Awas Kelas Atau Seminar Saham Yang Tidak Bertauliah

Orang kata kalau nak berguru, carilah yang ‘genuine’ dan berpengalaman. Bukan apa, takut tersalah cikgu, tersalah ilmu, kelak merana nanti. Sebelum ini pun, kami ada siarkan 9 Tips Mencari Guru, Cikgu atau Sifu Pelaburan Saham.

Dulu-dulu memang susah nak jumpa kelas atau seminar pelaburan saham di Bursa Malaysia (nama lamanya BSKL), kalau ada pun secara kecil-kecilan di hotel oleh remiser (bukan Bumiputera). Tetapi sejak seminar pelaburan saham anjuran Bursa Malaysia-i & Tuan Hj Mohd Asri pecah panggung, semakin banyak seminar-seminar lain memeriahkan suasana.

Baguslah tu, makin bertambahlah mereka yang celik kewangan dan terlibat dalam pelaburan patuh syariah. Barulah skim-skim cepat kaya di luar sana tak dapat nak cari mangsa baru.

Di antara kriteria penting yang harus dilihat daripada cikgu yang mengajar seminar atau kelas saham tersebut ialah:

  1. Ada tak guru tersebut mempunyai lesen Capital Markets Services Representative’s Licence (CMSRL) yang di keluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (Securities Commission/SC) Malaysia?
  2. Ada tak beliau menjadi mana-mana ahli persatuan seperti Malaysian Association of Technical Analysts (MATA) dan CMT Association?
  3. Adakah guru saham tersebut ada sijil yang diiktiraf seperti Certified Financial Technician (CFTe) atau Certified Market Technician (CMT)?
  4. Adakah beliau merupakan seorang remisier, bonus kalau beliau ahli persatuan Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (PRIBUMI)?
  5. Adakah seminar mereka diiktiraf atau disokong oleh badan berautoriti seperti BursaMKTPLC @ Bursa Malaysia?
  6. Ada tak guru tersebut mempunyai kelulusan berkaitan kewangan daripada institusi pengajian tinggi?

Kalau kita pergi ke kelas saham mereka yang berdaftar ni, rasa lebih selamat dan ilmu yang disampaikan adalah daripada sumber yang betul.

Industri Kewangan Di Malaysia Sangat Terkawal Rapi

Kalau nak tahu, kita di Malaysia beruntung kerana adanya Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission/SC) yang ditubuhkan bagi memantau dan menjaga kebajikan rakyat Malaysia. Kalau berkaitan bank dan simpanan kita ada BNM, kalau berkaitan bank pelaburan dan pelaburan pula kita ada SC.

Siapakah Securities Commission (SC)?

Sumber gambar : The Malaysian Reserve

Untuk itu, kita rujuk kepada laman web SC untuk tahu lebih lanjut:

Ditubuhkan pada 1 Mac 1993 bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, SC merupakan badan statutori biaya kendiri dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan. SC melapor kepada Menteri Kewangan dan akaunnya dibentangkan di Parlimen secara tahunan. SC mempunyai banyak fungsi pengawalseliaan termasuk:

  • Mengawal selia bursa-bursa, rumah-rumah penjelasan dan depositori pusat;
  • Mendaftarkan prospektus syarikat selain daripada kelab-kelab rekreasi tidak tersenarai;
  • Meluluskan terbitan bon;
  • Mengawal selia semua perkara yang berhubung kait dengan sekuriti dan derivatif;
  • Mengawal selia pengambilalihan dan percantuman syarikat-syarikat;
  • Mengawal selia semua perkara yang berkaitan dengan skim unit amanah;
  • Melesenkan dan mengawasi semua individu yang berlesen;
  • Menggalakkan kawal selia sendiri; dan
  • Memastikan perilaku yang betul di kalangan institusi pasaran dan individu berlesen.

Melaksanakan semua fungsi ini merupakan tanggungjawab besar SC dalam melindungi pelabur. Selain daripada melaksanakan fungsi kawal selia, SC juga bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk menggalakkan dan mempromosikan pembangunan sekuriti dan derivatif di Malaysia.

Perhatikan tiga point yang terakhir tersebut, betapa pentingnya SC menitikberatkan bab lesen di dalam industri pelaburan di Malaysia.

Aktiviti Yang Memerlukan Lesen Di Malaysia

Sumber: Licensing Handbook mukasurat 14 – fail PDF

Tengok betul-betul lapan aktiviti yang digariskan oleh SC seperti di atas. Nak berurusan dengan sekuriti (saham, waran, REIT, ETF dan bon) kita perlukan remisier yang berdaftar. Nak jual unit trust atau amanah saham pun kena daftar juga tau. Skim PRS atau Private Retirement Scheme pun perlu berdaftar dengan SC.

‘Investment advice’ atau nasihat pelaburan juga perlu berdaftar nampaknya. Habis tu kalau dah buat kelas atau seminar pelaburan saham tu, tak dikira sebagai investment advice ke?

Lesen yang dimaksudkan di sini ialah Capital Markets Services Representative’s Licence (CMSRL) yang membenarkan seseorang individu tersebut menjalankan aktiviti yang dipantau di atas bagi pihak prinsipal beliau.

Untuk mendapatkan lesen tersebut, ada beberapa syarat yang dikenakan SC – di antaranya berumur 21 tahun dan ke atas, ada degree yang diiktiraf dan perlu lulus peperiksaan.

Sumber: Licensing Handbook mukasurat 37 – Fail PDF

Bukan itu sahaja, syarikat atau prinsipal perlulah memegang lesen Capital Markets Services Licence (CMSL) yang membenarkan institusi tersebut menjalankan perniagaan yang terkawal di atas. Selain daripada itu, syarikat juga perlulah mempunyai ‘paid-up capital’ sebanyak RM500,000.

Bagaimana Nak Semak Siapa Yang Berdaftar Dengan SC?

Untuk tujuan kajian, jom kita tengok sifu-sifu saham terkenal Malaysia seperti berikut:

1. Tuan Hj. Mohd Asri Ahmad

Sumber: Laman Web SC

Tak perlu nama penuh pun, cuma masukkan nama ‘asri‘ di ruangan Person Name, maka keluarlah semua nama-nama yang mempunyai perkataan ‘asri’ di dalam nama penuh mereka. Kita boleh tahu individu tersebut memegang lesen untuk produk apa, bila tarikh lesen beliau bermula, dan adakah lesen beliau masih sah atau dah tamat.

2. Tuan Nazarry Rosli

Sumber: Laman Web SC

3. Tuan Faizal Yusup (FY)

Sumber: Laman Web SC

Kadang-kadang konfius jugak, nama ‘faizal’ atau ‘faisal’, senang letak nama bapa beliau. Sekarang dah tahu nama penuh FY adalah Ahmad Faizal bin Mohamed Yusup.

4. Tuan Norizam Tukiman (Zamsaham)

Sumber: Laman Web SC

Tuan Norizam merupakan seorang sifu yang memegang dua lesen, iaitu satu untuk sekuriti (saham, waran, ETF, REIT) dan derivatif (futures, FCPO).

5. Tuan Nik Ihsan (Presiden MATA)

Sumber: Laman Web SC

Kalau letak nama Nik Ihsan tak keluar, sebab beliau ada ‘Mohd’ di tengah nama beliau. Jadi bila letak nama Ihsan baru keluar. Hebat juga beliau, setiap 2-3 tahun berpindah syarikat broker, siap boleh tahu sebelum ni beliau kerja dengan siapa.

6. Tuan Firdaus Majid (Oppa)

Sumber: Laman Web SC

Oppa yang juga merupakan Naib Presiden bagi MATA, kini hebat mempromosikan Algorithm Trading bagi memantapkan lagi industri saham Malaysia. Senang lepas ni pakai robot je untuk trade.

7. Tuan Jeffry Azizi (Jep Maybank)

Sumber: Laman Web SC

Jeffry Azizi merupakan di antara top 3 remisier di Maybank yang giat mengadakan kelas setiap minggu di Maybank Investment Bangsar. Malah, beliau bertemu jodoh dengan salah seorang anak murid beliau. Tahniah!

8. Tuan Ridzuan Ibrahim (RI)

Sumber: Laman Web SC

Tuan Ridzuan juga lebih dikenali sebagai RI di kalangan pelabur saham & FCPO.

9. Tuan Mohd Azuri (Penjejakx)

Sumber: Laman Web SC

Satu-satunya sifu dalam senarai yang hanya fokus kepada derivatif, beliau merupakan penulis buku best-seller ‘Seni Peperangan FCPO‘.

Ini hanya contoh nama-nama sifu, kami tahu ramai lagi sifu-sifu berlesen di luar sana. Maafkan kami jika nama tuan tuan tertinggal.

Sebelum Pergi Kelas Atau Seminar Saham, Periksa Dulu Tenaga Pengajar

Sebagai contoh di atas, jangan pula cari nama glemer Tuan Norizam Tukiman iaitu ‘ZamSaham’, memang tak keluarlah. Letak nama seperti dalam Kad Pengenalan, insha Allah akan keluar.

Sebelum nak daftar mana-mana kelas saham tu, untuk mengelakkan orang ramai yang berminat menceburi bidang saham tersilap hadir kelas atau seminar saham, kami berikan beberapa panduan seperti berikut:

1. Tanya nama penuh guru tersebut, kalau sekadar bagi nama glemer dan tak nak bagi nama penuh, abaikan terus.

2. Masukkan nama guru samada nama penuh atau sebahagian sahaja di laman web Suruhanjaya Sekuriti ini http://ers.seccom.com.my/public/Default.aspx?menu=1

3. Tengok samada lesen mereka masih aktif atau tidak.

4. Melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya ragu-ragu atau ada pelawaan menyertai skim-skim (ambil duit deposit) yang mera­gukan berselindung di sebalik kelas saham.

Biasanya guru-guru yang tak bertauliah ini akan letak segala macam jenis ‘certified’ yang tak relevan dengan industri kewangan dan pelaburan di laman web atau Facebook profile mereka.

Pilihan di tangan anda. Kami galakkan bakal pelabur untuk belajar dan berguru. Belajarlah supaya dapat melabur dengan bijak, selamat & bertanggungjawab di samping membina strategi untuk minimumkan risiko pelaburan saham.

Nak Lagi Mudah? Guna Aplikasi InvestSmart daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Bukan setakat lesen saham atau derivatif, nak semak konsultan unit trust atau PRS pun boleh guna aplikasi ini. Boleh muat turun Aplikasi InvestSmart daripada Suruhanjaya Sekuriti tersebut di sini.

Amatlah baik sekiranya pihak Bursa Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti membuat satu garis panduan tentang seminar-seminar saham ini untuk melindungi bakal pelabur.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend