Cara Melabur Patuh Syariah Di Bursa Saham – Apa Kata Mufti Wilayah?

Bila sebut pasal rezeki lebih-lebih lagi tentang pelaburan; tentunya kita nak yang halal dan patuh Syariah. Maklumlah, kita nak bagi anak isteri dan keluarga kita makan daripada sumber yang halal agar diberkati hidup di dunia dan akhirat.

Jom kita bersama-sama dengarkan jawapan daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkenaan topik ini.

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Boleh tak jelaskan cara melabur patuh Syariah di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Saya kurang jelas. Mohon penjelasan. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Terima kasih kepada saudara yang bertanya. Umat Islam dituntut untuk mencari yang halal daripada rezeki Allah SWT di muka bumi ini. Hal ini bertetapan dengan firman Allah SWT:

كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ

Maksudnya“Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu..”

(Surah al-Baqarah: 172)

Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) merupakan badan yang berautoriti dalam mengawal selia dan menentukan status patuh Syariah bagi setiap kaunter yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Ahli-ahli yang dilantik dalam MPS adalah mereka yang bertanggungjawab untuk menilai dan memeriksa setiap kaunter-kaunter syarikat yang tersenarai sebagai patuh Syariah atau sebaliknya. Penilaian tersebut dibuat berdasarkan kepada ‘Penilaian Aktiviti Perniagaan Syarikat’, ‘Penilaian Ratio Kewangan’ serta ‘Penilaian Kualitatif’.

Berdasarkan kepada persoalan, antara cara yang boleh dilakukan dalam memastikan pelabur-pelabur melabur dalam kaunter-kaunter yang patuh Syariah adalah seperti berikut:

Pertama: Menggunakan khidmat broker yang patuh Syariah. Pelabur-pelabur memerlukan akaun CDS (Central Depository System) bagi membolehkan mereka memulakan langkah jual beli saham di BSKL. Akaun ini boleh dibuka di bank-bank pelaburan yang diperakui oleh Bank Negara. Setiap daripada mereka diberi pilihan untuk membuka akaun jenis Islamik atau konvensional dalam berurus niaga dalam pasaran. Oleh itu, pastikan pelabur memilih untuk membuka akaun jenis Islamik (patuh syariah) kerana akaun ini hanya menyenaraikan kaunter-kaunter yang mendapat pengiktirafan patuh Syariah oleh SC. Justeru, setiap urus niaga saham yang bakal berlaku hanyalah dalam kelompok kaunter Syariah sahaja.

Kedua: Jika pelabur membuka akaun CDS jenis konvensional, maka kaunter-kaunter Syariah ini akan dinyatakan simbol bulat (⁰) pada hujung nama kaunter tersebut. Simbul ini membezakan antara kaunter Syariah dengan kaunter non Syariah. Justeru, pelabur boleh memilih untuk membeli kaunter-kaunter yang dinyatakan ini.

Ketiga: Kami cadangkan agar mempelajari dengan mendalam realiti pelaburan yang berlaku di BSKL melalui mereka yang benar-benar ahli ikhtisas dan berkeahlian. Pada saat yang sama, mempelajari dengan lebih mendalam permasalahan muamalat dalam Islam. Ia amat penting agar sentiasa selari dengan kehendak Syariah dan tidak menyeleweng atau tersasar yang dibimbangi membawa kepada tidak patuh Syariah. Benarlah nasihat Saidina Umar ibn al-Khattab:

لاْ يَبِعْ فِيْ سُوْقِنَا إِلا مَنْ قَدْ تَفَقَّهَ فِي الدِّيْنِ

Maksudnya: “Jangan seseorang berjual beli di pasar kami kecuali mereka yang faqih dalam agama.”

Riwayat al-Tirmizi (487)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan bagi persoalan ini kami nyatakan bahawa, ilmu dalam memahami serta menguasai pelaburan amat penting untuk dipelajari bagi setiap pelabur Islam. Pelabur-pelabur Islam mestilah memastikan setiap kaunter yang dibeli adalah patuh Syariah. Dengan ilmu inilah pelaburan-pelaburan akan lebih berkeyakinan dalam tindakan urusniaga yang diambil. Konsep keuntungan sebenar dalam sesuatu pelaburan adalah bergantung pelabur itu sendiri yang menentukan keuntungan dan kerugian yang hendak dan sanggup dihadapi di samping kecerdasan berfikir dan ketepatan tindakan yang diambil.

Semoga penjelasan ini memberi kefahaman dan pencerahan kepada kita semua dalam dalam memahami ajaran agama Islam dengan kaedah yang sebenar. Amin.

Sumber: Laman Web Mufti WP

Sentiasa Tambah Ilmu

Alhamdulillah terbaik di atas perkongsian daripada Mufti Wilayah berkenaan isu ini. Semoga kita beroleh manfaat daripadanya. Jemput baca juga:

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend