Apa Itu Saham dan Empat Kelebihan Melabur Saham

Kalau sebut saham, macam-macam definisi yang keluar. Saham ni macam judi lah, saham ni tipu lah, saham ni ikut nasib lah. Tapi sebenarnya kita tahu ke apa itu saham?

Kita ambil contoh mudah dalam transaksi ekonomi:

Contoh 1

Ali membeli bawang dari Kedai Runcit Abu. Transaksi ini adalah transaksi mudah iaitu di antara pembeli dan penjual.

Contoh 2

Kedai Runcit Abu berhasrat untuk mengembangkan perniagaan namun kekurangan modal. Ahmad bersetuju untuk melabur dalam perniagaan Kedai Runcit Abu. Ali pula masih kekal sebagai pembeli. Transaksi ini pula agak rumit kerana melibatkan tiga pihak iaitu pembeli, peniaga/penjual, dan pelabur.

Dalam realiti kehidupan pun sama. Kita ambil Takaful Motor dari Pengendali Takaful untuk membolehkan cukai jalan dihidupkan. Kita pula mengeluh sebab terpaksa menghabiskan duit untuk memperbaharui Polisi Takaful. Akhirnya, Pengendali Takaful juga yang untung.

Mengapa kita tidak berkongsi keuntungan dengan Pengendali Takaful walaupun dalam masa yang sama kita adalah seorang pengguna. Tapi bagaimana?

Caranya adalah melalui saham. Kalau nak mudah lagi, kita tengok gambarajah di bawah:

Pengendali Takaful adalah sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan Takaful. Untuk mengembangkan perniagaannya, pengendali Takaful memerlukan modal yang banyak daripada pelabur. Pengendali Takaful mengajak Abu, Ahmad, Ali, dan Raju menyertai syarikat sebagai pelabur dalam syarikat.

Dengan adanya modal yang banyak, pengendali Takaful dapat mengembangkan perniagaannya dan menjana keuntungan yang lebih besar. Keuntungan pula akan dibahagikan di antara pengendali Takaful dan pelabur mengikut bahagian saham masing-masing.

Empat Kelebihan Melabur Dalam Saham

1. Jadi Bos Pada Diri Sendiri

Jika kita melabur dalam unit amanah, duit kita akan dilaburkan oleh pengurus dana. Dalam saham, kita boleh merancang urusan jual beli saham dan memantau sendiri turun naik sesuatu saham. Paling tidak pun, kita boleh melantik ‘remisier’ yang berkelayakan untuk menguruskannya.

Walaubagaimanapun, selaku orang Muslim, kita haruslah memilih saham yang patuh shariah.

2. Kecairan

Saham boleh dicairkan pada bila-bila masa. Jika kita ingin menjual tanah, rumah, atau kereta, ianya akan mengambil sedikit masa dan perlu melalui proses yang agak rumit. Pembeli ingin melihat keadaan rumah, berbincang berkenaan harga dan membuat proses penukaran nama.

Bagi saham, ianya hanyalah di hujung jari anda. Anda hanya perlukan sebuah komputer dan internet. Nak canggih lagi, pakai telefon pintar pun dah boleh jual beli saham ni.

3. Belajar Bisnes

Untuk berjaya dalam saham, salah satu kemahiran yang perlu ada adalah menganalisis laporan kewangan sesebuah syarikat. Ini penting untuk membolehkan kita membeli saham yang akan menjana keuntungan dan tidak membuat kesilapan dalam pelaburan.

Secara tidak langsung, dapat belajar bisnes tanpa perlu menjadi seorang CEO atau pemilik bisnes.

4. Fleksibel

Dalam saham, kita tidak perlu bekerja daripada pukul 9 pagi hingga 6 petang. Ianya boleh dibuat secara sambilan dan dapat menjana pendapatan pasif. Dalam masa yang sama, kita masih lagi dapat membuat kerja rutin harian.

Kesimpulannya, saham adalah salah satu cara untuk menjana pendapatan. Ianya bukan judi atau skim cepat kaya. Masih ada situasi untung dan rugi. Hadirlah kelas atau seminar berkenaan saham untuk belajar teknik menjana keuntungan melalui saham.

Pastikan seminar tersebut dianjurkan oleh pihak yang bertauliah. Yang penting sekali, pilihlah saham yang patuh shariah.

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Berkelulusan Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam
Masih bekerja di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)
Boleh dihubungi melalui emel azharuladha@gmail.com
Penulisan adalah atas kapasiti individu dan hanya untuk tujuan pendidikan sahaja

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend