5 Persediaan Sebelum Berhajat Terjun Ke Dunia Pelaburan

Seminggu yang lepas saya menghadiri majlis konvokesyen anak saudara di sebuah universiti awam tempatan. Di celah keriuhan majlis tersebut di mana semua sedang sibuk mengambil gambar, saya terdengar selintas perbualan sekumpulan graduan yang berdiskusi perihal kerja dan pengurusan kewangan.

Jujurnya, saya agak terkejut memandangkan secara peribadinya saya tidak menyangka mereka ini mempunyai kesedaran yang jelas tentang kepentingan matlamat kewangan dan pengurusan yang terbaik.

Berbeza sekali dengan saya dulu, yang pada waktu itu masih hanyut dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah sama sekali dan hanya memikirkan tentang peluang pekerjaan sahaja.

Saya mendekati sekumpulan anak muda tersebut yang masih lengkap segak bergaya dengan jubah dan mortar board di atas kepala dan menyapa mereka sekadar ingin mengetahui kegusaran dan berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang saya ada berdasarkan pengalaman hidup dan kerja selepas bergraduasi dari universiti.

Jelas, terpancar kerisauan yang amat jelas dari riak wajah mereka tatkala meluahkan kegusaran yang membelenggu di kepala. Kesemua mereka sudah mendapat kerja tetap hasil rekomendasi dariPADA penyelia organisasi tempat mereka menjalankan praktikal dahulu dan ini sudah pastinya suatu benda yang sangat baik untuk mereka yang baru mula melangkah ke alam pekerjaan.

Dari satu sisi, mereka ini saya kira sebagai bertuah dan beruntung memandangkan lebih ramai rakan mereka yang bergraduasi pada hari ini masih gagal dapat sebarang pekerjaan. Akan tetapi, kegusaran yang diluahkan kepada saya membuat saya tertarik untuk memanjangkan sesi sembang kopi di sebelah khemah dewan konvokesyen tersebut.

Gaji Ciput, Nak Melabur Macam Mana?

“Memang lah dah ada kerja bang, tapi gaji ciput sangat. Tak ada lah nak sangat pun gaji ijazah ni, tapi kalau duduk KL gaji rm1.4k ni, macam susah je nak hidup”

Saya sangat mengerti dan faham akan kerisauan dan kebimbangan yang dihadapi mereka ini.

Ya benar, masih ada graduan yang tidak memilih kerja. Ya benar, peluang pekerjaan sekarang sangat terhad disebabkan persaingan dan jumlah graduan universiti yang semakin meningkat.

Sektor swasta sekarang pun masih mengehadkan pengambilan pekerja memandangkan lebih banyak syarikat yang ada lebih mengkehendaki mereka yang lebih berpengalaman. Kita tidak boleh salahkan siapa-siapa dalam hal ini, memandangkan syarikat swasta juga mempunyai kepentingan untuk hidup dengan lebih lama. Kalau ambil ramai pekerja tapi produktiviti kurang pun tidak ada gunanya.

Saya memberi sedikit tips dan nasihat untuk mereka yang bergaji ciput ini tentang bagaimana mahu menguruskan hidup dengan limitasi kewangan sebegitu rupa. Sebab saya sendiri pernah berada di tempat mereka, dan kegusaran yang mereka hadapi pada hari ini adalah perkara sama yang saya hadapi waktu dahulu.

1. Mentaliti Kena Betul

Pertama sekali, seberapa ciput pun gaji yang anda terima, harus jua untuk bersyukur. Kerana dengan bersyukur, ia akan mendidik hati dan jiwa untuk menjadi lebih kuat dalam menempuh apa jua urusan dalam hidup.

Tambah lagi kalau tidak pernah belajar untuk bersyukur, dapatlah duit berkepuk macam mana pun, hati anda susah untuk gembira.

Bila bercakap mengenai isu mentaliti juga, saya suka untuk meminjam hasil tulisan Dr Carol Dweck dalam bukunya Mindset.

Ada dua jenis mentaliti yang wujud:

  1. Mentaliti kekal – Mereka dalam mentaliti ni percaya yang kepandaian, bakat dan kualiti adalah anugerah yang tidak boleh diubah. Dalam mentaliti ni masa lebih banyak dihabiskan mengira berapa pandainya kita, berapa hebatnya kita daripada menghabiskan masa untuk memperhebatkan lagi skill yang ada. Mereka juga percaya yang bakat adalah tunjang utama kejayaan.
  2. Mentaliti berkembang –  Dengan mentaliti ni, anda akan percaya yang mana dedikasi dan kerja keras adalah tunjang kepada segalanya. Bakat dan kepandaian sekarang hanyalah titik mula.

Bagi saya, mentaliti kedua adalah asas untuk anda bermula dalam dunia kewangan dan pelaburan.

“Ala dia boleh la, memang lahir anak orang kaya..”

“Ala dia memang graduate dalam bidang tu, sebab tu terer…”

Selagi mana mentaliti anda masih dipenuhi dialog macam ni, selagi tu lah susah untuk anda mulakan perjalanan dalam dunia pelaburan.

#2 Dah Pernah Semak Bajet Hidup Bulanan?

Kedua, buat bajet atas kertas dan kira berapa kos untuk makan, tempat tinggal, dan pengangkutan. Lepas dah kira, cuba potong bahagian mana yang anda rasa mampu untuk minimakan lagi kos bulanan anda.

Contoh, kalau duit makan sehari RM20, cuba potong lagi separuh atau suku, RM15 misalnya. Jika sebelum ini duit makan sehari RM20, sebulan dah RM600, dah dekat separuh dari gaji dah tu (RM1,400). Kalau boleh cut ke RM15 sehari, kos makan jadi RM450, ada baki RM150 disitu.

Lepas dah tulis dan buat kira-kira dengan teliti di atas kertas, cuba praktikkan selama sebulan. Kalau berhasil, Alhamdulillah. Kalau tak, kena rombak semula lah perbelanjaan harian. Kaji dan tengok semula bahagian mana yang tak perlu.

#3 Tak Ada Usaha, Tak Ada Hasil

Ketiga, jangan malu untuk buat kerja sampingan. Banyak peluang untuk cari duit tepi hari ini, tapi yang paling femes dan saya sendiri selalu guna khidmat mereka ini adalah runner makanan.

Tidak saya ketahui bagaimana dan berapa komisyen yang mereka perolehi, tapi saya dah nampak terlalu ramai runner ni di atas jalanraya. Jadi saya beranggapan ianya adalah sumber alternatif terbaik untuk cari duit tepi.

#4 Belajar Memberi Seawal Sekarang

Keempat, 10% rules. Setiap kali dapat gaji, jangan lupa bahagikan 10% dari gaji tersebut untuk tujuan kebajikan, menderma, atau hantar duit ke keluarga di kampung.

Kenapa?

Sebab anda akan merasa betapa nikmatnya apabila kita memberi. Walaupun dalam jumlah yang kecil, kita tidak tahu berapa besarnya nilai tersebut bagi orang lain. Dan ia juga akan terus memotivasikan diri kita untuk terus bekerja keras dan lebih berusaha dari masa ke semasa.

#5 Pelaburan Terpenting Adalah Melabur Kepada Diri Sendiri

Dan yang kelima, pelaburan untuk diri sendiri. Selalunya, orang akan mencadangkan untuk melabur dalam ASB dan sebagainya. Saya sangat bersetuju dengan strategi pelaburan ni tapi untuk yang bergaji rendah dan minima seperti anak muda ini, saya cadangkan untuk menyimpan bagi penyediaan tabung kecemasan terlebih dahulu. Tabung kecemasan adalah sangat mustahak dan sekurangnya setiap dari kita mempunyai 3-6 bulan simpanan gaji dalam tabung kecemasan.

Selain daripada itu, saya juga galakkan mereka untuk simpan wang yang ada bagi tujuan membeli buku. Ya, buku.

Kerana buku adalah instrumen yang masih relevan pada hari ini untuk menggerakkan jiwa, membangkitkan semangat, dan menginspirasikan kehidupan untuk menghadapi hari-hari baru.

Akhir sekali, saya tekankan semula untuk mereka bersyukur dan berusaha dengan lebih gigih. Rezeki itu ada, cepat atau lambat sahaja. Sekecil mana pun gaji anda, pengalaman adalah hal yang lebih berharga untuk anda membesar dan menjadi modal insan terbaik yang bukan hanya berupaya untuk  membantu keluarga, bahkan bangsa dan tanahair suatu hari nanti, Inshaallah.

Fikri Azzim merupakan seorang digital marketer yang banyak menghabiskan masa menggali dan mencuci data dalam dunia pelaburan hartanah. Percaya yang mana dengan ilmu yang betul semua orang boleh berjaya dalam pelaburan.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend