Permainan Video Lebih Popular Daripada Industri Filem?

Jika anda lihat situasi hari ini, hampir semua orang di sekeliling kita asyik bermain permainan video. Si adik bermain PS4, si abang bermain PUBG manakala si ayah pula bermain Candy Crush. Kalau lihat di kedai-kedai mamak juga begitu, masing-masing sibuk bermain dengan telefon masing-masing.

Menurut laporan Reuters, industri permainan (gaming industry) lebih besar berbanding industri filem. Tahun lalu sahaja, industri permainan mencatatkan hasil sebanyak USD116 bilion berbanding industri filem sebanyak USD105 bilion.

Grand Theft Auto V yang dilancarkan pada tahun 2013 mendapat jualan sebanyak USD1 bilion pada 3 hari pertama pelancarannya. Jumlah ini hampir satu kali ganda berbanding pelancaran filem Avengers: Infinity War yang meraih kutipan sebanyak USD641 juta.

Dulu anda biasa lihat filem diadaptasikan kepada permainan video seperti permainan Star Wars dan juga Tron. Tapi kini situasinya sudah terbalik, filem pula diadaptasikan daripada permainan video. Di antaranya adalah Warcraft, Assassin’s Creed dan Angry Bird.

Kepelbagaian jenis permainan video menjadi penyumbang kepada pertumbuhan industri ini. Beberapa tahun lalu, jika anda ingin bermain permainan video, anda perlu bermain di konsol atau komputer. Hari ini permainan bergrafik tinggi juga boleh dimainkan di telefon pintar pada bila-bila masa dan tidak mengira tempat.

Selain daripada itu, kebangkitan e-sport turut menyumbang kepada peningkatan industri permainan. Siapa sangka permainan Dota mendapat sambutan seperti mana sukan bola sepak. Walaupun jumlah peminatnya tidaklah seramai peminat bola sepak, tapi suasananya seakan sama dengan adanya peminat tim masing masing dan perlawanan yang bertaraf antarabangsa.

Tahukah anda siapakah yang paling banyak menyumbang kepada industri permainan?

Berdasarkan data daripada Statista, 32% daripada hasil pada 2017 datang daripada permainan mobile. Dijangkakan menjelang 2020, permainan mobile bakal menguasai lebih daripada 50% pasaran permainan video.

Dahulu boleh la orang kata bahawa permainan video ini sekadar hobi mengisi masa lapang. Tetapi kini ianya lebih daripada itu, industri ini telah mewujudkan ribuan peluang pekerjaan, meningkatkan ekonomi negara serta mempengaruhi gaya hidup masyarakat.

Tuan Mohd Kauthar Rozmal merupakan seorang perancang kewangan peribadi dan graduan jurusan matematik.

Sumber Rujukan: Statista

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend