Apakah Itu “Microfinance” Dan 4 Kebaikannya?

Pernahkah anda pergi buat pinjaman di bank, namun sukar atau tidak mendapat kelulusan? Bagaimana pula dengan golongan miskin yang ingin membuat pinjaman di bank?

Golongan yang mempunyai pendapatan yang rendah pasti sukar untuk membuat pinjaman. Apatah lagi ingin membuat pinjaman untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Mereka yang kurang berkemampuan ini tidak mempunyai cagaran apabila hendak membuat pinjaman di bank.

Oleh yang demikian, terdapat satu kemudahan yang diwujudkan untuk golongan ini yang dipanggil sebagai “microfinance” ataupun pembiayaan mikro.

Dalam erti kata lain, “microfinance” berfungsi sebagai sistem perbankan untuk mereka yang kurang berkemampuan. Golongan ini terdiri daripada mereka yang bergaji kecil atau pun tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Microfinance” bukan sahaja membantu peniaga syarikat kecil dan sederhana (SME) tetapi juga untuk golongan persendirian yang memerlukan bantuan. Sebagai contoh, seorang ibu tunggal yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual kuih-muih. Beliau pastinya memerlukan bantuan kewangan sebagai modal untuk memulakan perniagaan.

Sejarah “microfinance” mula diperkenalkan oleh seorang ahli ekonomi bernama Muhammad Yunus yang berasal dari Bangladesh. Dengan buah fikiran bernas ini, beliau medapat pengiktirafan sebagai pemenang hadiah Nobel pada tahun 2006.

Di Malaysia pula, “microfinance” yang pertama ditawarkan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada tahun 1988. Kemudian, ianya diikuti dengan Yayasan Usaha Maju (YUM) pada tahun yang sama dan TEKUN Nasional pada tahun 1998. Bermula pada tahun 2006, kerajaan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) menggalakan lebih banyak institusi kewangan untuk menawarkan khidmat “microfinance”.

Kini, perkhidmatan ini boleh didapati di kebanyakan bank komersial seperti Maybank, CIMB dan Public Bank dan juga di bank pembangunan seperti Agro Bank dan Bank Rakyat.

Di antara fungsi dan kebaikan “microfinance” ialah:

1. Membantu untuk membiayai perniagaan kecil dan sederhana

“Microfinance” boleh memberikan pinjaman modal untuk mereka memulakan perniagaan kecil-kecilan. Ini akan turut membuka peluang pekerjaan baru untuk orang lain apabila perniagaan mereka semakin berkembang.

2. Membantu golongan berpendapatan rendah untuk kegunaan harian

Pinjaman yang dibuat pastinya membantu mereka untuk menyara kehidupan. Mereka akan mempunyai lebih banyak wang tunai untuk membeli barang-barang kelengkapan harian seperti makanan, ubat-ubatan dan sebagainya. Mereka juga boleh menggunakan wang pinjaman ini untuk menghantar anak ke sekolah.

3. Membantu dan menggalakkan golongan miskin untuk menyimpan wang

Apabila sudah mempunyai barang keperluan yang mencukupi, mereka akan mula menyimpan lebihan wang yang ada. Wang yang disimpan boleh diguna pakai sewaktu kecemasan.

4. Melindungi golongan yang tidak berkemampuan daripada risiko seperti kematian, penyakit, kecurian dan bencana alam

“Microfinance” juga boleh membantu apabila berlakunya musibah. Contohnya, sebuah keluarga yang menjadi mangsa banjir boleh membaiki barang-barang yang rosak ataupun menggantikan kepada barang yang baharu.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Abang Yazree Hazwan. Penulis merupakan seorang Eksekutif di sebuah syarikat penyelidikan pasaran di Malaysia. Mempunyai pengalaman dalam bidang insurans/reinsurans di syarikat reinsurans tempatan

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend