Bolehkah Saya Beli Rumah & Letak Nama Anak Bawah Umur Dalam Geran?

Saya pernah ditanya oleh seseorang soalan seperti berikut:
“Saya bercadang untuk beli sebuah rumah untuk anak saya yang berumur 3 tahun. Boleh kah saya terus letak nama anak saya dalam geran rumah tersebut?”

Jawapan saya :

1- Layakkah?

Secara prinsipnya kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tidak mempunyai kelayakan dari segi undang-undang untuk memasuki sebarang kontrak atas kapasiti dirinya sendiri, termasuklah kontrak jual beli hartanah.

2 – Pemegang Amanah

Walaubagaimanapun, ibu bapa atau penjaga yang sah kepada kanak-kanak tersebut boleh memasuki kontrak jual beli hartanah bagi pihak anak mereka di bawah umur, di mana dalam keadaan tersebut ibu bapa atau penjaga kepada anak tersebut hanya bertindak sebagai pemegang amanah sahaja.

Di dalam perjanjian jual beli dan geran hartanah tersebut kelak akan ditulis nama ibu bapa atau penjaga yang sah kepada anak tersebut sebagai pemegang amanah.

3 – Suratcara Ikatan Amanah (Trust Deed)

Kebiasaannya disamping perjanjian jual beli, satu suratcara ikatan amanah akan disediakan untuk merekodkan ikatan amanah tersebut, di mana surat ikatan amanah itu akan didaftarkan di Pejabat Tanah.

4 – Kaveat Amanah

Demi melindungi hak dan kepentingan anak tersebut sehingga beliau mencapai umur 18 tahun, ibu bapa atau penjaga yang sah kepada anak itu boleh memohon supaya kaveat amanah dimasukkan oleh pentadbir tanah ke atas hartanah tersebut.

KAVEAT bermaksud sekatan atau halangan; adalah satu instrumen / alat / mekanisme yang disediakan oleh undang-undang untuk melindungi kepentingan seseorang ke atas urus niaga hartanah miliknya.

5 – Pindah Milik

Setelah anak tersebut mencapai umur 18 tahun, ibu bapa atau penjaga yang sah tadi, selaku pemegang amanah akan memindahmilikkan hartanah itu kepada nama si anak sebagai pemilik berdaftar yang sah.

Sebelum pindahmilik didaftarkan kepada nama si anak, ibu bapa atau penjaga yang sah kepada anak tersebut hendaklah terlebih dahulu memohon kepada pentadbir tanah agar kaveat amanah yang telah dimasukkan sebelum ini dibatalkan.

6 – Lantik Peguam

Sebaik-baiknya segala urusan yang dinyatakan di atas dilakukan oleh peguam yang dilantik oleh pembeli. Setelah pindahmilik dibuat kepada nama si anak, kini hartanah tersebut sah menjadi milik si anak sepenuhnya.

 

Artikel ini diolah oleh MajalahLabur.com dari posting asal Tuan SALKUKHAIRI ABD SUKOR, Presiden HartaGuam. Follow beliau untuk lebih banyak nasihat-nasihat percuma.

Komen

komen