Empat Penggerak Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini (13-17 Mei 2019)

Isu perang perdagangan sekali lagi mengejutkan pelabur. Presiden Trump pada minggu lalu bertindak tegas dengan menaikkan kadar tarif dari 10% kepada 25% terhadap $200 billion import barangan daripada China.

Walaubagaimanapun, pasaran saham tidak menunjukkan tanda yang begitu signifikan dengan ketiga-tiga indeks saham Wall Street mencatat lonjakan pada akhir dagangan minggu lalu. Di antara sebab tiada kesan buruk kepada pasaran, adalah pendirian China yang tidak mengemukakan serangan balas terhadap kenaikan tarif tersebut. Selain daripada itu, tindakan terbaru Amerika Syarikat dijangka akan memaksa China untuk menandatangani perjanjian sekaligus mengakhiri perang perdagangan di antara dua kuasa besar ekonomi dunia ini.

Minggu ini kita akan terus memerhatikan isu perang perdagangan, di samping beberapa data ekonomi penting Amerika Syarikat seperti data jualan runcit.

Berikut adalah empat tema utama yang bakal mempengaruhi landskap pasaran dunia sepanjang minggu ini.

1. Pergerakan Hasil-Bon Amerika Syarikat

Moody’s telah memberi amaran bahawa perang perdagangan akan membawa ekonomi Amerika Syarikat kepada kemelesetan pada tahun hadapan. Keputusan Presiden Trump untuk menaikkan kadar tarif terhadap barangan daripada China dapat meningkatkan lagi risiko kemelesetan.

Pasaran bon ketika ini menunjukkan tanda-tanda kemelesetan di mana hasil-bon jangka pendek sedang menghampiri kadar hasil-bon jangka panjang dan berpotensi menghasilkan situasi yang dipanggil Inverted Yield-Curve.

Inverted yield-curve (Keluk hasil-bon yang terbalik) menunjukkan situasi di mana hasil pulangan bon jangka pendek adalah lebih banyak daripada hasil pulangan bon jangka panjang. Hal ini hanya berlaku beberapa kali sahaja dalam sejarah kewangan dunia dan sering diikuti dengan kemelesetan ekonomi.

Risiko kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat dalam tempoh dua tahun akan datang, telah meningkat kepada 40% berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh Reuters. Ianya berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh Reuters pada Disember 2018 terhadap penganalisis ekonomi yang turut melihat jangkaan kenaikan kadar faedah Federal Reserve yang berkurangan pada tahun 2019.

Ia ternyata berlaku apabila Fed menunjukkan kemungkinan tiada kenaikan kadar faedah pada tahun ini.

2. Retorik Terkini Presiden Trump

White House telah mengumumkan kenaikan kadar tarif daripada 10% kepada 25% terhadap kira-kira $200 bilion barangan import dari China. Dalam perkembangan terbaru, Trump juga mengancam untuk menambah halangan perdagangan terhadap China jika rundingan masih berhadapan jalan buntu.

Beijing turut memberi amaran akan membalas tindakan Amerika Syarikat, tetapi masih belum mengumumkan mekanisme yang akan diambil.

Rundingan yang berlangsung pada minggu lalu adalah usaha kedua-dua negara untuk menamatkan perang perdagangan yang telah berjalan sejak 10 bulan yang lalu, walaupun gagal mencapai kata putus. Bahkan tindakan terbaru Trump telah menambah skala perang perdagangan menjadi lebih besar.

Minggu ini pasaran akan memberi perhatian kepada retorik yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat dan juga China berhubung isu ini.

3. Data Ekonomi Terbesar Dunia

Ekonomi Amerika Syarikat banyak dipacu oleh penggunaan domestik dan beberapa data ekonomi untuk bulan April akan memberi sedikit pencerahan tentang prospek ekonomi bagi tempoh suku kedua tahun 2019. Data jualan runcit akan dikeluarkan pada hari Rabu (15 Mei) pada pukul 8.30 malam, yang mana akan menjadi perhatian pasaran untuk melihat bagaimana tren penggunaan semasa di Amerika Syarikat.

Jualan runcit pada Mac meningkat sebanyak 1.6%, tetapi ramalan kenaikan pada April hanya;ah pada kadar 0.2%. Bagi bacaan jualan runcit teras meningkat 1.2% pada Mac tetapi jangkaan kali ini lebih rendah dengan kenaikan 0.7% pada April. Sebarang bacaan yang melebihi jangkaan, dijangka akan mengurangkan potensi pemotongan kadar faedah oleh The Federal Reserve.

4. Prestasi Semasa Wall Street Selepas Kenaikan Tarif

Pasaran Wall Street mencatat lonjakan semula yang tinggi pada hari Jumaat lalu (10 Mei 2019) selepas kejatuhan selama empat hari berturut-turut oleh S&P 500, Dow Jones, Nasdaq dan Russel 2000. Kejatuhan yang dicatat selama empat hari pada minggu lalu dicetuskan oleh sentimen berisko perang perdagangan apabila Presiden Donald Trump mengumumkan kemungkinan untuk menaikkan tarif daripada 10% kepada 25% terhadap $200 bilion import dari China.

Di antara sebab lonjakan pada hari Jumaat adalah disebabkan pasaran telah menyerap lebih awal kenaikan tarif sebelum pengumuman rasmi dibuat oleh White House.

Prestasi saham Asia pada awal minggu ini pula dijangka positif selepas lonjakan oleh pasaran saham Wall Street pada hari Jumaat yang lalu.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend