China Tidak Punya Banyak Senjata Untuk Berdepan Serangan Perdagangan Amerika Syarikat

Ikrar yang dilaungkan China untuk membalas kenaikan tarif yang dikenakan terhadap $200 billion eksport barangan mereka ke Amerika Syarikat telah meningkatkan lagi ketidaktentuan dalam perang perdagangan di antara kedua-dua belah pihak. Para pelabur dan penganalisis pasaran bimbang jika ia terus berlarutan akan merisikokan pertumbuhan ekonomi global.

Perang perdagangan di antara dua kuasa besar ini telah memperlahankan aktiviti ekonomi global dan juga memberi kesan negatif kepada pasaran saham sejak setahun lalu. Ada beberapa ketika kita dapat melihat kejatuhan indeks pasaran saham global secara keseluruhan, dalam masa yang sama peralihan pelabur kepada aset selamat yang sering melonjakkan harga emas dan matawang Yen.

Ini semua adalah ketidaktentuan dalam pasaran dan hasilnya lonjakan indeks volatility (VIX) setiap kali pertikaian kedua-dua negara memuncak. Nak tahu lebih lanjut apa itu VIX, jemput  baca Tahap Ketakutan Di Kalangan Pelabur Pun Kita Boleh Ukur.

Amerika Syarikat cuba menghalang China untuk meneruskan kemaraan dalam memimpin ekonomi dunia dengan meletakkan tarif yang tinggi terhadap barangan import dari negara itu. Dalam masa yang sama, mengancam untuk menaikkan lagi kadar tarif jika China cuba untuk membalas. Semua ini dilakukan Amerika Syarikat untuk memaksa China bersetuju dengan terma mereka. Alasan Presiden Trump adalah ‘ekonomi Amerika sudah lama kerugian disebabkan manipulasi oleh China’.

Semasa kempen Pilihanraya Presiden AS 2016 lagi, Trump telah melaungkan ikrar untuk merundingkan semula terma perdagangan dengan China dan beberapa kali menuduh negara itu memanipulasi matawang sepanjang pemerintahannya.

China Tidak Gentar, Akan Terus Melawan

Ancaman Trump tidak sekalipun membuat kuasa kedua ekonomi dunia ini gentar dan sentiasa menyediakan mekanisme bagi membalas setiap serangan perdagangan dari Amerika Syarikat.

Terbaru, pada Jumaat lepas (10 Mei 2019) Amerika Syarikat telah menaikkan tarif daripada 10% kepada 25% terhadap $200 billion barangan import dari China. Sebagai balasan China pula mengenakan tarif terhadap $60 billion import barangan dari Amerika Syarikat yang akan bermula 1 Jun 2019.

Ada di kalangan pemerhati pasaran yang melihat China mempunyai beberapa pilihan senjata untuk menghadapi serangan perdagangan dari AS yang mana tidak terhad kepada serangan balas tarif sahaja.

China Serang Hutang Kerajaan Amerika Syarikat?

China boleh membalas serangan Amerika dengan melepaskan pegangan besar hutang kerajaan negara itu. Dalam kata mudah, China banyak memberi pinjaman kepada Amerika Syarikat dalam bentuk pegangan bon kerajaan negara itu. Dengan melepaskan pegangan hutang tersebut, China dapat membanjiri pasaran dengan bon-bon kerajaan AS sekaligus menolak harga bon menjadi lebih murah sekaligus melonjakkan kadar faedah jangka panjang di Amerika Syarikat.

Ini akan menyebabkan syarikat-syarikat dan pengguna di Amerika sukar meminjam disebabkan kadar faedah yang begitu tinggi. Dalam jangka masa pendek, ia juga dilihat dapat memperlahankan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat.

China Tidak Punya Banyak Pilihan

Walaubagaimanapun, sebahagian besar penganalisis pasaran berpendapat China tidak akan berbuat demikian kerana ia turut akan memberi kesan buruk kepada kepentingannya disebabkan volaitlity pasaran yang tidak terkawal. Ia dilihat sebagai satu senjata yang kurang efektif kepada China kerana akan memburukkan pegangannya di dalam pasaran bon kerajaan AS. Pegangan semasa China dalam bon kerajaan AS berjumlah $1.13 trillion daripada jumlah keseluruhan $22 trillion yang ada di pasaran.

Sebaliknya, ada juga berpendapat tindakan China melepaskan pegangannya akan membantu melemahkan nilai US dollar dan menjadikan syarikat multinasional di AS lebih kompetitif. Persoalan yang timbul jika China benar-benar berbuat demikian, di manakah sejumlah besar wang $1.13 trillion itu akan disimpan? Sedangkan bon Amerika Syarikat adalah yang paling selamat dengan kadar faedah yang tinggi.

Dalam hal ini, China sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan kerana import Amerika Syarikat dari China jauh lebih besar dan memudahkan Amerika menang dalam perang perdagangan.

China memerlukan lebih banyak strategi dalam perang perdagangan ini dan tindakan melupuskan pegangan bon kerajaan Amerika Syarikat sepatutnya menjadi pilihan terakhir. Itu pun jika Amerika Syarikat benar-benar mengenakan tarif terhadap semua import dari China yang berjumlah $539.5 billion.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend