3 Faktor Utama Lonjakan Saham Wall Street Jumaat Lalu, Sebab Nombor Dua Orang Selalu Terlepas Pandang

Pasaran saham Wall Street melonjak pada akhir sesi dagangan minggu lalu dengan harga ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh dua minggu. Indeks saham Amerika Syarikat naik lebih daripada 3% pada hari Jumaat (4 Januari 2019) dan berjaya memadam kerugian yang dicatat dalam sesi dagangan hari Khamis berikutan peningkatan kaunter-kaunter teknologi khususnya Apple.

Sejak jatuh ke paras terendah 20 bulan sebelum perayaan Krismas, penanda aras indeks S&P 500 setakat ini telah mencatat kenaikan sebanyak 7.7% dengan kenaikan 3.43% pada Jumaat. Dua lagi penanda aras utama saham Wall Street iaitu Nasdaq dan Dow Jones masing-masing merekodkan kenaikan 4.26% dan 3.29%.

Kenaikan Wall Street dan DAX pada Jumaat (4 Januari 2019). Sumber: Investing.com

Faktor utama kepada lonjakan ini adalah data sektor pekerjaan Amerika Syarikat yang mengejutkan pelabur, komen oleh pengerusi bank pusat Amerika Syarikat (Federal Reserve) dan juga jangkaan positif terhadap rundingan perdagangan AS-China minggu ini. Berikut adalah intipati lanjut kepada tiga faktor tersebut yang anda perlu tahu.

1. Data NFP Amerika Syarikat Mengejutkan Pasaran

Pemangkin utama kepada kenaikan Wall Street Jumaat lepas sudah tentu data NFP yang mengejutkan pasaran. NFP adalah singkatan kepada Non-Farm Payroll iaitu data tambahan pekerjaan bukan perladangan di Amerika Syarikat.

Kenapa data ini sangat signifikan kepada pasaran global?

Amerika Syarikat adalah ekonomi terbesar dunia di mana pertumbuhan ekonominya banyak disumbangkan oleh perbelanjaan pengguna yang mewakili 70% daripada keseluruhan ekonomi. Sebagai sebuah negara yang banyak bergantung kepada sektor perkhidmatan, ia jelas data NFP iaitu jumlah tambahan pekerjaan bukan perladangan menjadi indikator penting kepada pasaran pekerjaan negara ini.

Selain daripada data NFP, ada dua lagi data pekerjaan penting yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh AS iaitu ‘purata gaji per jam’ dan kadar pengangguran. NFP pada bulan lalu (Disember 2018) mencatat bacaan yang begitu besar sekaligus mengejutkan pasaran dengan tambahan sebanyak 312,000 pekerjaan lebih daripada ramalan pasaran iaitu 179,000. Data purata gaji di Amerika Syarikat pula menokok 0.4% lebih daripada jangkaan 0.3%, manakala kadar pengangguran meningkat kepada 3.9% dari 3.7% sebelum ini.

Kenapa ia memangkin kenaikan Wall Street?

Kejatuhan Wall Street sejak bulan Oktober banyak dikaitkan dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin perlahan. Walau bagaimanapun, data terbaru pasaran pekerjaan AS menunjukkan pasaran pekerjaan terus berkembang pesat dengan kenaikan gaji lebih daripada jangkaan pada bulan Disember 2018. Peningkatan ini dijangka akan terus menyokong permintaan domestik terutamanya daripada rakyat Amerika Syarikat sendiri.

2. Komen Memberangsangkan (Dovish) Pengerusi Federal Reserve Jerome Powell

Jerome Powell adalah pengerusi kepada bank pusat Amerika Syarikat yang baru dilantik oleh Presiden Trump tahun lalu bagi menggantikan Janet Yellen yang tamat tempoh perkhidmatannya. Bercakap di dalam forum bersama dua bekas pengerusi The Fed (Ben Bernanke dan Janet Yellen) pada Jumaat, Powell gembira dengan data NFP yang memberangsangkan. Walaubagaimanapun, komen dovish (cenderung kepada pelonggaran monetari) beliau telah mencuri perhatian pasaran sekaligus memperbaharui jangkaan pasaran terhadap kenaikan kadar faedah The Fed tahun ini.

Secara keseluruhan, komen beliau dalam forum tersebut dilihat sebagai dovish, berbeza dengan hala tuju pengetatan dasar monetari seperti yang dinyatakan beliau dalam kenyataan bank pusat baru-baru ini.

Kenapa komen itu melonjakkan saham Wall Street pada Jumaat?

Komen dovish tersebut telah mengurangkan kebimbangan pelabur terhadap pengetatan kredit di Amerika Syarikat dan memperbaharui jangkaan pasaran terhadap kos pinjaman yang kekal di paras semasa pada 2019. Kadar faedah yang kekal rendah bakal menggalakkan lagi aktiviti pelaburan swasta sekaligus terus menyokong ekonomi Amerika Syarikat untuk terus berkembang pesat.

3. Keyakinan Terhadap Rundingan AS-China

Jangkaan pasaran semakin positif terhadap rundingan Amerika Syarikat dan China minggu ini. Presiden Trump menunjukkan isyarat yang sangat jelas selepas perbincangan kedua-dua negara tersebut di Argentina tempoh hari. Hal ini dapat dilihat daripada tweet beliau pada 5 Disember yang lalu.

Perjanjian telah disepakati di antara Trump dan Xi Jinping semasa di Argentina November lalu, untuk menghentikan segala bentuk tarif baru sehingga 1 Mac 2019. China juga berjanji untuk mengambil apa jua langkah bagi mengurangkan defisit perdagangan Amerika Syarikat daripada jumlah AS$375 billion.

Trump berkata pertemuan beliau dengan Presiden Xi di Argentina begitu baik. Tambahnya, pertemuan yang sepatutnya dijadualkan hanya 45 minit berakhir dalam tempoh empat jam dengan banyak isu yang dibincangkan

“Saya rasa kami akan mencapai persetujuan dengan China. Saya rasa mereka juga mahu perjanjian. Kita akan mempunyai hubungan yang baik.”

Pasaran sepanjang tahun 2018 banyak terganggu dengan ketidaktentuan perang perdagangan di antara kedua-dua negara, dengan berbillion dollar dibazirkan oleh perniagaan di kedua-dua negara hanya untuk membayar tarif perdagangan. Setelah beberapa siri pertemuan, kini kedua-dua negara memasuki fasa yang lebih positif dalam rundingan yang akan berlangsung pada minggu ini.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pedagang runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini menjadi seorang penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend