Bajet Perumahan Yang Menguntungkan Rakyat

Bajet perumahan sering dinantikan oleh rakyat pada pembentangan bajet setiap tahun. Laporan Bajet 2018 dan 2019 menunjukkan beberapa persamaan dan perbezaan yang dikemukan oleh kedua-dua Menteri Kewangan.

Wujudkan Lebih Banyak Rumah Mampu Milik

Pada Oktober 2017, bekas Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Najib selaku Menteri Kewangan pada ketika itu telah memperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion bagi merancakkan lagi usaha pemilikan rumah untuk rakyat. Dana tersebut melibatkan pembinaan 17,300 unit rumah Projek Perumahan Rakyat, serta 3,000 unit rumah program Rumah Mesra Rakyat di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Selain daripada itu, beliau juga memperuntukkan RM1.5 bilion bilion bagi tempoh dua tahun untuk 210,000 unit rumah di bawah program Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang berharga RM250,000 ke bawah.

Beliau juga berkata, pada tahun ini juga akan disiapkan 25,000 unit rumah di bawah projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan 128,000 unit di bawah pelbagai peringkat pelaksanaan tidak termasuk 600 unit rumah di bawah program My Beautiful New Homes atau MyBNHomes untuk isi rumah B40 antaranya di Terengganu, Pahang, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak dan kawasan orang asli.

Faedah Terendah Untuk Golongan Berpendapatan Rendah

Sementara, pada awal bulan November yang lalu, Menteri Kewangan yang baru iaitu Y.B Lim Guan Eng telah mengumumkan pada 1 Januari 2019, Bank Negara Malaysia akan menyediakan dana RM1 bilion untuk membiayai pembelian rumah pertama bagi golongan berpendapatan bulanan tidak melebihi RM2,300 untuk pembelian rumah mampu milik berharga sehingga RM150,000 dengan kadar pembiayaan serendah 3.5 peratus.

Lagi satu berita yang baik, adalah apabila kerajaan juga telah memperuntukkan hampir RM1.5 bilion untuk terus membina dan menyiapkan rumah mampu milik iaitu Program Perumahan Rakyat, Perumahan Penjawat Awam Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Nasional Bhd.

Bagi membantu pembeli rumah pertama yang berpendapatan isi rumah sehingga RM5,000, kerajaan memperuntukkan RM25 juta kepada Cagamas Berhad untuk menyediakan jaminan pajak gadai bagi membolehkan peminjam mendapat pembiayaan lebih tinggi termasuk bayaran deposit. Langkah ini dijangka memberikan penjimatan kos di antara 7%-11% kepada pembeli rumah selain daripada apa-apa potongan diskaun yang ditawarkan oleh pemaju.

Juga Ada Peruntukan Untuk Pembaikan Rumah Dan Pengecualian Duti Setem

Bajet 2018 dan 2019 juga menyediakan dana untuk pembaikan rumah. Bajet 2018 menunjukkan kerajaan telah memperuntukkan RM200 juta untuk penyelenggaraan dan pembaikan rumah termasuk diambil daripada Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia sementara Bajet 2019 menunjukkan sebanyak RM400 juta disediakan untuk penyelenggaraan dan membaik pulih kuarters kerajaan terutamanya polis, tentera dan guru.

Kedua-dua bajet juga telah menyaksikan kerajaan mengumumkan pengecualian duti setem. Bajet 2018, kerajaan telah mengecualikan duti setem kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai sehingga tahun 2020.

Bagi Bajet 2019 pula, kerajaan mengecualikan duti setem kepada pembeli rumah pertama yang bernilai sehingga RM500,000 dan bagi surat cara pindah milik bagi pembelian rumah pertama berharga antara RM300,001 sehingga RM1 juta.

Bantu Pemaju Juga

Bajet 2018 menunjukkan kerajaan telah menyediakan program MyHomes untuk pemaju dan skim ‘step-up financing’ yang diperkenalkan oleh PR1MA kepada pemaju perumahan swasta untuk menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik.

Sama Tapi Tak Serupa

Kedua-dua bajet ini dapat dilihat kedua-dua menteri telah menggunakan kebijaksaan masing-masing agar peruntukan bagi membina dan membaikpulih perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana terpelihara. Peruntukan bajet pada tahun 2019 diharapkan akan memberi impak positif, bagi memastikan keperluan rakyat akan terjamin dengan peruntukan yang optimal daripada kerajaan.

Di samping itu, diharapkan lebih banyak peruntukan akan disediakan bagi pembinaan rumah mampu milik pada Bajet 2020 yang akan datang. Ini bagi memastikan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana dapat juga membeli rumah sendiri.

Sumber Rujukan:

  • Utusan Online – Bajet 2018: RM2.2b diperuntuk rancak usaha pemilikan rumah
  • Bernama – Dana RM1bilion untuk pembelian rumah pertama – Lim
  • BH Online – RM1b bantu miliki rumah pertama
  • BH Online – Belanjawan 2019 mesra sektor hartanah

Ditulis oleh Muhammad Haris Naqiuddin bin Muda, Pelajar Tahun 4, Pentadbiran Muamalat, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend