7 Sebab Kenapa Milenial Belum Melabur di Pasaran Saham

Rasa kesian pun ada, rasa bersalah pun ada sebab mesej tentang pelaburan saham ini belum sampai ke pengetahuan generasi baru yang dikenali sebagai milenial ini.

Umum tahu bahawa Bursa Malaysia merupakan tempat di mana syarikat-syarikat besar seperti Nestle, Dutch Lady, Telekom, Maxis, Digi, Tenaga Nasional, Petronas dan banyak lagi disenaraikan. Ini membolehkan kita membeli atau menjual saham-saham mereka untuk memperoleh keuntungan.

Namun bagi golongan milenial ini, mereka hanya menjadi konsumer barangan atau perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat-syarikat besar tadi.

Sebagai contoh:

  • Beli Milo untuk anak tetapi tak ada saham Nestle
  • Langgan perkhidmatan Unifi tetapi tak ada saham Telekom
  • Guna prepaid Hotlink tetapi tak ada saham Maxis
  • Tiap-tiap bulan bayar bil elektrik tetapi tak ada saham Tenaga Nasional
  • Isi minyak di stesen minyak tetapi tak ada saham Petronas, Petron dan sebagainya.

Jom kita kupas beberapa faktor utama kenapa golongan milenial ini belum terlibat dengan pelaburan saham.

1. Tak Pernah Dengar Pun Pasal Pelaburan Saham

Ini logik, kerana kebanyakan golongan milenial tak minat untuk membaca suratkhabar fizikal yang mainstream seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times, The Star dan sebagainya. Padahal di setiap suratkhabar ini, ada ruangan khas mengenai ekonomi negara, termasuklah perkembangan terkini pasaran saham Bursa Malaysia.

The Edge dan Focus Malaysia pun pasti ada yang tak pernah dengar. Kalau sebut radio BFM, agak-agaknya tahu tak?

Kalau tengok televisyen, cuma minat siaran Astro (yang juga disenaraikan di Bursa Malaysia tapi tak patuh Syariah) samada hiburan atau bolasepak. Berita jam 8 malam pun hari-hari ulas tentang turun naik harga saham.

2. Percaya Pelaburan Saham Untuk Orang Kaya Sahaja

Bila sebut saja pelaburan saham, mindset terus bertukar bahawa ianya khusus untuk orang kaya dan high-class sahaja. Ia sering dikaitkan dengan golongan pakcik-pakcik tua berpangkat Datuk yang ada driver sendiri dengan kereta Mercedes.

Tapi tahukah anda pelaburan saham di Bursa Malaysia boleh dimulakan dengan modal RM10.60 untuk buka akaun CDS (ada yang boleh buka secara percuma) dan pembelian minima 1 lot (100 unit) bagi sesaham? Ada beratus-ratus saham syarikat yang berharga bawah RM1 bagi seunit saham, jadi modal untuk 1 lot tak sampai pun RM100.

3. Tak Dapat Terima Konsep Rugi

Ada pula tak boleh terima yang pelaburan itu boleh rugi. Ini mungkin disebabkan telah terbiasa menyimpan duit dalam ASB, Tabung Haji dan sebagainya. Harga seunit adalah tetap pada RM1, dan setiap tahun tunggu saja dividen sebanyak 6% ke 8%.

Tapi mesti pernah dengar kan istilah High Risk High Return? Instrumen pelaburan yang membolehkan anda menikmati keuntungan yang tinggi, pasti datang dengan risiko yang tinggi. Adalah seorang artis tu komplen bila saham yang dibeli beliau jatuh harganya (rugi). Boleh baca lagi artikel Rugi Dalam Pasaran Saham, Salah Siapa?

Islam juga menggalakkan kita berniaga, kerana 9/10 daripada pintu rezeki adalah daripada berniaga. Tetapi ada ke perniagaan yang hari-hari untung, dan tak pernah rugi? Makcik berniaga nasi lemak setiap pagi pun, kalau ditakdirkan pagi itu hujan lebat, pasti jualan beliau terjejas sampai tak balik modal. Begitulah konsep mencari rezeki dengan berniaga, kerana dalam pelaburan saham – rugi itu pasti, untung itu wajib.

4. Rasa Susah Nak Urus Sendiri

Dah terbiasa dengan pelaburan amanah saham, di mana tunggu setahun dapat dividen. Ada yang tak tahu pun duit tersebut dilaburkan ke dalam dana apa, naik ke turun harga dana tersebut. Malah CEO KWSP sendiri pernah membuat kenyataan, hanya 1/5 sahaja pencarum KWSP yang mengeluarkan duit untuk melabur ke dalam unit trust, memperolehi keuntungan lebih daripada yang diisytiharkan KWSP setiap tahun.

Dengan mengambil sikap sambil lewa terhadap pelaburan, silap haribulan duit persaraan tak berkembang pun selepas bertahun-tahun melabur. Rugi pula adalah…

5. “FGV Pun Rugi, Inikan Orang Biasa Macam Kita..”

Terlalu asyik dengar keburukan sesuatu perkara, sampai dah tak nak dengar pandangan lain berkenaan sesuatu perkara. Samalah juga dengan golongan milenial yang sering percaya bahawa saham syarikat FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV) tidak mendatangkan keuntungan, jadi orang biasa pula akan lebih rugi.

Eh bro, kenapa perlu ambil contoh yang itu saja? Sedangkan ada saja saham-saham yang memberikan keuntungan luar biasa tingginya. Tahu tak setakat November 2017, ada 686 Saham Syarikat Patuh Syariah Di Bursa Malaysia?

Tak percaya? Tengok sahaja Top 10 Saham Patuh Syariah Paling Untung Januari 2018 dan Top 10 Saham Patuh Syariah Paling Untung Februari 2018. Ada yang untung sampai 130% hanya dalam masa sebulan. Tapi tak aci kalau cerita yang baik sahaja, sebab dalam Top 10 Saham Patuh Syariah Paling Rugi Januari 2018 dan Top 10 Saham Patuh Syariah Paling Rugi Febuari 2018, ada saham yang jatuh sehingga 60% dalam masa sebulan.

6. Gagal Simpan Duit

Memang tidak dinafikan, golongan milenial ini kurangnya ilmu berkaitan kewangan. Dah terbiasa hidup senang barangkali, semuanya disediakan oleh ibubapa.

Namun apabila realiti kehidupan dirasai semasa mula bekerja, terpaksa pula tanggung beban pembiayaan PTPTN sewaktu belajar dulu. Dan taknak mengalah, baru mula bekerja sudah ingin berkereta jenama import seperti Honda dan Toyota. Ikutilah kisah Hutang Kereta Menjerat ke Neraka Kewangan kalau rasa nak sangat beli Toyota Vios dengan gaji RM2,500 sebulan.

7. Ingat Sama Dengan Forex

Ada yang terikut-ikut dengan Forex dan pernah untung besar, tetapi kemudian mula rugi besar pula. Dan tidak kurang juga kena tipu dengan syarikat pelaburan, cuba baca Kerugian Dianggar RM3.8 bilion. PDRM Dedahkan 30 Syarikat Tawar Skim Tidak Sah bagi tahun 2017. Banyak syarikat yang bertopengkan pelaburan forex, saham, emas dan Bitcoin.

Ilmu yang perlu ada sebelum nak jual beli saham ni antaranya ilmu Teknikal Analisis (pergerakan harga dekat chart). Sama seperti forex trading, kena ada ilmu yang sama. Jadi mulalah ingat Forex trading dengan saham ini sama sahaja. Sebenarnya ia 2 instrumen yang sangat berbeza. Tapi cuba baca betul-betul Apa Beza ‘Main’ Saham Dengan ‘Main’ Forex?

Teruskan Perjuangan Mengajak Golongan Milenial Untuk Membuat Pelaburan Saham

Sekarang dah tahu kan kenapa golongan milenial kebanyakannya tidak berminat dengan pelaburan saham? Oleh itu, ayuh mereka yang sudah berkecimpung dalam dunia pelaburan saham, tingkatkan usaha untuk memperbaiki kelemahan diri dan mengajak lebih ramai anak bangsa untuk kenal dengan pelaburan saham yang sememangnya merupakan lubuk emas.

Komen

komen