Wah, 900 Ribu Bumiputera Sudah Ada Akaun CDS

Wah, semakin ramai di kalangan golongan Bumiputera yang dah terbuka mata dengan pelaburan saham patuh Syariah di Malaysia.

Pada tahun 2017 saja – Hampir sejuta rakyat Malaysia rugi RM3.8 bilion kerana terlibat dalam skim cepat kaya. Daripada terlibat dengan skim yang bukan-bukan, kan lebih baik kita rebut peluang untuk melabur dalam instrumen yang patuh Syariah? Sambil buat duit, sambil bayar zakat saham untuk bantu golongan yang susah.

Lagi banyak kita untung, lagi murah rezeki, lagi ramai orang yang kita boleh bantu dan lagi banyak pahala yang boleh kita perolehi.

Untung dunia, untung akhirat.

Jom kita lihat statistik berkenaan akaun CDS seperti berikut:

Jumlah Akaun Central Depository System (“CDS”) dari tahun 2013 hingga tahun 2017

Kita boleh lihat bagaimana penurunan ketara pada tahun 2014, berikutan penutupan 2 juta akaun CDS yang tidak aktif. Tetapi jika dilihat kepada jumlah akaun CDS yang baru dibuka, ianya meningkat saban tahun.

Nama penuh CDS ialah Central Depository System. Akaun CDS ini macam seperti akaun simpanan kita tetapi kita bukan simpan duit, tetapi kita simpan saham.

Pecahan Jumlah Akaun Central Depository System (“CDS”): Bumiputera dan Bukan Bumiputera dari tahun 2015 hingga bulan Julai 2018

Yang peliknya jumlah akaun CDS meningkat setiap tahun, namun jumlah akaun bagi yang Bukan-Bumiputera seakan jatuh.

Dan golongan Bumiputera pula yang meningkat naik. Bila agaknya boleh cecah angka 1 juta?

Sebenarnya ada banyak faktor yang mempengaruhi peningkatan akaun CDS. Di antaranya di pihak badan berautoriti iaitu Bursa Malaysia sendiri, di mana kita ada Bursa Malaysia-i yang menawarkan platform pelaburan patuh Syariah sepenuhnya yang pertama di dunia. Boleh baca lanjut mengenainya di Bursa Malaysia-i dan Pelaburan Patuh Syariah.

Selain daripada itu, banyak juga inisiatif yang dijalankan seperti mengadakan acara tahunan seperti berikut:

Shariah Investing Fair anjuran Bursa Malaysia-i

InvestSmart Fest anjuran Suruhanjaya Sekuriti

Malah ramai sifu-sifu kewangan dijemput menjadi penceramah bagi mencurahkan ilmu. Event masuk percuma, dengar ilmu secara percuma, dapatkan khidmat nasihat secara percuma, siap dapat goodie bag percuma lagi. Ini bagi menarik orang ramai bagi mengenali peluang pelaburan patuh Syariah yang ada.

Terima Kasih Sifu-Sifu Saham Yang Tak Jemu Mengajar

Selain daripada usaha yang dijalankan badan berautoriti seperti di atas, kita patut berterima kasih juga kepada sifu-sifu saham yang tak henti-henti mengadakan seminar bagi menyedarkan orang ramai khususnya Bumiputera mengenai ilmu pelaburan saham patuh syariah.

Tengok saja mereka yang di dalam Senarai Sifu-Sifu Saham & Kewangan Di Malaysia. Kita ada nama-nama besar dalam industri seperti Tuan Hj. Mohd Asri AhmadDato Dr. Nazri KhanTuan Nazarry RosliTuan Faizal Yusup dan Tuan Norizam Tukiman @ “Zamsaham”.

Bukan Saham Saja Pilihan Pelaburan Patuh Syariah Yang Ada

Bila sebut Bursa Malaysia, pasti kita terbayangkan saham. Tapi sebenarnya banyak lagi pilihan yang ada:

1. Saham Patuh Syariah (‘Shariah-compliant Stock’ atau ‘i-Stock’)

i-Stock yang disenarai dan didagangkan di Bursa Malaysia memperolehi status patuh Syariah setelah melalui proses saringan yang dijalankan oleh Majlis Penasihat Syariah (“MPS”) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (“SC”) dua kali setahun pada setiap bulan Mei dan November.

2. Dana Dagangan Bursa Patuh Syariah (‘Shariah-compliant Exchange Traded Fund’ atau ‘i-ETF’)

i-ETF adalah dana penjejak indeks patuh Syariah yang tersenarai dan didagangkan di bursa saham seperti saham. i-ETF terdiri daripada kelompok aset patuh Syariah seperti saham atau pelaburan berpendapatan tetap menjadikannya berbeza daripada ETF. i-ETF distrukturkan sebagai satu unit amanah tetapi didagangkan di bursa saham dan nilai dagangan i-ETF ditentukan oleh permintaan dan penawaran pasaran. Seperti i-Stock, pelabur boleh berjual beli i-ETF melalui broker saham berlesen pada bila-bila masa sahaja sepanjang hari dagangan.

3. Amanah Pelaburan Hartanah Patuh Syariah (‘Shariah-compliant Real Estate Investment Trust’ atau ‘i-REIT’)

i-REIT adalah salah satu alternatif untuk melabur dalam sektor hartanah tanpa membeli hartanah secara fizikal. Ia merupakan skim pelaburan kolektif yang menggabungkan ciri-ciri terbaik hartanah dan unit amanah, di mana penyewa mengendalikan aktiviti yang dibenarkan mengikut prinsip Syariah. i–REIT adalah dana atau saham amanah yang memiliki dan menguruskan hartanah komersial yang menjana pendapatan seperti kompleks membeli-belah, hospital, perladangan hartanah perindustrian dan blok-blok pejabat. i-REIT disenaraikan di Bursa Malaysia dan didagangkan seperti saham.

4. Bon dan Sukuk Dagangan Bursa (‘Exchange Traded Bonds and Sukuk’ atau ‘ETBS’)

ETBS ialah sekuriti pendapatan tetap, juga dikenali sebagai bon atau sukuk, yang disenaraikan dan didagangkan di pasaran saham. Dahulunya, pasaran bon dan sukuk hanya boleh dilabur oleh pelabur institusi dan kategori pelabur bernilai tinggi. Kini dengan ETBS, semua pelabur boleh melabur dalam pasaran bon dan sukuk melalui pasaran saham.

Instrumen Patuh Syariah yang Disenaraikan dan Didagangkan di Bursa Malaysia (sehingga bulan Julai 2018)

Tahniah kepada anda yang telah menyumbang kepada statistik akaun CDS, diharapkan kita semua beroleh keuntungan saham di dunia dan dijadikan sebagai bekalan saham akhirat juga.

Bagi yang nak mula melabur di pasaran saham Bursa Malaysia dan masih belum memiliki akaun CDS, cepat-cepatlah ikut panduan Cara Buka Akaun CDS. Kosnya RM10 sahaja. Kalau nak buka akaun CDS dari RHB Investment Bank secara percuma, kami syorkan hadir ke seminar anjuran Asri Ahmad Academy. Sambil buka akaun boleh belajar sekali.

Previous ArticleNext Article

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kerajaan Baharu Argentina Harap Projek LNG Dengan Petronas Akan Diteruskan – Mondino

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — Kerajaan baharu Argentina berharap projek gas asli cecair (LNG) bersama yang bernilai berbilion dolar dengan syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas, akan diteruskan.

“Kami berharap dapat memberikan semua jaminan yang diperlukan untuk pelaburan ini diteruskan,” kata Menteri Luar, Perdagangan Antarabangsa dan Ibadat Argentina Diana Mondino kepada Bernama.

Mondino, yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi sulungnya, dijangka mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Petronas pada Isnin 18 Mac, 2024 untuk membincangkan aktiviti Petronas di Argentina.

Pada 1 Sept, 2022 Petronas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat minyak dan gas bersepadu terbesar Argentina, YPF, untuk meneruskan kerjasama di negara Amerika Selatan itu dalam projek LNG bersepadu serta bidang lain termasuk minyak huluan, petrokimia dan penyelesaian tenaga bersih.

Selain MoU itu, YPF dan entiti operasi Petronas di Argentina, Petronas E&P Argentina S.A., memeterai perjanjian kajian dan pembangunan bersama ke arah pelaksanaan kajian dan pembangunan potensi projek LNG Bersepadu Argentina.

Perkara itu akan merangkumi pengeluaran gas huluan khusus, pembangunan saluran paip dan infrastruktur khusus, pengeluaran LNG serta pemasaran dan penghantaran.

Keputusan pelaburan akhir (FID) untuk projek itu akan dilaksanakan selepas penilaian teknikal dan komersial yang teliti dijalankan, disokong oleh terma, perundangan dan dasar fiskal yang kondusif.

Pakatan strategik Petronas dengan YPF bermula pada 2014 melalui perkongsiannya dalam projek La Amarga Chica, Vaca Muerta, sebagai sebahagian daripada aspirasi pertumbuhannya di benua Amerika.

Mondino berkata negara itu boleh mengeksport banyak produk gas dan minyak ke peringkat dunia.

“Argentina boleh mengeksport banyak gas kepada dunia namun kami belum mempunyai teknologi untuk mencairkan gas dan pengangkutan…bukan di tahap yang sepatutnya.

“Banyak perubahan politik berlaku di negara saya dan kini, kami jauh lebih pantas. Sebenarnya, perkara ini boleh bermula bertahun-tahun yang lepas namun tidak berlaku. Kami akan memajukan pelaburan seperti ini,” katanya.

Dilaporkan pada 13 Mac, 2024 YPF dan Petronas telah membuat penangguhan selama setahun untuk memuktamadkan FID bagi fasa pertama projek itu.

— BERNAMA