Dana Unit Trust PMB Investment Beri Pulangan Sehingga 33% Setahun

PMB Investment Berhad hari ini telah mengadakan majlis pengumuman di Hotel Premiera, Kuala Lumpur bagi mengumumkan 3 perkara berikut:

1. Agihan Pendapatan PMB Shariah Growth Fund
2. Prestasi 5 Dana Terbaik
3. Penghargaan kepada 52 anak-anak pelabur PMB Investment Cemerlang SPM 2017

1. Agihan Pendapatan PMB Shariah Growth Fund

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Timbalan Ketua Setiausaha KKLW, YB Dato’ Azizan bin Mohamad Sidin(dari kiri). Pengerusi PMB Investment Berhad, Datuk Abdul Malik Ismail (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Berhad, Datuk Nazim Rahman (tiga dari kiri) menyerahkan agihan pendapatan PMB Shariah Growth Fund kepada para pelabur.

PMB Investment Berhad mengumumkan agihan pendapatan dana ekuitinya, iaitu PMB Shariah Growth Fund (PMB SGF) sebanyak 12 sen seunit bersamaan kadar pulangan sebanyak 8.85 peratus bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2018 dalam sebuah majlis di Kuala Lumpur hari ini. Jumlah pengagihan sebanyak RM4,100,040 akan dibayar kepada 4,237 pelabur korporat dan runcit.

Pada majlis yang sama, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kemajuan Luar Bandar & Wilayah turut menyampaikan pengagihan pendapatan kepada beberapa pelabur individu dan korporatnya.

Menurut Najmi Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, walaupun keadaan pasaran mencabar, PMB Investment gembira dengan prestasi dana tersebut.

Setakat 28 Februari 2018 jumlah saiz dana bagi PMB SGF adalah sebanyak RM51.95 juta dan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) PMB Investment adalah sebanyak RM1.040 bilion.

2. Prestasi 5 Dana Terbaik PMB Investment

Pada majlis yang sama, PMB Investment turut mengumumkan 5 daripada 14 dana di bawah pengurusannya telah merekodkan prestasi cemerlang yang berada dalam “Lipper Reader Rating” bagi kategori saham amanah Ekuiti Malaysia, Ekuiti Pendapatan Malaysia, dan dana Ekuiti Malaysia Small & Mid Capital.

PMB Shariah Aggressive Fund yang berada di tempat pertama dalam senarai Lipper sejak Disember 2012 dengan mencatat pulangan sebanyak 112% bagi tempoh lima tahun, manakala, pulangan untuk tempoh 3 tahun adalah sebanyak 56% dan pulangan 29% bagi tempoh setahun, berakhir 31 Disember 2017 bagi kategori Ekuiti Malaysia.

Bagi PMB Shariah Growth Fund pula berada di kedudukan pertama dari 57 dana yang berada di pasaran bagi kategori Ekuiti Malaysia dengan mencatat pulangan sebanyak 33% bagi prestasi setahun serta pulangan sebanyak 50% untuk tempoh 3 tahun dan 79% untuk tempoh 5 tahun.

PMB Shariah Premier Fund turut mencatatkan prestasi yang memberangsangkan apabila memberi pulangan sebanyak 29% bagi tempoh setahun, 38% pulangan bagi tempoh tiga tahun dan 45% bagi tempoh 5 tahun berakhir 31 Disember 2017.
Selain itu, PMB Investment turut merekodkan kedudukan pertama dalam kategori Ekuiti Pendapatan Malaysia bagi tempoh setahun, 3 tahun dan 5 tahun, dimana PMB Shariah Dividend Fund merekodkan pulangan sebanyak 23% bagi tempoh setahun, 36% bagi tempoh 3 tahun dan 45% bagi tempoh 5 tahun berakhir 31 Disember 2017.

PMB Investment juga berjaya berada di kedudukan pertama dalam kategori Ekuiti Malaysia Small & Mid Capital apabila PMB Shariah Small-Cap Fund mencatatkan prestasi pulangan berjumlah 33% bagi tempoh setahun berakhir 31 Disember 2017.

3. Penghargaan kepada 52 anak-anak pelabur PMB Investment Cemerlang SPM 2017

Sidang Media bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah YB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Timbalan Ketua Setiausaha KKLW, YB Dato’ Azizan bin Mohamad Sidin(dari kiri) Pengerusi PMB Investment Berhad, YBhg Datuk Abdul Malik Ismail (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Berhad, YBhg, Dato Nazim Rahman (tiga dari kanan) , Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat, YBhg Dato’ Azhar Abdul Manaf, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment Berhad, En Najmi Haji Mohamed (dari kanan)

Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan penghargaan kepada 52 orang anak pelabur yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 yang diumumkan pada hari ini. Penghargaan adalah berbentuk nilai pelaburan bernilai RM1,000.

“Kami memilih angka 52 bersempena dengan sambutan 52 tahun Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada Mac 2018,” kata Ismail.

Untuk makluman lanjut, boleh layari laman sesawang atau media sosial PMB Investment.
Turut hadir di sidang media tersebut adalah Dato’ Azhar bin Abdul Manaf, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), dan Dato’ Nazim Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Pelaburan MARA Berhad.

PMB Investment sebuah syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad, adalah sebuah Syarikat Pengurusan Pelaburan Islam (Islamic Fund Management Company, IFMC), ia menguruskan 14 dana unit amanah, dua dana borong dan beberapa mandat portfolio dengan pelaburan dalam kelas-kelas aset ekuiti dan sukuk.

Tinjauan Pasaran Saham

Penganalisis menjangkakan para pelabur lebih berhati-hati dalam tahun 2018 memandangkan prestasi kukuh yang dicatatkan pada 2017 dan kebimbangan terhadap risiko perolehan syarikat-syarikat tersenarai. Kebanyakan penganalisis menjangkakan tahun 2018 menjadi tahun yang tidak menentu dan mencabar berbanding tahun 2017.

“Kami menjangkakan pasaran tidak menentu pada separuh pertama 2018 disebabkan ketidakpastian pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), namun pasaran akan meningkat pada separuh kedua 2018,” kata Najmi.

“Lima (5) faktor yang kami kenal pasti akan mempengaruhi pasaran saham pada tahun 2018 adalah; (1) pengukuhan nilai Ringgit, (2) syarikat-syarikat berkaitan Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14), (3) Dasar One Belt, One Road (OBOR), inisiatif yang diperkenalkan negara China dan saham-saham berkaitan China, (4) transformasi Permodalan Nasional Berhad (PNB); dan (5) syarikat-syarikat bermodal kecil dan sederhana (small-cap and mid-cap),” tambahnya lagi.

Secara teknikal, prestasi indeks kukuh pada bulan Disember 2017 kerana pengukuhan nilai Ringgit, harga minyak mentah yang lebih tinggi serta aktiviti menghias akaun (window dressing) pada hujung tahun. Bagi tahun 2018, bacaan dari indikator pasaran menunjukan kadar pembelian meningkat bagi Januari 2018. Jika momentum berterusan, penganalisis yakin pasaran akan terus meningkat. Bagaimanapun pasaran saham tempatan dan global mengalami penurunan pada awal bulan Februari ekoran kejatuhan saham di Wall Street disebabkan oleh kebimbangan pelabur terhadap kenaikan inflasi dan peningkatan kadar faedah. Bagaimanapun, pasaran global dan tempatan telah kembali pulih pada hujung Februari dan awal Mac.

Isu-isu ini dijangka akan terus mempengaruhi prestasi pasaran saham. Bagaimanapun data-data ekonomi yang baik pada tahun ini akan meningkatkan keyakinan pelabur untuk terus aktif di pasaran.

Baca lagi Perhatian Kepada Pelabur Unit Trust Yang Guna Duit KWSP

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend