Tulip Mania – Krisis Ekonomi Pertama di Dunia Disebabkan Oleh Bunga Tulip

Tulipmania, tulipmania, atau tulipomania.

Percaya atau tidak, suatu ketika dulu bunga tulip merupakan komoditi perdagangan utama sekitar tahun 1600. Semuanya bermula pada 1593 apabila bunga ini dibawa dari Turki dan diperkenalkan kepada masyarakat Belanda. Bunga tulip mula mendapat sambutan dan mereka mula menanam di laman sendiri.

Memandangkan Belanda merupakan negara 4 musim, bunga tulip hanya akan ditanam pada bulan September dan dituai pada bulan Jun. Setelah beberapa ketika, berlaku serangan virus tanaman yang dikenali sebgai ‘mosaic’. Serangan virus ini menyebabkan corak unik berbentuk ‘flames’ pada kelopak bunga tulip. Pada mereka corak tersebut telah menambah nilai kecantikan kelopak. Justeru itu, permintaan terhadap bunga ini semakin tinggi dan menyebabkan harganya melonjak naik.

Permintaan Tinggi, Harga Pun Naik

Permintaan terhadap bunga tulip ini semakin meningkat apabila pedagang dari Perancis turut menunjukkan minat kerana mereka ingin menghadiahkan bunga ini kepada isteri mereka. Pada mulanya harga pasaran bunga tulip ini boleh dikatakan stabil, tetapi apabila permintaan semakin bertambah; para penjual mengambil kesempatan untuk menyorokkan stok bunga supaya ia dapat dijual dengan harga yang lebih tinggi.

Pada tahun 1634, berlaku perubahan perdagangan apabila bunga tulip tidak lagi dijual secara nyata sebaliknya melalui pasaran hadapan atau ‘commodity futures contract’. Bagi sesetengah pihak, mereka melihat ini sebagai peluang untuk membeli (buying opportunity). Semakin ramai mula membeli pasaran hadapan tulip bukan untuk memiliki bunga tersebut, tetapi kerana mereka ingin membuat keuntungan segera berdasarkan spekulasi harga.

Sebulan Naik Sehingga 20 Kali Ganda

Kemuncak tulip mania ini berlaku pada tahun 1636, apabila permintaan tinggi yang tidak diimbangi dengan penawaran stok bunga tulip menyebabkan harganya menyamai dengan harga sebuah rumah. Ia menjadi kegilaan di kalangan rakyat Belanda, sehingga ada yang sanggup membelanjakan seluruh wang simpanan hatta menggadaikan rumah dan tanah bagi mendapatkan bunga tulip ini. Disebabkan kenaikan harga yang menggila, harga bunga tulip itu tidak lagi menggambarkan nilai yang sebenar (overprice).

Bayangkan dalam tempoh satu bulan, harganya melonjak naik sehingga 20 kali ganda!

Fenomena itu berlaku dalam jangka masa yang singkat dan tidak bertahan lama. Bagi segelintir pihak, mereka dapat merasakan krisis akan berlaku. Jadi mereka telah menjual pegangan dan membuat keuntungan melaluinya kerana harga masih lagi tinggi pada ketika itu. Perubahan berlaku apabila para pengusaha bunga tulip membuat lambakan penawaran pada masa yang sama permintaan berkurang.

Apa Yang Naik, Pasti Akan Turun

Apabila semakin ramai mula menjual, ia mewujudkan keadaan ‘panic selling’. Pada Februari 1637, keadaan menjadi buruk dan harga jatuh menjunam. Orang ramai sanggup menjual pada harga yang rendah demi mengurangkan jumlah kerugian mereka.

Kerajaan Belanda cuba campur tangan untuk menstabilkan semula harga tetapi tidak berhasil. Ramai yang terkesan dengan krisis kewangan ‘tulip mania’ ini dan mereka menjadi lebih berhati-hati terhadap pelaburan berasaskan spekulasi.

Bagi para pelabur, anda boleh menjadikan ini sebagai pengajaran di masa hadapan. Anda tidak seharusnya membuat pelaburan melebihi kemampuan dan elakkan menyertai pelaburan yang hanya berasaskan spekulasi semata-mata. Adakah fenomena wang krypto seperti Bitcoin merupakan “tulip mania” abad ke 21?

Blow a bubble and it will grow
Blow too much and it will burst

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend