Apa Beza ‘Main’ Saham Dengan ‘Main’ Forex?

Istilah ‘main’ saham dan ‘main’ forex masih lagi digunakan sampai sekarang. Tak tahu siapa yang mulakan. Benda yang serius ini kalau dibawa ‘main’, memang tak ke mana. Jadi berhati-hati dalam setiap patah yang keluar dari mulut kita.

Oh ya, kali ini nak bercerita tentang perbezaan di antara kedua-dua instrumen pelaburan ini. Mari kita kupas terlebih dahulu apa itu Saham dan Forex.

Apa Itu Saham?

Saham ialah pemilikan dalam sesebuah syarikat. Jadi apabila kita membeli saham, maksudnya kita membeli pemilikan (ekuiti) dalam sesebuah syarikat, dan sebagai pelabur kecil kita juga adalah pemilik syarikat cuma tidak mempunyai kuasa penuh untuk menguruskannya.

Oleh itu, kita perlu faham apa yang syarikat itu buat, kedudukan kewangan syarikat berkenaan dan juga menilai potensi masa depannya.

Dengan erti kata lain, kita perlu melakukan Fundamental Analysis terhadap syarikat tersebut. Nak tahu lebih lanjut, boleh baca Apa Itu Fundamental Analysis Yang Selalu Sifu Saham Sebut Tu? Kena ambil tahu Formula 3M, Analisa Prestasi Kewangan Syarikat dan Magic Number.

Jika tidak melihat kesemua itu, selalunya ia lebih kepada aktiviti spekulasi dan apa yang lebih menakutkan ialah berjudi dalam pasaran saham.

Pemegang ekuiti perlu ada akaun saham (CDS) dan akaun trading dengan mana-mana syarikat sekuriti atau broker saham untuk mula terlibat dalam pelaburan saham.

Apa Itu Forex?

Nama penuhnya, Foreign Currency Exchange (Forex) atau pertukaran mata wang. Contoh urus niaga, US Dollar (AS$) ditukar dengan Ringgit Malaysia (RM), RM ditukar dengan Rupiah, Rupiah ditukar dengan Yen dan seterusnya.

Urus niaga pertukaran duit ini berlaku dalam dua bentuk iaitu tunai dan hutang.

Forex yang bersifat tunai berlaku semasa pelabur ingin bercuti ke luar negara, mereka ke pengurup mata wang dan menukar RM dengan mata wang negara yang kita mahu pergi contohnya RM dengan AS$ apabila kita hendak ke Amerika Syarikat, RM dengan Riyal kalau ke Arab Saudi atau RM dengan Thai Baht kalau nak ke Thailand.

Harga mata wang berubah-ubah, oleh sebab itu kita berpeluang mendapat untung rugi daripada pertukaran mata wang ini, walaupun tidak mempunyai niat pun untuk menjadikannya pelaburan kerana kita memang menggunakannya semasa di negara orang.

Namun, forex trading secara online yang ada hari ini merupakan pelaburan yang tidak patuh syariah. Ini kerana urusniaga Forex tersebut tidak mematuhi beberapa syarat yang menyebabkannya tidak patuh syariah sekaligus menjadikannya haram.

Syarat Online Forex Atau Transaksi Over the Counter Yang Mesti Dipenuhi:

  1. Pastikan broker adalah betul dan mempunyai mata wang ketika melakukan transaksi. Broker ada mata wang yang hendak kita tukarkan
  2. Ada duit sepenuhnya, modal USD1000 hanya boleh berniaga USD1000 dan tidak lebih (Leverage)
  3. Tiada margin terlibat
  4. Spot transaksi (Transaksi lani), ada yang dibenarkan sehingga 3 hari

4 syarat di atas wajib dipenuhi, kalau salah satu syarat pun tak meet, maka HARAM.

Untuk keterangan lanjut, boleh baca Garis Panduan Syariah dalam Perdagangan Forex – penerangan video durasi 12 minit oleh Associate Professor Dr. Aznan Hasan, seorang pensyarah UIA & Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah Maybank Islamik.

Justeru sebagai muslim kita perlu elak dari pelaburan yang berunsurkan riba, judi dan gharar.

Ini adalah antara perbezaan ketara yang boleh dilihat;

  1. Untuk jual beli saham, pelabur harus membuka akaun dan mendaftar dengan Bursa Malaysia melalui syarikat broker, manakala bagi Forex, hanya perlu daftar melaui broker Forex secara online.
  2. Melabur saham melibatkan syarikat-syarikat yang terdapat di Bursa Malaysia. Bagi Forex pula, ia melibatkan semua mata wang asing dunia seperti USD, EUR,JPY, GPB, WON dan sebagainya.
  3. Waktu operasi transaksi saham adalah pada waktu bekerja sahaja di Malaysia dari jam 9.00 pagi sehingga pukul 5.00 petang. Tetapi urusan transaksi Forex berlaku selama 24 jam kecuali hujung minggu.
  4. Transaksi keluar masuk duit ke akaun mempunyai dua cara iaitu menerusi online banking dan juga melalui remisier/dealer saham yang berdaftar. Manakala Forex perlulah deposit melalui broker-broker yang ada dan semua urusan deposit atau withdraw hanya melalui broker secara online.
  5. Keuntungan saham adalah dengan melalui prestasi kaunter/ syarikat yang dibeli disamping sedikit pengaruh terhadap ekonomi dan politik manakala Forex pula berdasarkan prestasi terhadap mata wang dunia. Ia selalu melibatkan beberapa faktor politik, ekonomi dunia, dan lain-lain.

Sumber Rujukan:

Saham Dan Forex Nampak Serupa Tapi Banyak Berbeza

Sekarang dah tahu perbezaan di antara pelaburan saham dan forex, bolehlah membuat penilaian sendiri pelaburan mana yang harus diceburi dan yang mana yang harus difikir semula.

Komen

komen