky Dive Langkawi untuk merasai pengalaman mencabar ini.

Cuba layan video ini bagi yang belum pernah merasa.

 

8. Golf

Saujana Golf & Country Club

Memang tak dapat disangkal, golf begitu sinonim dengan orang kaya. Dalam drama pun selalu tunjuk bagaimana si kaya isi lapang dengan bermain golf malah ada yang menjadikan padang golf untuk berbincang perihal bisnes.

Tapi trend sekarang anak-anak muda pun dah mula libatkan diri dalam sukan ini.

Kos untuk satu set peralatan golf yang biasa menjangkau harga RM1,000. Untuk keahlian di kelab-kelab golf terkemuka pula seperti Saujana Golf & Country Club ialah RM80,600 – RM85,600 setahun untuk Kelas B.

Di antara kelab golf popular ialah The Royal Selangor Golf Club dan Saujana Golf & Country Club.

Hobi Kami Mahal

Tak salah nak mempunyai hobi yang mahal, asalkan mampu serta keluarga tidak terabai. Yang salahnya pergi perabih duit gaji untuk hobi. Tak sempat pun nak menyimpan.

Bagi yang dah berumahtangga, usah disekat hobi ini; sebab mungkin dari kecil pasangan anda sudah memasang angan-angan untuk memiliki hobi ini dan sanggup bekerja keras untuk merealisasikannya.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend