Apa Itu Waran Dan Panduan Melabur Dalam Waran

Bila sebut sahaja berkenaan pelaburan, ramai yang terbayangkan Saham, Unit Amanah, ETF dan sebagainya. Ramai yang tak tahu akan kewujudan Waran (atau Warrant) sebagai alternatif kepada saham yang biasa kita dengar. Bukan waran tangkap tu tau! Salah satu sebab waran kurang popular berbanding dengan saham adalah besar kemungkinan kerana kurangnya pemahaman pelabur mengenai apa itu sebenarnya waran.

Kalau kita buka platform jual beli saham, pasti akan terjumpa kaunter-kaunter yang belakang nama kaunter tersebut tersebut ada huruf seperti berikut:

📈WA 📊WB 📉WC📊WD📈WE

Kalau nak fahamkan lagi apa itu waran, kita rujuk kepada perkongsian daripada Bijak Labur yang merupakan suatu inisiatif daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia seperti berikut:

Anda mungkin telah diberitahu bahawa pelaburan dalam waran adalah berisiko dan ianya lebih mudah untuk turun naik berbanding saham. Bagaimanapun, jika anda meluangkan masa untuk betul-betul memahami produk ini, anda akan dapati bahawa waran adalah satu pelaburan alternatif yang patut dipertimbangkan. Anda boleh menjadikan waran sebahagian daripada portfolio pelaburan dan memberi ruang untuk pembelbagaian jika anda betul-betul memahaminya.

Dua Jenis Opsyen – Waran dan Waran Opsyen Beli

Waran atau waran opsyen beli pada asasnya memberi hak, tetapi bukan kewajipan kepada pemegangnya untuk membeli saham utama atau saham pendasar (underlying shares) pada harga yang tertentu dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Ia adalah cara yang murah untuk melabur dalam saham syarikat tersenarai tanpa perlu membayar jumlah penuh.

Pemegang waran atau waran opsyen beli tidak mempunyai hak mengundi atau hak dividen sepertimana diberi kepada pemegang saham. Oleh sebab itu, anda mesti ingat bahawa sebagai pemegang waran atau waran opsyen beli, anda tidak layak untuk bersuara dalam keputusan-keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan syarikat.

Waran berbanding Waran Opsyen Beli

Waran Waran Opsyen Beli
  • Dikeluarkan oleh syarikat dengan tujuan untuk mendapatkan modal syarikat terbabit.
  • Selalunya mempunyai tempoh matang yang panjang iaitu untuk tempoh 4 tahun sehingga 10 tahun.
  • Dikeluarkan oleh sebuah institusi kewangan bagi saham yang tidak berkaitan dengan syarikat tersebut.
  • Kebiasaannya akan matang dalam jangka masa lebih pendek iaitu kurang dari setahun.

Kaedah Pelaksanaan Ikut Amerika Atau Eropah?

Waran atau waran opsyen beli boleh dibahagikan kepada dua kategori berdasarkan kaedah ia dilaksanakan iaitu mengikut cara Amerika atau Eropah. Waran kategori Amerika boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sehinggalah ia mencapai tarikh matang sementara waran kategori Eropah hanya boleh dilaksanakan setelah sampai tempoh matangnya.

Nilai Waran Dan Waran Opsyen Beli

Nilai waran ditentukan oleh dua faktor iaitu nilai instrinsiknya dan nilai masa. Nilai instrinsik ialah perbezaan harga semasa sesuatu aset pendasar dengan harga waran yang ditawarkan. Waran mempunyai jangka hayat pelaburan yang singkat.

Oleh itu, apabila anda melihat daripada aspek nilai masa, nilainya akan merosot selari dengan pergerakan masa sehingga ia menjadi sifar pada tarikh luput. Faktor yang akan memberi kesan positif kepada nilai masa waran adalah jangkaan turun naik harga saham pendasar dan tempoh masa matang waran tersebut.

Kenapa Nak Melabur Dalam Waran?

Kos yang diperlukan untuk melabur dalam waran adalah lebih murah. Dari segi peratusan, waran adalah lebih sensitif pada pergerakan saham berbanding aset-aset pendasarnya.

Oleh sebab itu, dengan melabur dalam waran, anda boleh menikmati keuntungan tiada had dengan kos rendah. Selain daripada itu, anda boleh menggunakan modal anda untuk boleh melabur di tempat lain.

Dalam kata lain, kerugian maksimum yang anda boleh alami jika melabur dalam waran hanyalah keseluruhan harga waran tersebut, iaitu sebahagian kecil daripada harga saham. Bagaimanapun, potensi keuntungan waran adalah tidak terhad kerana ia bergantung kepada pergerakan saham pendasar.

Apa Anda Perlu Buat Kalau Nak Melabur Dalam Waran

Jika ingin melabur dalam waran, anda harus mengetahui selok-belok produk itu dan risiko-risiko yang terlibat. Sepertimana diterangkan tadi, prestasi sesuatu waran selalunya dikaitkan dengan pergerakan harga aset-aset pendasarnya. Oleh itu, jika anda merasakan harga pasaran akan naik dan anda yakin pada saham tersebut, maka peluang untuk meraih untung dalam pelaburan waran adalah sangat tinggi.

Walau bagaimanapun, jika pasaran saham berada dalam keadaan menurun dan tempoh matangnya akan tiba tidak lama lagi, anda harus lebih berhati-hati dalam membeli waran. Ini amat penting terutamanya apabila harga pasaran saham pendasar lebih rendah daripada harga laksana waran.

Cara yang lebih berdisiplin untuk melabur dalam waran ialah dengan menetapkan tempoh masa bagi saham pendasar untuk mencapai harga yang telah disasarkan. Jika tidak mencapai harga sasaran, anda perlu menimbang semula kepentingan anda berdasarkan profil risiko untung dan rugi anda.

Jika harga saham terus menurun dan anda tidak mempunyai sebarang idea sama ada pasaran akan turun atau naik dalam masa terdekat, anda mungkin ingin memilih waran dengan tempoh matang yang lebih lama. Anda patut memilih yang mempunyai saham pendasar yang kukuh, mempunyai prospek perniagaan yang cerah dan mempunyai sekurang-kurangnya 3 tahun (seperti yang disarankan oleh pakar pelaburan) sebelum mencapai tempoh matangnya.

Sumber: InvestSmart SC

Saham Induk Umpama Mak, Waran Umpama Anak

Untuk memudahkan kita faham apa itu Waran, kita boleh anggap saham induk sebagai Mak dan waran sebagai Anak. Anak yang baik akan ikut perangai (pergerakan) mak, jika saham Mak naik sebanyak 5%, saham anak berpotensi untuk naik 10%.

Tapi kalau ditakdirkan pula saham Mak turun sebanyak 5%, saham Anak pula boleh turun 10%.

InsyaAllah dalam artikel akan datang, kita akan berkongsi risiko melabur dalam waran dan cara untuk mengurangkannya.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend