Bank Muamalat, SJKP Lancar Skim Smart Mortgage-SJKP

GOLONGAN tanpa pendapatan tetap seperti petani, nelayan dan pemandu teksi kini berpeluang mendapatkan pembiayaan perumahan sehingga RM300,000 melalui skim Smart Mortgage-Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) kendalian Bank Muamalat.

Melalui skim berkenaan, golongan sasaran dengan kelayakan gaji bersih minimum berjumlah RM1,000 berpeluang untuk memiliki rumah idaman dengan pembiayaan 100 peratus daripada harga belian.

Ketua Perbankan Konsumer Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal berkata, pihaknya menyediakan peruntukan sebanyak RM70 juta melalui skim ini pada tahun pertama ia dilancarkan.

“Usaha ini diharap dapat membantu mereka yang mahu merealisasikan impian untuk memiliki rumah sendiri dan sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk memberi peluang kepada golongan tanpa pendapatan tetap dan B40.

“Skim ini juga dilihat bertepatan dalam membantu mereka yang benar-benar berkelayakan untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan perumahan dari pihak bank dengan jaminan oleh SJKP,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatagani memorandum perjanjian antara Bank Muamalat dan SJKP di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Pengurus Besar SJKP, Azlan Mohd Agel serta disaksikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamaruddin dan Pegawai Utama SJKP, Chen Yin Heng.

Zury Rahimee berkata, pihaknya akan mempromosikan skim secara meluas bagi memastikan ia sampai ke golongan sasaran.

“Kami berharap skim seumpama ini akan mendapat sambutan baik dalam kalangan pelanggan dan membantu golongan sasar supaya mereka dapat memiliki rumah idaman sendiri.

“Buat masa ini, tiada tempoh masa bagi penawaran produk ini kerana apa yang penting, inisiatif skim ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pelanggan Bank Muamalat,” katanya.

Kredit: Harian Metro

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rehda: Peningkatan Kos Bahan Bina Jejas Harga Hartanah

PETALING JAYA, 14 Mac (Bernama) — Harga hartanah Malaysia dijangka terus naik secara ketara bagi separuh pertama 2024 berikutan peningkatan kos bahan binaan, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda).

Presiden Rehda Datuk Nk Tong ketika mengulas mengenai Tinjauan Industri Hartanah Rehda separuh kedua 2023 dan Unjuran Pasaran 2024 berkata harga bahan binaan terus meningkat selepas pemaju melaporkan lebih 10 peratus kenaikan tahunan dalam harga purata bagi pasir dan konkrit menjelang akhir Disember 2023. 

“Ini bermakna kos pembinaan dijangka menokok sebanyak purata 15 peratus pada separuh pertama 2024,” katanya dalam taklimat media hari ini.

Tong menjelaskan lagi, 91 peratus daripada responden kaji selidik berpendapat 2023 menyaksikan harga bahan binaan mula memuncak berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Akhirnya, kenaikan bahan binaan bermakna kos pembinaan akan menjadi mahal.

“Kami berharap isu ini akan dapat ditangani dengan berkesan dan semua pemain industri akan memainkan peranan mereka bagi memastikan rakyat Malaysia tidak terbeban dengan kenaikan itu,” katanya.

Sementara itu, Tong berkata peserta pasaran hartanah kekal neutral terhadap prospek perniagaan serta industri hartanah untuk separuh pertama 2024 tetapi lebih optimistik tentang pasaran pada separuh kedua 2024.

“Ini boleh difahami dengan mengambil kira cabaran industri tetapi keyakinan yang lebih tinggi untuk separuh kedua tahun ini menunjukkan bahawa responden dan pemaju pada umumnya masih yakin bahawa pasaran akan bertambah baik,” tambahnya lagi.

Tong ketika mengulas mengenai cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar, menempelak dakwaan bahawa ianya akan membolehkan pemaju merampas tanah untuk mendapatkan keuntungan adalah sesuatu yang salah sama sekali.

Beliau berkata sebagai pemaju yang bertanggungjawab, ahli Rehda mempunyai banyak opsyen untuk memperoleh tanah pembangunan di tempat lain, yang boleh dibangunkan dengan mudah berbanding dengan membangunkan semula bangunan sedia ada.

“Bagaimanapun, sebagai inisiatif strategik, Rehda Malaysia memuji Kementerian Perumahan dan wawasan Kerajaan Tempatan, melalui Menteri, untuk terus meningkatkan fabrik perbandaran bagi memastikan mereka kekal berdaya saing dan menarik di seluruh dunia untuk manfaat rakyat.

“Kami sedang menunggu lebih banyak butiran khusus untuk akhirnya, melibatkan KPKT tetapi kami percaya mereka juga telah mengkaji dengan teliti model yang sama di rantau ini yang telah beroperasi dengan baik selama beberapa dekad,” katanya.

— BERNAMA