Ketahui Apa Itu Ar-Rahnu, Dan Mengapa Ianya Lebih Baik Daripada Pembiayaan Peribadi

Saya percaya, ramai yang pernah dengar akan Ar-Rahnu ini. Tapi tahukah anda maksud sebenar dan konsep di sebalik Ar-Rahnu ini?

Apa kita kita sama-sama belajar dan fahamkan apa yang dimaksudkan dengan Ar-Rahnu.

Apa Itu Ar-Rahnu?

Ar-Rahnu adalah satu Skim Pajak Gadai Islam yang berlandaskan shariah. Perkataan Ar-Rahnu adalah berasal daripada bahasa Arab (Rahn) yang membawa maksud gadai.

Objektif Ar-Rahnu adalah sama dengan pembiayaan peribadi, iaitu untuk mendapatkan wang tunai tetapi dengan mencagarkan emas. Sekurang-kurangnya peminjam tidak begitu terbeban jika tidak mampu membayar semula pembiayaan kerana telah dicagarkan dengan emas.

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) adalah pencetus idea dalam memperkenalkan Ar-Rahnu di Malaysia sebelum diikuti institusi lain seperti Kedai Al-Rahn (KAR) yang dimiliki oleh Permodalan Kelantan Berhad dan Muassasah Gadaian Islam Terengganu (MGIT) yang telah ditubuhkan oleh kerajaan Negeri Terengganu.

Ar-Rahnu Semakin Meluas

Pada masa sekarang, bank dan koperasi juga ada menawarkan Skim Ar-Rahnu ini. Apa yang untungnya, peminjam tidak dikenakan kadar keuntungan sebaliknya hanya dikenakan upah simpan, itu pun dengan caj yang minima. Surah al-Baqarah ayat 283 juga ada menerangkan perihal gadaian ketika berhutang.

Konsep Ar-Rahnu ini boleh dikatakan situasi menang-menang di antara pembiaya dan peminjam, kerana pembiaya memegang emas milik peminjam manakala peminjam mendapat wang tunai.

Konsep Ar-Rahnu

Pelaksanaan Ar-Rahnu adalah bersandarkan kepada tiga kontrak iaitu:

1. Qardhul Hasan

Dalam Bahasa Melayu adalah pembiayaan yang tidak mengenakan apa-apa caj selain daripada pembiayaan yang telah diberikan. Tiada keuntungan yang boleh diambil oleh pembiaya terhadap peminjam.

2. Wadiah Yad-Dhamanah

Pembiaya bertanggungjawab menjaga emas yang dipajakkan. Jika berlaku sebarang kehilangan, pembiaya akan bertanggungjawab untuk menggantikan semula emas tersebut.

3. Al-Ujrah

Di dalam kontrak Ujrah, pembiaya dibenarkan mengenakan sedikit caj sebagai upah menjaga emas yang dicagarkan. Dalam konteks Ar-Rahnu, Ujrah adalah upah simpan yang digunakan untuk perlindungan Takaful, gaji pekerja, kos pentadbiran, dan keuntungan kepada institusi
pembiaya.

Kenapa Ar-Rahnu?

Berikut adalah 4 sebab kita perlu memilih Ar-Rahnu:

1. Proses yang mudah dan cepat

Tiada dokumen seperti penyata bank atau slip gaji diperlukan. Wang tunai boleh diberikan segera dan amat sesuai jika berlakunya kecemasan.

2. Kurang risiko ‘Non Performing Loan’

Peminjam diberikan masa sehingga 6 bulan untuk menebus kembali emas yang dipajakkan. Jika tidak mampu, peminjam boleh memanjangkan lagi tempoh lagi 3 ke 6 bulan.

Jika masih tidak mampu, pembiaya akan melelong emas tersebut. Itupun setelah diberikan tiga kali notis.

Pembiaya akan mengambil jumlah pinjaman + upah simpan daripada hasil lelongan tersebut. Sebarang lebihan, akan dikembalikan kepada peminjam. Ini mengurangkan risiko kepada pembiaya dan peminjam pula tiada risiko berdepan tindakan saman atau bankrup jika tiada kemampuan membayar.

3. Pembayaran yang fleksibel

Apa yang menariknya dengan Ar-Rahnu, adalah pinjaman boleh dibayar secara ansuran sama ada mingguan atau bulanan. Asalkan bayaran dilunaskan sehingga tempoh penebusan.

Ini memberikan kelebihan terutamanya kepada peniaga kecil yang memperolehi keuntungan secara harian.

4. Kadar upah simpan yang sangat minimum

Jika anda masih ragu-ragu, boleh buat perbandingan dengan pajak gadai konvensional. Sebagai contoh, Ar-Rahnu Bank Rakyat menawarkan RM0.65 bagi setiap RM 100 nilai marhun (emas) sebulan.

Lihat sendiri perbandingan berikut:

Akhir kata, marilah kita manfaatkan kelebihan Ar-Rahnu ini jika kesempitan wang atau memerlukan tunai dengan kadar segera.

Wallahu’alam bisshawab.

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain, Lulusan Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam, UiTM dan masih bekerja di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Penulisan adalah atas kapasiti individu dan tidak mewakili mana-mana pihak.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend