Kita Biasa Beli IPO, Tapi Waqaf Pun Ada IPO Juga

Mesti rasa pelik sekejap bukan? Biar betul waqaf pun ada IPO? Pasti ramai yang tak percaya pada mulanya kan?

Sebelum kita mulakan bicara, jom kita tengok dulu apa yang dimaksudkan dengan IPO.

Definisi IPO

IPO adalah merupakan terbitan syer yang baru diwujudkan oleh sesebuah syarikat untuk dijual kepada pelabur awam pada harga tawaran yang dipersetujui.

Tujuan syer baru diwujudkan adalah untuk mendapatkan pembiayaan tambahan bagi menambah modal kerja atau menampung pembiayaan projek pelaburan syarikat.

Lazimnya ketika tawaran awam diumumkan, ia turut disertai dengan pengeluaran prospektus yang mengandungi maklumat tentang tawaran dan profil syarikat yang membuat tawaran.

Dalam prospektus ini ada menyatakan aktiviti syarikat, prestasi kewangan dan pengurusannya. Semua maklumat ini disertakan bagi membolehkan para pelabur membuat kajian awal sebelum membuat keputusan sama ada untuk melanggan IPO atau tidak.

Memperkenalkan Waqaf Saham Larkin Sentral – Waqaf IPO Pertama Di Malaysia

Bagi mereka yang menetap di Johor atau yang sering ke sana, mesti tahu tentang kewujudan Larkin Sentral bukan? Kalau di Kuala Lumpur, kita ada KL Sentral, di Johor pula kita ada Larkin Sentral. Ianya merupakan nadi utama pengangkutan di Johor Bahru.

Penawaran Waqaf Saham Larkin Sentral ini melibatkan sehingga 850 juta saham biasa baru dalam Larkin Sentral Property Berhad (Larkin Sentral) kepada Institusi-Institusi dan Individu-Individu pada harga langganan sebanyak RM0.10, setiap saham terbitan yang kemudiannya diberikan (Melalui Wakaf) kepada Waqaf An-Nur Corporation Berhad.

Ianya memberikan peluang kepada pewakaf-pewakaf individu dan institusi-institusi untuk melanggan saham-saham baru Larkin Sentral dengan nilai langganan minima RM 100 atau 1,000 unit saham dengan harga tawaran sebanyak RM 0.10 setiap saham dan seterusnya mewakafkan saham-saham tersebut kepada WANCorp melalui Hujjah Wakaf yang akan dilaksanakan di hadapan dua saksi.

Tetapi sebelum itu, apa kata kita fahami dulu apa yang dimaksudkan dengan waqaf.

Definisi Waqaf

Waqaf daripada segi bahasa bermaksud berhenti, menegah dan menahan. Menurut istilah syarak pula, waqaf bermaksud harta yang ditahan haknya daripada dijual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya.

Manfaat harta yang diwaqafkan adalah untuk kebajikan umum atau khusus dengan niat untuk mendekatkan diri pewaqaf kepada Allah SWT.

Macam Sama Je Waqaf Dengan Sedekah?

Nampak macam sama, tapi sebenarnya tak serupa. Bagi waqaf, harta yang diwaqafkan adalah dimiliki oleh Allah SWT dan harta tersebut tidak boleh dijual, dihibah, dipindah milik dan berkekalan sampai bila-bila.

Manakala bagi sedekah pula, harta yang disedekahkan merupakan hak milik penuh penerima dan harta tersebut boleh dijual, dihibah, dipindah milik dan tidak berkekalan.

Daripada sudut pahala pula, orang yang berwaqaf akan mendapat ganjaran pahala sedekah dan pahala yang berkekalan (sentiasa mengalir) selagi harta itu dimanfaatkan. Berbeza pula dengan bersedekah, ia akan memperoleh pahala sedekah sahaja.

Siapa Di Sebalik Waqaf Saham Larkin Sentral?

Kalau nak tahu, Larkin Sentral Property Berhad (Larkin Sentral) adalah syarikat di sebalik waqaf saham ini. Ianya telah diperbadankan sebagai sebuah syarikat sendirian berhad pada 20 Julai 1995 dibawah nama Warisan Rampai Sdn Bhd. Pada 16 Oktober 1995, dan kemudiannya bertukar nama kepada TPM Management Sdn Bhd dan seterusnya pada 1 Ogos 2013, sekali lagi ditukar kepada Larkin Sentral Property Sdn Bhd. Pada 26 April 2016 pula, ianya telah bertukar kepada syarikat awam.

Larkin Sentral terlibat terutamanya dalam mengendalikan terminal pengangkutan dan penyewaan lot-lot kedai kepada penyewa-penyewa dan peniaga-peniaga pasar basah.

Waqaf An Nur Corporation Berhad (WANCorp) adalah merupakan pemegang saham tunggal Larkin Sentral. WANCorp telah ditubuhkan untuk mengurus aset-aset dan saham-saham yang diberikan melalui wakaf oleh Johor Corporation (JCorp). WANCorp telah melaksanakan beberapa inisiatif tanggungjawab korporat bagi pihak JCorp, iaitu Hospital Waqaf An Nur dan Klinik Waqaf An-Nur, Dana Niaga, Briged Waqaf, Pusat Komuniti Waqaf dan sumbangan kepada masyarakat melalui peruntukan kebajikan.

Objektif utama penubuhan Hospital Waqaf An-Nur dan Klinik Waqaf An-Nur adalah untuk menyediakan kemudahan rawatan kesihatan dan fasiliti dialisis kepada orang awam, khususnya mereka yang memerlukan, tanpa mengambil kira bangsa dan agama. Pada masa ini, rangkaian Klinik Waqaf An-Nur terdiri daripada sebuah hospital yang terletak di Pasir Gudang, Johor dan 21 buah klinik yang terletak di Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Sarawak, Pulau Pinang dan Kelantan.

Sumbangan amal WANCorp telah memanfaatkan kebajikan pesakit, kegiatan masjid, lain-lain kebajikan dan persatuan anak-anak yatim/orang miskin serta termasuk pelaksanaan program tanggungjawab korporat. Sumbangan juga disalurkan kepada pelajar-pelajar dan usahawan-usahawan yang layak dan untuk meningkatkan kegiatan dakwah.

Dah tahu siapa di belakang tabir, jom kita tengok apa pula objektif yang ingin dicapai mereka.

Manfaat Waqaf Saham Larkin Sentral

Jumlah keseluruhan tawaran saham baru Waqaf Saham Larkin Sentral adalah sebanyak RM85 juta atau 850 juta unit saham. Jumlah RM85 juta ini pula akan digunakan untuk membiayai penambahbaikan Sistem Operasi Terminal dan pembangunan naiktaraf Bangunan Terminal Pengangkutan Larkin Sentral dan Pasar Awam yang terletak di Larkin, Johor Bahru. Pembangunan tersebut juga termasuk pembelian tanah, pembinaan ruang parkir bertingkat dan beberapa lot perniagaan yang akan dikhaskan kepada ibu tunggal dan golongan yang kurang berkemampuan untuk berniaga.

Dividen atau manfaat yang diperolehi daripada penawaran ini akan digunakan untuk:

  • Mengenakan kadar sewa yang munasabah bagi penyewa-penyewa terpilih Larkin Sentral
  • Mengenakan kadar sewa minimum untuk lot-lot kedai kecil yang diwujudkan dalam Larkin Sentral bagi ibu tunggal dan kumpulan berpendapatan rendah

Larkin Sentral telah mendaftarkan prospektus di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 18/6/2017 dan prospektus tambahan pada 17/5/2018. Pemantauan yang sangat teliti oleh SC bagi kutipan dan penggunaan dana Waqaf Saham Larkin Sentral.

Untuk bacaan lanjut, boleh muat turun Prospektus dan Prospektus Tambahan di www.waqafsahamlarkin.com. Usah risau, kerana Waqaf Saham Larkin Sentral telah diiktiraf sebagai saham patuh Syariah oleh Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Maka melaburlah tanpa ragu-ragu lagi.

Mula Berwaqaf Dengan Modal Minima RM100

Sebelum tu, nak berwaqaf ni ada syarat-syaratnya seperti berikut:

  1. Akil Baligh
  2. Berakal (sempurna akal fikiran) dan waras pemikirannya
  3. Harta yang hendak diwaqafkan hendaklah dimiliki penuh oleh Pewaqaf
  4. Berwaqaf atas kerelaan sendiri tanpa ada paksaan

Kalau anda dah lulus kesemua syarat di atas, maka bolehlah berwaqaf sebagai individu atau institusi:

  1. Individu – a) Warganegara berumur 18 tahun dan keatas.
  2. b) Bukan warganegara berumur 18 tahun dan ke atas yang berada di Malaysia.
  3. Institusi – Diperbadankan di Malaysia atau luar negara.

Waqaf Saham Larkin Sentral Boleh Buat Online Saja

Dua cara paling mudah untuk anda berwaqaf adalah melalui Maybank2u dan FPX.

A. Berwaqaf Melalui Maybank2u.com

  1. Layari http://www.maybank2u.com.my/
  2. Log masuk ke www.maybank2u.com.my dengan memasukkan pengenalan pengguna dan PIN/kata laluan anda;
  3. Layari ke seksyen laman web mengenai “Pelaburan”;
  4. Pilih “Waqaf” untuk melanggan saham; dan ikut arahan seterusnya

B. Berwaqaf Melalui FPX

  1. Layari website Waqaf Saham Larkin Sentral di www.waqafsahamlarkin.com
  2. Klik “Mari Berwaqaf” dan ikut arahan seterusnya.

Terdapat 17 bank pilihan bagi membuat transaksi melanggan Waqaf Saham Larkin Sentral.

Kelebihan Waqaf Untuk Individu Dan Institusi

Selain daripada menikmati ganjaran pahala sedekah dan pahala yang berkekalan (sentiasa mengalir) selagi harta itu dimanfaatkan; kita juga dapat menikmati potongan cukai.

Individu – Sehingga 7% daripada pendapatan agregat

Institusi – Sehingga 10% daripada pendapatan agregat

Potongan cukai di atas adalah tidak tertakluk kepada bukan warganegara Malaysia atau syarikat yang diperbadankan di luar negara.

Bersegeralah Berwaqaf Sebelum Terlambat

Ingat lima perkara, sebelum lima perkara…

Sementara kita masih muda, masih berharta, masih mempunyai masa lapang, masih sihat dan masih bernyawa – selagi itulah kita masih berpeluang untuk berwaqaf.

Maka bersegeralah berwaqaf dengan Waqaf Saham Larkin Sentral ini.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi mereka di talian 1800-22-2922, emel [email protected] atau layari www.waqafsahamlarkin.com dan Facebook Waqaf Saham Larkin Sentral.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pasaran Modal Malaysia Kekal Berdaya Tahan, Catat Pertumbuhan 5.6% pada 2023

SC Keluar Laporan Tahunan 2023, Laporan Tahunan AOB 2023 dan Tinjauan  Kestabilan Pasaran Modal 2023 

KUALA LUMPUR, 19 April — Pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan pada tahun 2023, dengan saiz pasaran  berkembang sebanyak 5.6% kepada RM3.8 trilion (2022: RM3.6 trilion), didorong oleh  pertumbuhan dalam permodalan pasaran ekuiti serta jumlah bon dan sukuk belum  tebus. 

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dalam Laporan Tahunan 2023 yang dikeluarkan  hari ini, berkata industri pengurusan dana juga berkembang kukuh dengan jumlah  aset di bawah pengurusan (AUM) mencecah paras tertinggi baharu sebanyak RM975.5  bilion (2022: RM906.5 bilion) yang sebahagian besarnya disebabkan daripada kesan  penilaian positif. 

SC juga mengeluarkan Laporan Tahunan Lembaga Pemantauan Audit 2023 (Laporan  AOB 2023), dan Tinjauan Kestabilan Pasaran Modal 2023 (CMSR 2023). 

Pengerusi SC, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata prestasi pasaran modal yang  kukuh telah dicapai walaupun berhadapan cabaran ekonomi global dan jangkaan yang  berbeza terhadap dasar monetari dalam ekonomi utama. 

“Tahun 2023 amat istimewa kerana ia merupakan ulang tahun ke-30 SC. Ini  merupakan satu pencapaian penting yang jelas memaparkan peningkatan  kematangan dan daya tahan SC sebagai sebuah institusi.,” katanya. 

“SC kekal tidak berbelah bahagi dalam keazaman kami untuk mengukuhkan rangka  kerja kawal selia kami dan menegakkan integriti pasaran, apatah lagi kerana kami  terus diukur berdasarkan piawaian kawal selia global.,” tambahnya. 

Laporan Tahunan 2023 

Antara sorotan utama Laporan Tahunan 2023 ialah: 

▪ Jumlah pengumpulan dana dalam pasaran ekuiti dan bon korporat menyederhana kepada RM127.7 bilion (2022: RM179.4 bilion) berikutan penurunan dalam:

  • terbitan bon korporat dan sukuk kepada RM118.3 bilion (2022: RM153.3  bilion) disebabkan permintaan pembiayaan semula yang lebih rendah; dan
  • pengumpulan dana ekuiti sekunder kepada RM5.8 bilion (2022: RM22.6  bilion), kembali ke tahap pra-pandemik. 

▪ IPO meningkat kepada RM3.6 bilion (2022: RM3.5 bilion)

▪ Aktiviti pembiayaan alternatif mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan dan  terus menyokong keperluan pembiayaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana  (PMKS), dengan jumlah dana yang diperoleh berjumlah RM3.8 bilion (2022: RM3.0  bilion). 

▪ Ekuiti pendanaan ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (pembiayaan  P2P) telah membolehkan lebih 15,000 PMKS mengumpul lebih RM6 bilion sejak  penubuhannya. 

▪ Walaupun penanda aras FBM KLCI merosot sebanyak 2.7%, indeks pasaran lain  berakhir secara positif pada 2023, mencerminkan minat pelabur terhadap firma  yang mempunyai potensi pertumbuhan yang lebih tinggi, khususnya segmen  Permodalan Pertengahan dan Kecil. Pada masa ini, pasaran ekuiti domestik adalah  antara pasaran berprestasi terbaik di rantau ini, dengan FBM KLCI memperoleh  hampir 7.0% setakat 12 Mac. 

▪ Pasaran modal Islam Malaysia (ICM) berkembang sebanyak 4.5% kepada RM2.4  trilion pada 2023, dengan sukuk terkumpul berkembang sebanyak 7.4% dan ekuiti  patuh Syariah sebanyak 1.5%. Untuk mengukuhkan kelebihan daya saing ICM dan  meningkatkan impak sosial dan ekonominya, SC telah mengeluarkan Panduan  Maqasid Al-Shariah. Ini adalah kali pertama panduan sedemikian digunakan  dalam pasaran modal. 

▪ Pada 2023, SC memperoleh lima sabitan jenayah dan denda sebanyak RM8.7 juta, bersama RM4.8 juta penalti sivil yang dikenakan oleh Mahkamah. SC juga  melunaskan RM13.8 juta menurut penyelesaian kawal selia yang dibuat dengan 6 orang dalam kes berasingan. Selain itu, 140 sekatan pentadbiran telah dikenakan.  Ini menyebabkan SC mengenakan denda dan penalti berjumlah RM19.5 juta. 

▪ Untuk meningkatkan keupayaan pengawasan dan penyeliaan, SC telah  membangunkan PLC360, alat dikuasakan AI untuk pengawasan yang lebih teguh  terhadap PLC, yang akan membantu dalam meramalkan kemungkinan salah laku,  memberikan pandangan, mengesan kawasan risiko dan mengenal pasti trend dan  kebimbangan yang muncul. Alat ini dibangunkan secara dalaman dan akan  memberikan gambaran menyeluruh bagi setiap PLC dan juruaudit.

▪ SC terus mengekalkan tumpuan yang kukuh untuk menggalakkan tadbir urus  korporat yang baik (CG). Dalam Penilaian Tadbir Urus Korporat ACGA 2023, SC  mengekalkan kedudukan kelimanya dalam kalangan 12 pasaran Asia-Pasifik.

Selain itu, penyertaan wanita dalam lembaga pengarah PLC dan  pengantara telah bertambah baik, dengan wanita kini memegang 30.7%  jawatan lembaga pengarah, mencapai sasaran 30% yang ditetapkan dalam Kod  Tadbir Urus Korporat Malaysia. 

▪ SC menerima sebanya 3,262 aduan dan pertanyaan mengenai penipuan dan  aktiviti tidak berlesen pada 2023, peningkatan tiga kali ganda dalam tempoh lima  tahun lalu dari 2019 hingga 2023. SC juga telah meningkatkan usaha untuk  melindungi pelabur dan memerangi penipuan dengan menubuhkan Pasukan  Petugas dalaman untuk menyelaraskan campur tangan anti-penipuan,  mempertingkatkan halaman Senarai Peringatan Pelabur dan membangunkan  platform seperti ‘Investment Checker’ (Pemeriksa Pelaburan) dan Meter Penipuan untuk pelabur. 

▪ Inisiatif utama untuk pasaran awam termasuk pengenalan proses pemindahan  dipercepatkan daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama, memudahkan  pengurangan duti setem untuk dagangan saham di Bursa bagi mengurangkan kos untuk pelabur runcit dan perdagangan saham pecahan untuk meningkatkan akses kepada pasaran saham. 

▪ Dalam usaha untuk terus menambah baik fungsi pengampang maklumatnya (gatekeeping), SC memperkemas prosesnya. Ini termasuk memperkenalkan Penilaian Skop Berfokus (FSA) untuk Pengantara Pasaran Modal (CMI) dan  Pengendali Pasaran yang Diiktiraf (RMO) yang layak, mengurangkan masa ke  pasaran kepada tiga bulan daripada enam bulan. 

▪ Selain itu, dengan kerjasama Bursa Malaysia, kelulusan IPO untuk Pasaran  Utama dan Pasaran ACE dipercepatkan kepada tempoh tiga bulan untuk  permohonan baharu yang diterima mulai 1 Mac tahun ini. 

▪ Untuk menangani permintaan untuk maklumat kelestarian yang boleh dipercayai  dan setanding, SC mempengerusikan Jawatankuasa Penasihat antara agensi  mengenai Pelaporan Kelestarian (ACSR) yang telah ditubuhkan untuk  membangunkan Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan.  Rundingan awam untuk mendapatkan maklum balas mengenai cadangan  penggunaan piawaian pendedahan kemampanan yang dikeluarkan oleh Lembaga  Piawaian Kemampanan Antarabangsa dan rangka kerja jaminan, sedang berjalan. 

▪ Untuk memastikan daya saing PKS melalui penggunaan amalan kemampanan,  kami juga menerbitkan Panduan Pendedahan ESG yang dipermudahkan untuk  membimbing PKS dalam membuat perlunya pendedahan untuk eksport. 

Laporan Tahunan 2023 termasuk tiga Rencana Khas yang menekankan sumbangan SC dalam perlindungan pelabur, mengukuhkan kelebihan daya saing pasaran modal  Islam, dan pembangunan bakat pasaran modal. Rencana Khas tersebut termasuk:

Rencana Khas 1: Ke Arah Perlindungan Pelabur yang Lebih Baik Rencana ini menyerlahkan lonjakan dalam penipuan dan aktiviti tidak berlesen yang  dilaporkan kepada SC pada tahun 2023 dan cara SC menangani ancaman ini dengan  penekanan pada langkah proaktif dan campur tangan kolaboratif. 

Rencana Khas 2: Panduan Maqasid Al-Shariah untuk Pasaran Modal Islam  Malaysia  

Pada Oktober 2023, SC memperkenalkan Panduan Maqasid Al-Shariah untuk Pasaran  Modal Islam Malaysia berasaskan prinsip untuk mengukuhkan ekosistem pasaran  modal Islam Malaysia (ICM) dan selaraskan dengan prinsip kewangan Islam. Dengan  penyelarasan yang lebih rapat dengan maqasid al-shariah, ICM berusaha untuk  memupuk ekosistem yang inklusif dan kondusif untuk produk dan perkhidmatan. 

Rencana Khas 3: Program pembangunan bakat pasaran modal yang  dilaburkan, investED 

Melalui investED, SC menyasarkan untuk menangani kekurangan tenaga kerja dalam  pasaran modal dengan membangunkan kumpulan tenaga mahir yang mampan dan  mewujudkan kesedaran yang lebih besar tentang industri pasaran modal dalam  kalangan graduan Malaysia. 

Laporan AOB 2023 

Antara sorotan utama Laporan AOB 2023 ialah: 

▪ Untuk tiga penilaian berturut-turut, Malaysia menduduki tempat pertama  dalam ACGA Corporate Governance (CG) Watch, termasuk pada tahun 2023,  bagi kategori Juruaudit dan Pengawal Selia Audit. 

▪ Terkini, 34 individu baharu dan 1 firma baharu telah didaftarkan, manakala 1  individu telah diiktiraf. 

▪ Pada masa ini, terdapat 374 juruaudit Individu Berdaftar di 41 firma audit yang  berdaftar dan diiktiraf. Juruaudit ini terlibat dalam mengaudit 1,256 PIE dengan  permodalan pasaran PLC RM1.77 trilion, dan audit 1,339 dana jadual dengan Nilai  Aset Bersih RM696 bilion. 

CMSR 2023 

Tinjauna Kestabilan Pasaran Modal (CMSR), dalam laporan 2023 berkata pasaran  modal Malaysia beroperasi dengan teratur pada 2023 tanpa sebarang kebimbangan  kestabilan sistemik yang diperhatikan. Sorotan CMSR termasuk:

Broker saham dan bank pelaburan kekal berdaya tahan dan mempunyai penampan  modal yang mencukupi untuk menguruskan kedudukan kecairan masing-masing  secara berhemat. 

▪ PLC mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi, terutamanya disebabkan oleh  sektor pengangkutan dan perkhidmatan kewangan. 

Memandang ke Hadapan 

Melangkah ke hadapan, SC kekal komited untuk memajukan pasaran modal Malaysia  dan menyokong peralihannya ke arah ekonomi rendah karbon. 

SC sedang memperhalusi Taksonomi SRI dan membangunkan Rangka Kerja  Pelaporan Kemampanan Kebangsaan untuk membimbing peserta industri ke  arah menyelaraskan dengan piawaian kemampanan global. 

SC juga sedang menjalankan semakan menyeluruh terhadap Akta Pasaran Modal  dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA)  untuk memastikan kami kekal relevan dan selaras dengan perubahan dalam  pasaran. 

SC juga tidak lama lagi akan melancarkan Pelan Hala Tuju 5 tahun PMKS, yang  bertujuan untuk menyediakan peningkatan akses kepada pasaran modal untuk PMKS. 

SC akan terus meningkatkan perlindungan pelabur. Ini melibatkan pengawasan ketat terhadap aktiviti tidak berlesen. Di samping itu, SC juga sedang mengkaji rangka kerja  kawal selia yang mentadbir pengumpulan dana oleh Syarikat Awam Tidak  Tersenarai (UPC). 

Untuk memerangi risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, SC  terus meningkatkan usaha dalam penyeliaan dan kawalan industri untuk memastikan  keberkesanan kawal selia rejim AML, dan menyokong penyediaan Penilaian Bersama  Pasukan Petugas Tindakan Kewangan pada 2025. 

Program pembangunan bakat pasaran modal yang diterajui SC, investED, yang  dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Jun 2023, memasuki tahun keduanya, dengan  kohort pertama yang menamatkan pengajian pada bulan Mei ini. Program ini telah  mencapai kemajuan ketara, melangkaui semua sasarannya sejak dilancarkan. 

Untuk melihat laporan ini, sila lawati: 

1) Laporan Tahunan SC 2023 

2) Laporan Tahunan AOB 2023 

3) Kajian Kestabilan Pasaran Modal 2023