Dapat Beli Rumah Pun Rezeki, Bukan Wang Ringgit Semata-Mata

Bila membincangkan bab rezeki ni, ramai yang mempunyai salah tanggapan berkenaannya. Ada yang berfikiran sempit bahawa rezeki itu datang dalam bentuk wang ringgit semata-mata. Tak ramai yang nampak bahawa kesihatan yang baik juga adalah rezeki, keluarga yang bahagia juga rezeki, anak yang ramai juga merupakan satu bentuk rezeki.

Jom kita dengar perkongsian Tuan Salkukhairi Abd Sukor yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) berkenaan pembelian rumah juga adalah rezeki.

Urusan Jual Beli Rumah Dipermudahkan

Urusan pembelian rumah ni sebenarnya sangat berkait rapat dengan soal rezeki daripada Allah.

Ada orang tu dah bertahun-tahun survey dan cari rumah. Habis satu daerah dia round tengok rumah. Pantang ada pameran hartanah dia mesti pergi. Pantang ada iklan rumah nak dijual dia mesti contact. Tapi sebuah rumah pun tak beli-beli jugak.

Ada orang tu urusan jual beli rumah dia dah hampir setahun, tapi tak selesai-selesai jugak. Setiap peringkat urusan tu ada saja halangan. Masalah dengan owner lah, masalah dengan bank lah, masalah dengan peguam lah. Dan macam macam masalah lagi.

Tapi ada orang lain pulak, minggu lepas cari rumah, minggu ni dah jumpa rumah idaman. Bincang dengan owner, then masing-masing setuju sign perjanjian jual beli dan terus bayar deposit.

Urusan jual beli pun mudah dan berjalan lancar saja. Loan mudah lulus, owner tak banyak karenah, peguam pun cekap dan efisyen, pemaju pun tak kerek. Pendek kata tak sampai 3 atau 4 bulan selesai urusan.

Maka bila saya kaitkan soal membeli rumah ini dengan rezeki daripada Allah, ia tidak dapat lari daripada 2 perkara. Pertama Usaha dan keduanya Tawakkal kepada Allah.

Ramai orang yang kata mereka dah usaha cari rumah, tetapi hakikatnya mereka tidak cukup berusaha untuk mencari rumah. Mereka sekadar mencari rumah tetapi belum bersedia untuk memiliki rumah.

Nak Beli Rumah Kena Buat Persiapan Dulu

Perancangan kewangan tunggang langgang, hutang kad kredit dan personal loan keliling pinggang, loan kereta sahaja dah cover separuh gaji.

Yang bekerja sendiri pulak, tiada proper dokumen untuk buktikan pendapatan tetap, buat bisnes besar, tapi duit simpan bawah bantal.

Ada sesetengahnya pulak, nak beli rumah tapi main ikut-ikut orang saja. Tengok member beli rumah semi-D setingkat, dia nak cari rumah Semi-D 2 tingkat. Duit simpanan tunai untuk beli rumah tiada. Semua hendak bergantung kepada loan semata-mata. Kononnya gaji dia besar mesti bank boleh kasi loan penuh.

Maka jika inilah yang dikatakan usaha, sebenarnya mereka belum cukup berusaha dan belum serius untuk memiliki rumah sendiri. Sebab itulah Allah tidak temukan mereka dengan rumah idaman lagi.

Usaha Dan Tawakkal Sangat Penting

Fitratullah, mana mungkin orang yang tidak cukup kuat berusaha akan diberikan oleh Allah apa yang mereka kehendaki. Sebab itulah Allah masih uji mereka belum ditemukan dengan rumah idaman, kerena Allah nak mereka tingkatkan lagi usaha dengan persediaan dan ilmu yg mantap untuk memiliki rumah.

Yang keduanya Tawakkal. Ramai orang yang mencari rumah tetapi kurang penggantungan kepada Allah. Solat selalu tinggal. Al-Quran tak baca. Masjid pergi hari Jumaat sahaja. Zakat dan sedekah jarang jarang.

Hubungan dengan manusia tidak baik. Selalu pandang negatif terhadap orang lain dan suka cari alasan.Tidak sabar apabila berurusan dengan orang lain.

Ada orang nak kongsi ilmu di fb tentang tips membeli rumah dan perancangan kewangan kata orang tu berlagak dan nak tunjuk hebat lah. Habis macam mana nak murah rezeki jika kebergantungan hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia masih tidak baik. Sudah pasti akan ada sahaja ujian demi ujian ditempuhi.

Kita Diuji Ikut Kemampuan Kita

Jadi kepada yang diuji oleh Allah belum bertemu dengan rumah idaman atau diuji dengan sedikit kesusahan dalam urusan jual beli rumah mereka tu, marilah sama-sama kita muhasabah diri kita kembali.

Kita perbaiki diri kita. Betulkan mana yang tidak betul. Tambahkan ilmu tentang hartanah. Bergaullah dengan mereka yang berfikiran positif. Supaya kita pun boleh jadi positif.

Amal ibadah wajib kita dgn Allah jangan tinggal. Amalan sunat kita tingkatkan. Hubungan dengan manusia kita jaga. Dan banyak kan berdoa agar dipermudahkan urusan kita dan bersabarlah dengan setiap ujian yang diberikan.

Insyaallah, jika kita telah siapkan diri kita dengan semua perkara itu, yakinlah tiada sebab kenapa kita tidak boleh memiliki rumah idaman kita sendiri.

Allah tidak zalim kepada hamba-Nya. Tetapi kitalah yang kadang-kadang zalim dengan diri kita sendiri.

Sumber: FB Salkukhairi Abd Sukor

Moga Dipermudahkan Semua Urusan Beli Rumah

Sesungguhnya rezeki Allah itu amatlah luas. Ada rezeki yang telah ditakdirkan sejak azali dan ada juga rezeki yang akan dikurniakan sekiranya kita berusaha untuk mendapatkannya. Jemput baca juga Nak Rezeki Melimpah Ruah?

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend