Salah Tudung Mahal Atau Kita Yang Tak Kena Gaya?

Perlu atau tidak bagi kita untuk salahkan tudung mahal, langganan internet dan telefon pintar sebagai penyumbang kesempitan hidup golongan B40 dan M40?

Bagi mereka yang tidak tahu apa itu B40 dan M40, golongan B40 merupakan mereka yang berpendapatan rendah manakala M40 pula mereka yang berpendatan sederhana.

Jangan Taksub Sangat Ikut Trend

Disebabkan taksub sangat untuk mengejar trend, adalah punca golongan B40 dan M40 dibelenggu masalah kewangan.

Tengok saja berapa ramai orang yang sanggup beratur dan berpusu-pusu semata-mata untuk membeli tudung edisi terhad. Ada juga yang sanggup berpuasa atau ikat perut semata-mata mahu menukar telefon bimbit keluaran terbaharu. Tak kurang juga yang ketinggalan menunaikan solat dan lebih sanggup menunggu lama dalam barisan.

Betul, terlalu mengikut trend boleh menjadi sebab mengapa gaji tidak sampai hujung bulan. Tapi perlu diingat juga, berdasarkan era digital kini, banyak benda yang dahulunya disebut sebagai keinginan sudah menjadi keperluan.

Apa Contoh-Contohnya?

10 tahun dahulu, telefon pintar tidak merupakan satu keperluan disebabkan medium komunikasi yang sering digunakan adalah emel atau sistem pesanan ringkas (SMS). Malah komunikasi secara berdepan lebih banyak berbanding sekarang yang semuanya berlaku dalam talian.

Tapi dalam tempoh beberapa tahun kebelekangan ini sampailah sekarang, telefon pintar telah bertukar menjadi satu keperluan. Kini, mesyuarat dan perbincangan di pejabat dilakukan melalui Telegram dan WhatsApp. Boleh dikatakan mereka yang tidak mempunyai telefon pintar akan ketinggalan daripada segi maklumat atau perkara-perkara terkini.

Namun, untuk berinteraksi secara pintar, capaian internet juga diperlukan. Telefon pintar tanpa internet tiada makna, ibarat ikan di daratan, tidak boleh bernafas.

Jadi, carilah telefon pintar dan langganan internet yang memenuhi keperluan bukannya kehendak anda. Anda perlu bijak membuat pilihan mengikut kemampuan.

Belanja Ikut Kemampuan

Sebab itulah kita ada banyak pilihan, ada telefon pintar yang menelan belanja RM2 ribu, ada juga telefon pintar yang berharga RM500. Kalau setakat untuk ber-WhatsApp atau ber-Telegram, tak perlu belanja lebih.

Cukup sekadar berbelanja mengikut kemampuan, ia dapat mengelakkan risiko tidak cukup wang pada hujung bulan seterusnya mengelakkan anda daripada berhutang.

Sesungguhnya amalan berhutang akan menambah beban dalam kehidupan seharian. Jadi elakkan berhutang dan belajarlah menabung sedikit demi sedikit untuk membeli sesuatu.

Sebagai contohnya, untuk membeli mesin basuh, cubalah menyimpan dalam tempoh beberapa bulan supaya anda dapat membuat bayaran secara tunai sekali gus berbanding ansurans. Pasti, harga mesin basuh ini berbeza mengikut cara bayaran.

Buat Senarai Keperluan, Bukan Beli Sesuka Hati

Benar, kehidupan kini banyak keperluan yang perlu dipenuhi. Apa kata senaraikan keperluan dan cuba penuhi mengikut tahap kepentingan. Maksudnya, penuhi keperluan anda secara berperingkat, bukannya beli semua sekaligus.

Belajar mengawal perbelanjaan dengan cara mengurangkan duit keluar merupakan langkah bijak yang perlu dimulakan segera. Mulakan dengan membawa bekal ke pejabat, kurangkan melepak di kedai mamak dan kafe hipster malah kurangkan aktiviti luar yang banyak mengeluarkan duit seperti karaoke, membeli-belah dan menonton wayang.

Sebaiknya, lakukan aktiviti yang lebih sihat dan tidak menelan belanja seperti mendaki, joging, berjalan-jalan di taman awam, pantai atau tasik. Selain daripada dapat mengawal wang yang mengalir keluar, anda juga dapat menyihatkan badan dan menenangkan fikiran.

Kita Ada Pilihan

Hidup kita penuh pilihan. Bagaimana kita membuat pilihan akan menentukan corak hidup yang akan kita lalui. Jika kita hanya mampu membeli telefon pintar berharga RM500, walaupun keinginan membuak-buak untuk mendapatkan iPhone yang harganya melebihi gaji sebulan kita, berhentilah bermimpi sekejap.

Jadilah pekerja yang rajin dan beretika. Tunjukkan potensi anda. Mana tahun, tahun depan naik pangkat atau naik gaji pula?

Berbelanjalah mengikut kemampuan, barulah melihat kepada keperluan dan keinginan yang perlu dipenuhi. Dengan ini, anda dapat kurangkan bebankan kewangan, mengawal pendapatan malah menambah duit simpanan!

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend