6 Tips Dalam Meminta Seseorang Untuk Menjadi Penjamin Anda

Apabila anda ingin memohon sesuatu pinjaman di Malaysia, salah satu syaratnya ialah anda perlu mempunyai seorang penjamin atau peminjam bersama (sekiranya anda membuat permohonan bersama dengan seseorang). Kebanyakannya akan meminta ahli keluarga sendiri untuk menjadi penjamin, manakala sebilangan orang akan meminta saudara-mara bahkan teman rapat untuk menolong mereka.

Tidak kira siapa yang anda inginkan untuk menjadi penjamin anda, anda perlu menguruskan hal ini dengan berhati-hati, kerana hal kewangan sememangnya sesuatu yang amat sensitif. Ini kerana pihak bank akan mengejar penjamin anda sekiranya anda gagal membayar balik wang pinjaman itu.

Bagi anda yang bercadang dalam meminta seseorang untuk menjadi penjamin anda, kami mempunyai beberapa nasihat yang baik untuk anda.

Lihat 6 tips berikut ini jika anda ingin meminta seseorang menjadi penjamin anda:

1. Pilih Penjamin Yang Bersesuaian

Sumber gambar: TeroVesalainen/Pixabay

Kenal pasti orang-orang di sekeliling anda yang mempunyai skor kredit yang baik. Adakah mereka hebat dalam menguruskan hutang-hutang mereka? Adakah mereka menepati masa apabila membayar bil-bil mereka? Adakah mereka berpendapatan tetap?

Mereka yang kewangannya stabil selalunya berkemahiran dalam menguruskan wang dan juga kewangan peribadi mereka; dan orang-orang beginilah yang anda perlukan untuk menjadi penjamin anda, kerana mempunyai skor kredit yang baik akan meningkatkan peluang anda dalam mendapatkan pinjaman. Pada dasarnya, anda mesti mempertimbangkan beberapa perkara, termasuklah:

  • Skor kredit dan pelbagai aset yang penjamin anda harus ada
  • Lokasi mereka (untuk kemudahan bersama, pilihlah seseorang yang tinggal berdekatan kerana dia perlu ada dalam setiap perjumpaan dan urusan tandatangan)

Kenal pasti apa keperluan atau syarat sebagai penjamin yang dikehendaki pihak bank. Syarat-syaratnya mungkin berlainan bergantung kepada bank atau jenis pinjaman yang anda mohon. Anda juga boleh semak lebih lanjut mengenai syarat-syarat asas sebagai penjamin oleh Bank Negara Malaysia.

Namun begitu, permohonan anda akan menjadi sia-sia jika anda sendiri mempunyai skor kredit yang rendah, jadi sebelum membuat sebarang permohonan pinjaman, pastikan anda tingkatkan skor kredit anda terlebih dahulu.

2. Berlatih Berbicara Bagi Meyakinkan Bakal Penjamin

Sumber gambar: rawpixel/Pixabay

Anggaplah situasi anda seolah-olah anda bakal memberikan pembentangan atau ‘business pitch’ di tempat kerja. Bayangkan diri anda di tempat hadirin yang ada, dan fikirkan pelbagai persoalan yang bakal mereka tanyakan. Sediakan jawapan anda; lebih banyak soalan oleh bakal penjamin yang dapat anda jawab, lebih baik. Mempunyai pengetahuan yang mendalam menunjukkan betapa bertanggungjawab dan seriusnya anda dalam hal ini, dan ini boleh memberi keyakinan kepada bakal penjamin anda.

Rancangkan perkara-perkara utama yang ingin anda bualkan untuk mengelak daripada bersembang kosong dan membuang masa. Setelah anda bersedia, kumpulkan kesemua maklumat yang penting (contohnya seperti maklumat mengenai pinjaman itu, pelan pembayaran balik, atau pelan kecemasan) dan bawalah ia bersama dengan anda sewaktu bertemu dengan bakal penjamin. 

3. Berjumpa Dengan Mereka Secara Peribadi

Sumber gambar: katemangostar/Freepik

Wang merupakan isu yang amat sensitif, jadi lebih baik sekiranya anda bercakap dan berjumpa dengan bakal penjamin secara peribadi bagi mengelakkan sebarang salah faham dan juga untuk mendapatkan kepercayaan mereka.

Buat perjanjian untuk berjumpa dengan mereka bagi menunjukkan betapa serius dan komitednya anda dalam mendapatkan pinjaman ini bagi meningkatkan taraf hidup anda. Pilih tempat, tarikh, dan masa untuk berjumpa yang paling memudahkan buat mereka.

Jika anda berjumpa dengan mereka di tempat awam, pilihlah kafe yang selesa dan tidak terlalu ramai orang yang memberikan anda sedikit privasi dan tidak bising. Ini memudahkan anda untuk berbual dengan tenang dan selesa. Belikan mereka minuman atau makanan (jika perlu) sebagai tanda terima kasih kerana mereka telah bersusah payah untuk bertemu dengan anda.

Beritahu mereka tentang rancangan anda untuk menyambung pengajian, membeli kereta agar memudahkan anda ke tempat kerja, melangsungkan majlis perkahwinan dan sebagainya. Berterus-teranglah dan seterusnya beritahu mereka mengenai niat anda dalam mendapatkan pinjaman bagi melaksanakan impian tersebut, dan anda memerlukan seorang penjamin bagi membantu anda.

4. Bentangkan Pelan Pembayaran Balik

Sumber gambar: katemangostar/Freepik

Setelah anda memberitahu mereka mengenai rancangan dan sebab anda untuk mendapatkan pinjaman, tunjukkan keupayaan anda dalam membayar balik pinjaman tersebut. Bentangkan pelan pembayaran balik, dan pastikan ia munasabah. Jangan lupa beritahu mereka tentang situasi kewangan anda, pendapatan anda, serta bajet bulanan; dan tunjukkan jadual pembayaran balik agar mereka tahu berapa banyak jumlah yang akan anda bayar nanti.

Anda juga boleh meyakinkan mereka lagi dengan memberitahu mereka bahawa Malaysia kini mempunyai sistem yang lebih adil buat para penjamin, di mana mereka tidak lagi diisytiharkan muflis sekiranya peminjam gagal membayar hutang mereka. Namun begitu, pastikan kepada mereka bahawa anda tidak akan ambil ringan terhadap hutang anda.

Sebagai tambahan, beritahu mereka tentang hak-hak mereka sebagai seorang penjamin. Berikan mereka risalah Info Perbankan Mengenai Penjamin yang dikeluarkan oleh Bank Negara dan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia. Risalah tersebut memperincikan segala perkara yang penjamin patut tahu, termasuklah hak-hak mereka dan cara-cara bagi melindungi kewangan mereka.

5. Bentangkan Pelan Kecemasan

Sumber gambar: Freepik

Tak kira betapa bersedianya kita, hidup ini penuh dengan kejutan, dan sebilangannya boleh memberi kesan terhadap kewangan anda. Jika hal ini terjadi, hidup anda akan menjadi lebih mudah sekiranya anda telah menyediakan pelan kecemasan awal-awal lagi.

Dalam kes di mana anda tidak berupaya untuk membayar semula pinjaman anda disebabkan oleh perkara yang tidak diduga, beritahu bakal penjamin anda mengenai langkah-langkah yang bakal anda ambil bagi menangani masalah itu, berdasarkan kepada jenis pinjaman yang anda ambil. Contohnya seperti:

  • Membuat perundingan semula syarat pinjaman
  • Menjual atau menyewa kenderaan atau hartanah untuk keuntungan

Terdapat pelbagai pilihan yang boleh anda pilih sekiranya anda tidak dapat membayar semula pinjaman anda, jadi rajin-rajinlah mencari maklumat atau bertanya mengenai pilihan yang ada, dan pilihlah langkah yang terbaik berdasarkan kepada situasi anda.

6. Apa Yang Perlu Anda Lakukan Setelah Mereka Memberi Jawapan

Sumber gambar: Ijeab/Freepik

Tak kira betapa rapatnya anda dengan bakal penjamin anda, jangan sangka mereka akan bersetuju. Meminta seseorang untuk menjadi penjamin anda merupakan perkara yang besar, jadi bertimbang rasalah terhadap mereka. Berilah mereka masa yang cukup untuk membuat keputusan, kerana hal ini juga akan memberi kesan kepada mereka. Lihat apa yang perlu anda lakukan setelah mereka memberikan jawapan:

  • Jika mereka berkata ‘tidak’
    Janganlah anda memaksa mereka dan meminta mereka untuk mempertimbangkannya lagi. Jawapan ‘tidak’ bermakna mereka mempunyai komitmen kewangan yang lebih penting. Ucapkan terima kasih kepada mereka dan cari bakal penjamin yang lain.
  • Jika mereka berkata ‘mungkin’
    Jawapan ini agak rumit: jika langkah anda benar mungkin anda akan mendapat jawapan yang positif, tetapi jika tersalah langkah anda akan mendapat jawapan yang negatif. Dalam hal ini bakal penjamin anda masih kurang keyakinan. Mungkin anda tidak menjawab segala persoalan mereka dengan terperinci. Cari tahu apa yang bermain di fikiran mereka. Berjumpalah sekali lagi atau bawalah mereka ke bank untuk bertemu dengan pegawai bank. Jika anda ingin membuat permohonan dalam talian, duduklah bersama dengan mereka dan tinjau halaman tersebut bersama-sama. Ini akan lebih meyakinkan mereka.
  • Jika mereka berkata ‘ya’
    Tahniah, anda semakin hampir dalam melaksanakan impian anda! Anda boleh pergi ke bank bersama-sama untuk berbincang dengan pegawai bank atau berjumpa dengan mereka bagi membuat permohonan dalam talian. Tak kira sama ada anda membuat permohonan di bank atau dalam talian, pastikan anda turut melibatkan mereka dalam setiap proses permohonan.   

Jika anda sedang mencari pinjaman peribadi yang bersesuaian, lihatlah beberapa pilihan pinjaman peribadi yang terbaik di Malaysia ketika ini, selain daripada pelbagai promosi pinjaman peribadi yang sedang berlangsung.

Kami turut mempunyai berita baik untuk anda! MOHON SEKARANG untuk Standard Chartered CashOne Personal Loan atau Citi Personal Loan, istimewa di BBazaar, dan dapatkan baucar Tesco bernilai RM50 setelah pinjaman diberi. Tertakluk kepada terma dan syarat.

Ditulis dan diterjemahkan oleh Dayana Sobri bagi pihak BBazaar Malaysia.
Artikel ini disiarkan secara eksklusif di MajalahLabur.com.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend