Psikologi Di Sebalik Kenapa Kita Beli Barang Mewah

Membeli sebuah beg tangan mewah hari ini seolah-olah perkara biasa berbanding daripada membeli sepasang kasut di pasar malam atau di kedai-kedai biasa. Kehendak untuk membeli barangan mewah sangat sukar untuk ditolak kerana barangan tersebut diperbuat daripada kulit atau pun bahan yang lebih selesa. Namun apabila melihat tanda harganya, pasti boleh membuatkan pembeli merasa sedikit terkilan.

Tetapi jika anda dilahirkan daripada keluarga yang berada atau mempunyai pekerjaan yang membayar anda dengan gaji yang lumayan, maka membeli barangan mewah pada harga yang tinggi bukanlah suatu masalah.

Jom kita tengok mengapa ramai orang sanggup membayar harga yang tinggi untuk memiliki barang mewah.

1. Pengguna Yang Tidak Rasional

Kita semua tahu bahawa ramai orang bertindak tanpa rasional. Bukti yang kukuh apabila statistik menunjukkan jumlah hutang isi rumah sebagai nisbah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 83.2% pada akhir September 2018. Daripada statistik yang sama, sejumlah 6.5% daripada keseluruhan peminjam mempunyai margin kewangan negatif dan berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan, malah memiliki nisbah khidmat hutang (DSR) melebihi 60%.

Ini jelas menunjukkan masih ramai pengguna yang bertindak tanpa mengambil kira tahap kemampuan kewangan mereka. Membeli barangan mewah adalah satu contoh tentang bagaimana tidak rasionalnya kita sebagai pengguna bertindak. Contohnya, kita membeli sebuah beg tangan berjenama gah seperti Coach, Hermes dengan harga beribu-ribu Ringgit walaupun sebuah beg tangan yang mempunyai fungsi sama boleh didapati dengan harga yang jauh lebih murah.

2. Cenderung Melihat Yang Positif Dan Abaikan Kekurangan

Salah satu sebab kita membeli barangan mewah juga adalah kerana kita cenderung untuk melihat unsur-unsur positif pada produk berjenama sehingga mengabaikan kekurangan yang terdapat padanya. Sebagai contoh, pengguna setia Apple (AAPL) yang sentiasa menunggu semalaman untuk mendapatkan model terbaru produk keluarannya walaupun teknologi yang digunakan bukanlah pada tahap yang terbaik.

Malah, pesaing utama jenama Apple iaitu Samsung sebenarnya membuat telefon dengan ciri-ciri yang lebih baik dan pesaing lain seperti Huawei atau Xiaomi membuat telefon yang mempunyai ciri-ciri yang sama pada harga yang jauh lebih murah. Walau bagaimanapun, Apple mampu memecahkan rekod jualan setiap tahun.

Menurut Profesor NYU, Scott Galloway, syarikat Apple telah menguasai seni pemasaran runcit dan membawa pengaruh yang lebih berbanding mana-mana syarikat dalam sejarah.

Menurut satu kajian yang telah dibuat National Academy of Sciences di Amerika Syarikat mendapati terdapat tanggapan atau kesimpulan yang dibuat oleh orang ramai bahawa barang yang berharga lebih mahal mempunyai berkualiti yang lebih baik. Oleh itu, ramailah pengguna yang terpedaya kerana mempercayai akan mendapat barang yang berkualiti setanding dengan harga walaupun tiada bukti yang sahih mengenai kualiti yang dihasilkan.

3. Harga Diri (Self-Esteem)

Menurut kajian yang diterbitkan oleh Journal of Experimental Social Psychology, self-esteem yang rendah merupakan faktor utama yang mempengaruhi seseorang membeli barangan mewah yang berada di luar kemampuan mereka. Pengguna yang dikategorikan sebagai hidup cukup-cukup makan, biasanya membeli barangan mewah untuk meningkatkan keyakinan diri dan mewujudkan kepuasan dalam memperolehi sesuatu yang bernilai tinggi.

Dengan kebangkitan internet dan dunia di hujung jari, pembelian barangan mewah hanyalah semudah satu klik sahaja. Malah, barangan mewah menjadi terapi pembeli tegar di internet dan ini juga memberikan kelebihan yang lebih besar kepada pemasaran barangan berjenama. Ini kerana kemudahan untuk diakses pada bila-bila masa mampu membuatkan mereka meraih keuntungan berlipat kali ganda berbanding cara tradisional.

4. Hadiah Kepada Diri Sendiri

Memberikan penghargaan kepada diri sendiri atau self-reward kini menjadi semakin penting. Maklumlah, kita dah penat bekerja keras mencari duit, maka sekali-sekali perlu juga kita beri hadiah kepada diri sendiri sebagai hasil penat lelah.

5. Keaslian Menjadi Keutamaan

Ada sebab mengapa ada orang tidak mempedulikan penjual jam Rolex tiruan di jalanan dan lebih rela menghabiskan wang beribu-ribu Ringgit hanya untuk membeli yang asli. Walaupun dilihat sama, namun pemilik barangan mewah akan tahu bahawa jika membeli barangan tiruan, ianya tidak sama dengan perasaan memiliki barangan mewah sebenar.

Jika kita membeli barangan mewah untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain dan berasa seperti kita memiliki, mengapa barangan yang sama pada harga yang lebih murah tidak dapat memberikan perasaan yang sama?

Penyelidik di Yale telah menunjukkan bahawa usaha untuk mendapatkan sesuatu yang asli telah berkembang sejak awal zaman kanak-kanak. Kajian tersebut telah menyediakan barang-barang tiruan untuk kanak-kanak membuat pilihan dan kebanyakan kanak-kanak tersebut enggan menerima barangan tersebut kerana mereka tahu ianya tidak asli.

Secara ringkasnya, menghargai diri dengan satu barangan mewah lebih berbaloi berbanding memiliki barangan tiruan yang mempunyai ciri-ciri yang sama tetapi tiada perasaan penghargaan tersebut.

Emosi Berbangga Dengan Barangan Mewah

Kesimpulannya, orang membeli barangan mewah untuk pelbagai sebab dan kebanyakan emosi yang tercipta akibat pembelian barangan mewah tidak dapat ditandingi. Sama ada mempunyai kemampuan dari segi kewangan atau tidak, ramai orang membeli barangan mewah untuk menunjuk-nunjuk atau mendapat penghormatan daripada orang lain.

Malah ada juga membeli untuk memberikan penghargaan kepada diri sendiri kerana mencapai sesuatu. Setelah memahami psikologi di sebalik mengapa orang membeli barang mewah, ini akan memberikan kita lebih pilihan untuk membuat pembelian yang lebih rasional dan di bawah kemampuan kita.

Jom jadi pengguna yang bijak!

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend