Dua Isu Geopolitik Antara Fokus Utama Pasaran Global Minggu Ini (30 September – 4 Oktober 2019)

Pasaran pada minggu lalu didominasi oleh drama politik di Amerika Syarikat sehingga mengakibatkan pasaran saham Wall Street ke paras terendah tiga minggu yang lalu. Ketidaktentuan dalam isu geopolitik global termasuk Brexit telah menyokong kenaikan aset selamat (safe-haven) dalam usaha pelabur mengekalkan nilai aset mereka.

Perkembangan terkini yang berlaku dalam pasaran pada hari Jumaat lalu (27 September 2019) menunjukkan indeks saham AS merudum selepas laporan bahawa pentadbiran AS sedang menimbang untuk mengeluarkan syarikat China daripada bursa saham Wall Street. Ia dilihat sebagai satu faktor yang menambah lagi kecelaruan dalam hubungan dua hala AS dan China.

Tidakan terbaru ini adalah satu usaha kerajaan AS untuk mengurangkan pelaburan oleh entiti dari negara itu terhadap syarikat-syarikat China yang disenaraikan di Wall Street.

Secara keseluruhan pasaran saham dunia berhadapan tekanan pada minggu lalu termasuk Asia. Hal ini bertambah teruk apabila terdapat usaha untuk memulakan siasatan pemecatan (impeachment) terhadap Presiden Donald Trump pada hari Selasa (24 September 2019).

Tiga indeks utama Wall Street berakhir lebih rendah pada hari Jumaat dengan Dow Jones Industrial Average (DJIA) susut 0.26%, S&P 500 pula jatuh 0.53% dengan Nasdaq Ditutup 1.13% lebih rendah. Indeks volatility (VIX) yang mengukur tahap kebimbangan pelabur di dalam pasaran pula meningkat ke paras tertinggi tiga minggu yang lalu.

Minggu ini isu geopolitik sekali lagi menjadi pusat perhatian pasaran global dengan isu ‘impeachment’ dan ‘Brexit’. Dua isu ini adalah dua faktor yang telah menambah ketidaktentuan dalam ekonomi dunia.

Berikut adalah tema utama yang bakal menjadi perhatian para pelabur sepanjang minggu ini.

1. Usaha ‘Impeachment’ Terhadap Trump

Presiden Donald Trump kini berhadapan dengan tekanan politik daripada Parti Demokrat selepas pengumuman oleh speaker dewan perwakilan Amerika Syarikat (House of Representative) yang memulakan langkah formal dalam usaha untuk memecat beliau. Pengumuman ini dibuat oleh Nancy Pelosi wakil Demokrat pada hari Selasa, selepas laporan yang mengaitkan Trump dengan penyalahgunaan kuasanya sebagai seorang Presiden.

Laporan menunjukkan Trump menyalahgunakan kuasanya dengan meminta pertolongan kepada kerajaan Ukraine untuk menyiasat anak kepada bekas Naib Presiden Joe Biden. Joe Biden adalah di antara calon utama Presiden daripada Parti Demokrat untuk pilihanraya akan datang.

Kali terakhir usaha ‘impeachment’ dibuat terhadap Presiden AS adalah pada tahun 1998. Ketika itu Bill Clinton adalah presiden daripada Parti Demokrat. Ia mengambil masa selama hampir tiga bulan untuk proceedings berjalan sebelum undian pemecatan dibuat.

Yang pasti, banyak lagi drama yang akan muncul dalam politik AS sepanjang proceedings ini berjalan. Pastinya pasaran juga akan terkesan kerana usaha pemecatan Trump ini bakal memberi risiko kepada dasar ekonomi beliau yang dianggap ‘mesra perniagaan’.

Dasar inilah yang menjadi pemangkin kepada kenaikan Wall Street sejak dua tahun lepas.

2. Cadangan Baru Perjanjian Brexit Oleh Kerajaan UK

Satu lagi isu geopolitik yang penting untuk diberi perhatian adalah Brexit kerana ia adalah di antara penyumbang kepada ketidaktentuan ekonomi di Zon-Eropah. Apakah yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri Boris Johnson untuk mendapatkan perjanjian sebelum tarikh keluar UK pada 31 Oktober ini?

Laporan terbaru yang dikeluarkan Bloomberg menunjukkan kerajaan UK akan membentangkan cadangan penyelesaian isu Brexit kepada Kesatuan Eropah (EU) pada minggu ini selepas konferens Parti Konservatif.

Cadangan baru ini berkemungkinan akan menjadi penyelesaian kepada isu besar sempadan Ireland yang menjadi batu penghalang kepada perjanjian Brexit selama ini.

Walaubagaimanapun, Johnson telah beberapa kali menegaskan beliau akan membawa UK keluar daripada EU pada 31 Oktober sama ada mendapat perjanjian atau sebaliknya. Ia tetap akan berlaku walaupun Parlimen meluluskan undang-undang memaksa penangguhan Brexit jika tiada perjanjian, tegas Johnson.

3. Indeks PMI Pembuatan China

Dengan perang perdagangan AS-China yang tidak menemui jalan penyelesaian selepas banyak siri rundingan dijalankan, perhatian dalam masa terdekat akan terarah kepada data sektor pembuatan China yang bakal memperlihatkan tren terkini perkilangan negara ini dalam suasana perdagangan yang tegang.

Data Caixin PMI yang mengukur indeks sektor pembuatan di negara ekonomi kedua terbesar dunia ini, telah merekodkan bacaan perlahan sejak beberapa bulan lepas disebabkan oleh perang perdagangan.

Bacaan terkini rasmi daripada statistik kerajaan pada Ogos 2019 adalah 49.5, yang menunjukkan aktiviti yang semakin merosot dalam sektor pembuatan China. Manakala bacaan Caixin daripada badan bebas pula berada pada paras 50.4. Jika kedua-dua bacaan ini jatuh dibawah paras 50 yang menggambarkan kemelesetan sedang berlaku, maka ‘mood’ pasaran juga bakal terkesan.

Penganalisa di TD Securities meramalkan bacaan rasmi indeks pembuatan China naik kepada 49.7 dari 49.5. Manakala bacaan Caixin pula dijangka susut daripada 50.4 kepada 50.3.

4. Data Pekerjaan Amerika Syarikat (NFP)

Ini adalah data yang paling ditunggu-tunggu oleh pasaran pada setiap bulan, kerana kebolehannya untuk menggerakkan pasaran terutamanya saham Wall Street dan pasaran tukaran matawang. Non-Farm Payroll (NFP) adalah data pekerjaan yang tidak mengambil kira sektor perladangan dan dikeluarkan pada setiap hari Jumaat minggu pertama setiap bulan.

Data kali ini akan dikeluarkan pada hari Jumaat (4 Oktober 2019) pukul 8.30 malam yang mana mengandungi beberapa komponen data pekerjaan di Amerika Syarikat termasuklah kadar perubahan gaji dan kadar pengangguran.

Data ini penting kerana menjadi perhatian utama bank pusat sebelum membuat keputusan dasar monetari. Untuk pengetahuan anda, pertumbuhan pekerjaan semakin perlahan di Amerika Syarikat dengan hanya kenaikan 130,000 pekerjaan pada bulan Ogos dan 159,000 pada Julai.

Kenaikan lebih daripada paras 200,000 diperlukan bagi meyakinkan pasaran bahawa pasaran buruh di negara ini kekal kukuh. Walaubagaimanapun, kadar pertumbuhan gaji pada bulan Ogos adalah memberangsangkan dengan pertumbuhan 0.40% yang mambawa bacaan tahunan kepada 3.2% – satu bacaan yang kukuh.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.bendbulletin.com/business/7458605-151/us-stocks-hit-3-week-low-after-trade-tensions
  2. https://www.investing.com/news/stock-market-news/stocks–sp-500-ends-lower-as-white-house-china-plan-spooks-market-1988158
  3. https://www.investing.com/news/stock-market-news/sp-nasdaq-dragged-down-by-microns-downbeat-outlook-1987750
  4. https://www.aljazeera.com/news/2019/09/trump-impeachment-inquiry-latest-updates-190924224434789.html
  5. https://www.investing.com/news/economy/take-five-fog-in-the-atlantic-1987792
  6. https://www.bloomberg.com/news/articles/2019-09-27/u-k-s-new-brexit-deal-gambit-may-emerge-as-early-as-next-week

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend