Bagaimana Kadar Faedah di Amerika Syarikat Beri Kesan Kepada Pasaran Saham?

Komuniti pelabur dan media kewangan kebiasaannya obses terhadap kadar faedah, iaitu kos yang perlu dibayar untuk meminjam wang daripada bank. Apabila bank pusat Amerika Syarikat, Rizab Persekutuan (Federal Reserve) menetapkan kadar faedah yang lebih dikenali sebagai Fed Funds Rate, ia memberi kesan berantai kepada keseluruhan ekonomi negara itu.

Walaupun kesan lebih jelas dilihat terhadap ekonomi mengambil masa sekurang-kurangnya 12 bulan, pasaran kebiasaannya memberi respon lebih awal terhadap sesuatu perubahan kadar.

Memahami hubungan di antara kadar faedah dan pasaran saham dapat membantu pelabur atau pedagang runcit memahami bagaimana perubahan kadar faedah memberi kesan kepada pelaburan atau dagangan mereka di samping membuat keputusan pelaburan yang menguntungkan.

Fed Funds Rate Alat Utama Dasar Monetari The Fed

Di Amerika Syarikat, kadar faedah yang mampu menggerakkan pasaran ini dikenali sebagai Fed Funds Rate, sama seperti OPR (Overnight Policy Rate) yang digunakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Namun, kita akan lebih cenderung membincangkan Fed Fund Rate kerana kesannya kepada pasaral global. Fed Funds Rate juga disebut sebagai kadar diskaun (discount rate) iaitu kadar faedah yang dikenakan kepada bank jika meminjam daripada Federal Reserve (The Fed).

Fed Funds Rate adalah alat utama yang digunakan oleh The Fed untuk mengawal inflasi. Umumnya, dengan menaikkan kadar faedah, The Fed dapat mengurangkan penawaran wang di dalam ekonomi yang mana meningkatkan kos untuk meminjam wang.

Sebaliknya, The Fed menurunkan kadar faedah bagi meningkatkan penawaran wang dalam ekonomi agar orang ramai lebih mudah mendapatkan pinjaman untuk dibelanjakan. Bank pusat di seluruh dunia menggunakan cara yang sama bagi mengawal inflasi di negara mereka.

Berikut adalah carta yang menunjukkan naik-turun Fed Funds Rate sejak 20 tahun lalu.

Kadar Faedah Fed Funds Rate Sejak Tahun 1998. Sumber: TRADINGECONOMICS

Apa Yang Berlaku Jika Kadar Faedah Dinaikkan?

Apabila The Fed menaikkan Fed Funds Rate, ia tidaklah memberi kesan secara langsung kepada pasaran saham. Kesan langsung hanya dirasai oleh bank komersial seperti JP Morgan, Goldman Sachs dan lain-lain yang menjadikan kos meminjam daripada bank pusat menjadi lebih mahal. Seperti yang kita bincangkan sebelum ini, kenaikan Fed Funds Rate memberi kesan berantai kepada ekonomi.

Disebabkan kos yang lebih tinggi untuk meminjam wang daripada bank pusat, institusi kewangan cenderung menaikkan kadar faedah yang dikenakan kepada pelanggan yang meminjam wang daripada mereka. Rakyat di Amerika Syarikat terkesan daripada peningkatan kadar faedah pinjaman perumahan mahupun kad kredit, khususnya jika pinjaman ini menggunapakai kadar faedah berubah (variable interest rate).

Hal ini memberi kesan kepada pengurangan amaun wang yang boleh dibelanjakan oleh mereka. Walaubagaimanapun, rakyat masih perlu membayar keperluan bil dan apabila bil menjadi lebih mahal, baki wang yang boleh dibelanjakan (disposable income) semakin berkurang. Oleh itu, perbelanjaan akan merosot yang mana memberi kesan kepada pendapatan dan keuntungan perniagaan.

Dalam hal ini perniagaan mendapat kesan langsung kerana ahli perniagaan juga meminjam wang daripada bank bagi mengembangkan perniagaan mereka. Apabila kos untuk meminjam wang semakin tinggi, perniagaan tidak akan meminjam banyak wang. Kurangnya perbelanjaan perniagaan pula dapat memperlahankan pertumbuhan syarikat. Bagi syarikat yang disenaraikan pasaran saham, harga saham akan mendapat tekanan penjualan.

Kadar Faedah dan Pasaran Saham

Jika pertumbuhan syarikat dilihat semakin berkurangan dengan kata lain kurang menguntungkan sama ada disebabkan jumlah hutang yang lebih tinggi atau kurangnya pendapatan – pelabur mungkin akan menjual saham syarikat sekaligus menyebabkan harga saham jatuh.

Jika terdapat banyak syarikat yang mengalami kejatuhan harga saham, pasaran keseluruhan atau indeks saham seperti Dow Jones dan Nasdaq akan mengalami kejatuhan. Disebabkan hal ini, pelaburan dalam pasaran saham menjadi berisiko.

Bukan semua sektor terkesan dengan kenaikan kadar faedah. Sektor kewangan termasuklah institusi kewangan, pembrokeran, syarikat pinjaman dan syarikat insurans sering mengalami peningkatan pendapatan disebabkan peningkatan kadar faedah kerana mereka boleh mengenakan caj pinjaman yang lebih tinggi. 

Apa Terjadi Jika Kadar Faedah Diturunkan?

Apabila ekonomi semakin perlahan, The Fed terpaksa menurunkan kadar faedah bagi meningkatkan semula aktiviti di dalam ekonomi. Penurunan kadar faedah akan memberi kesan sebaliknya berbanding menaikkan kadar faedah. Pakar ekonomi dan pelabur melihat kadar faedah yang rendah adalah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang memberi faedah kepada pinjaman peribadi dan syarikat, sekaligus membawa keuntungan dan pengukuhan ekonomi.

Pengguna lebih banyak berbelanja dengan kadar faedah yang rendah yang membolehkan mereka memiliki rumah atau kereta baru. Perniagaan pula dapat mengembangkan operasi kerana kos pinjaman yang rendah. Ia sekaligus berpotensi meningkat potensi pendapatan yang membawa kepada peningkatan harga saham syarikat.

Pasaran Saham Bergerak Melalui Jangkaan Terhadap Kadar Faedah

Kenaikan atau penurunan kadar faedah juga memberi kesan kepada emosi dan jangkaan pelabur. Pasaran itu dilihat tidak mampu bergerak dengan banyak dalam sehari jika bukan disebabkan jangkaan pasaran secara keseluruhan.

Apabila The Fed mengumumkan kenaikan kadar faedah, syarikat dan pengguna akan memotong perbelanjaan yang menyebabkan pendapatan berkurangan, yang akhirnya menyebabkan harga saham jatuh. Sebaliknya, apabila The Fed mengumumkan penurunan kadar faedah, andaian umum adalah pengguna dan syarikat akan meningkatkan perbelanjaan yang menyebabkan kenaikan harga saham.

Walaubagaimanapun, jika jangkaan pasaran meleset daripada apa yang sebenarnya dilakukan oleh The Fed, kesan-kesan tadi mungkin tidak akan berlaku. Contohnya, khabar angin dan jangkaan oleh pasaran adalah Fed akan mengumumkan pemotongan kadar sebanyak 50 mata asas dalam mesyuarat seterusnya, tetapi Fed hanya menurunkan 20 mata asas sahaja.

Berita ini sebenarnya tidak akan menyebabkan kenaikan saham, kerana jangkaan sebelum ini mengatakan The Fed akan menurunkan kadar faedah dengan lebih banyak iaitu 50 mata asas yang mana telah diserap (priced-in) oleh pasaran. Dengan kata lain pasaran kecewa dengan jangkaan yang meleset itu.

Namun, jika jangkaan pasaran itu menjadi kenyataan di mana bank pusat MENURUNKAN kadar faedah sebanyak 50 mata asas, berkemungkinan besar indeks saham akan melonjak pada ketika itu. Ia mungkin akan naik lebih tinggi jika kadar faedah DITURUNKAN lebih daripada 50 mata asas, kerana hakikatnya PENURUNAN kadar adalah lebih daripada apa yang dijangka.

Begitulah sebenarnya pasaran bergerak melalui jangkaan terhadap pergerakan kadar faedah yang ditetapkan oleh bank pusat.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pedagang runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend