8 Kesilapan ini punca pelabur saham gagal dan rugi

Sebab rugi melabur saham

Asyik rugi di pasaran saham? Cuba renung-renungkan adakah anda ada ciri-ciri seperti di bawah:

1. Tidak Berdisiplin

Tidak kira anda seorang newbie atau pun otai di dalam pelaburan saham, kalau anda tidak mempunyai disiplin, anda pasti kecundang. Sebagai contoh, katakan anda bertekad untuk berhenti seketika daripada aktiviti jual beli saham setelah memperoleh peratus keuntungan yang diinginkan. Tetapi, anda teruskan juga aktiviti jual beli ini dengan harapan membuat keuntungan yang lebih banyak lagi.

2. Tidak Sabar

Bukan setiap hari anda perlu buat untung, terutamanya di dalam keadaan pasaran saham yang tidak menentu. Kalau tengok banyak saham tengah merah (harga jatuh), apa kata anda bersabar sedikit.

Tak mati pun kalau sehari tak tekan butang BUY, ya tak?

3. Tamak

Tamak

Sifat tamak juga merupakan satu sifat buruk seorang pelabur atau pedagang perlu dijauhi. Kalau anda dah tetapkan hendak untung 10% daripada sesebuah kaunter tu dalam masa seminggu, tiba-tiba anda untung 10% dalam masa sehari – tekan je butang SELL tu.

Ucaplah Alhamdulillah dan bersyukur dengan rezeki pemberian Allah. Kalau harga dia naik lagi, pujuklah hati kerana sekurang-kurangnya anda telah mencapai sasaran. Tapi kalau harganya turun, takdelah pula menyesal.

4. Tiada Matlamat Yang Jelas

Kalau anda tak letakkan sebarang matlamat, anda sebenarnya menuju kegagalan. Anggap macam kita daripada Puchong nak ke Alor Setar, kalau kita tak tetapkan destinasi dekat Waze; macam mana nak sampai?

Memang kita semua nak untung dalam pelaburan saham, tapi banyak mana untung yang kita rasa mencukupi? Dan berapa pula yang kita sanggup rugi? Takut lama kelamaan anda akan sesat dan mula hilang fokus.

5. Tidak Boleh Terima Kenyataan

Dalam suasana pasaran yang suram dan kebanyakan syarikat tak berapa untung, sudah pasti sukar untuk kita membuat pilihan yang terbaik.

Apabila kita tersalah buat pelaburan dan rugi, terima saja kenyataan dan jual sahaja (cut loss). Tak guna kita berharap lagi, teruslah membuat analisa syarikat lain yang lebih berpotensi.

Rugi dalam pelaburan saham bukan bermaksud anda telah gagal.

Apa yang lebih penting adalah bagaimana mengawal kerugian, meminimumkan kerugian dan mengkonsistenkan keuntungan menggunakan ilmu dan pengalaman yang ada.

6. Mengejar Pasaran

Kebanyakan daripada pelabur terlalu mengikut emosi dan tidak membuat kajian yang mendalam sebelum membuat pelaburan. Kita nampak saham A sedang meroket, nak pula kawan kita beli saham A, kita pun tanpa sempat buat homework, ikut sama beli saham A.

Tak usah mengejar pasaran sangat, terutamanya apabila harga saham tersebut naik mendadak dengan cepat. Takut nanti kita tersadai di atas seorang diri. Kalau anda telah melakukan homework, sudah pasti anda boleh mengesan pergerakan saham tersebut lebih awal.

 

7. Labur Melebihi Wang Yang Ada

Kalau anda nak melabur, pastikan modal pelaburan saham anda itu datangnya daripada wang lebihan anda dan bukannya wang perbelanjaan tetap bulanan anda.

Lebih teruk lagi mereka yang sanggup meminjam wang daripada saudara-mara atau pun sahabat handai. Takut nanti rugi, tak terbayar pula.

Lagi teruk daripada di atas adalah mereka yang menggunakan margin daripada syarikat broker untuk melabur. Margin bermaksud fasiliti (hutang) yang diberikan kepada mereka yang mempunyai akaun CDS dan boleh digunakan untuk tujuan pelaburan saham.

Contohnya, anda deposit RM10,000 ke dalam akaun CDS anda dan remisier pula top-up RM30,000 menjadikan jumlah yang anda ada sebanyak RM40,000. Siapa yang tak tergoda kan tengok ada duit lebih, takut anda tak terbayar margin tersebut apabila pelaburan anda tak menjadi.

Jadi kalau ada RM10,000, guna itu sahaja. Lebih selamat. Jangan gatal nak guna margin.

8. Beli Terlalu Banyak Kaunter, 2-3 Pun Dah Cukup

Kita disarankan untuk mengkaji 15-20 kaunter saham, tapi hanya memegang 2-3 kaunter sahaja pada satu-satu masa. Kenapa pula?

Walaupun anda telah setkan alert untuk menjual apabila ia mencecah harga tertentu, dikhuatiri anda sibuk pada waktu tersebut dan terlupa dan terlepas peluang untuk membuat keuntungan.

Sama juga apabila kaunter saham anda mengalami kerugian, anda sepatutnya ikut stop loss yang telah ditetapkan, tapi tak sempat nak jual – maka anda akan alami kerugian yang lebih besar lagi.

Kesimpulan

Bezanya dengan pelabur di sekitar era 90-an, kita pelabur serta pedagang generasi baru sepatutnya lebih cenderung untuk belajar ‘main’ saham dengan cara yang betul menerusi panduan yang betul. Dapatkan ilmu ini dari mereka yang telah terbukti berjaya dan belajar dari kesilapan mereka!

Sekarang anda dah tahu 8 punca kegagalan seorang pelabur saham, sila ambil perhatian dan sebarkan kepada rakan-rakan anda yang lain.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend