Empat Tumpuan Utama Pasaran Global Minggu Ini (19–23 Ogos 2019)

Pasaran saham global melonjak pada permulaan dagangan hari Isnin (19 Ogos 2019) selepas pasaran Wall Street merekodkan kenaikan yang memberangsangkan pada Jumaat lalu (16 Ogos 2019). Pemangkin utama kenaikan ini adalah isyarat yang menunjukkan bahawa ekonomi besar dunia sedang mencari jalan untuk menaikkan semula pertumbuhan ekonomi dengan rangsangan ekonomi yang baru.

Berita ini sekaligus telah memberi tekanan kepada pasaran bon dan mengurangkan permintaan terhadap aset selamat (safe-haven) emas berikutan peralihan pelabur kepada aset yang lebih berisiko.

Apa yang mencetuskan tindakan ini adalah kebimbangan berlakunya kemelesetan ekonomi apabila hasil-bon Amerika Syarikat sekali lagi terbalik (inverted) pada minggu lalu. Bank pusat China muncul sebagai di antara pemangkin yang dijangka akan menurunkan kos pinjaman korporat sekaligus merancakkan pelaburan syarikat-syarikat di negara itu.

Kerajaan campuran Jerman juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil hutang baru bagi merangsang ekonomi. Jerman dijangka akan melancarkan tambahan perbelanjaan kerajaan sebanyak 50 billion euro seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Olaf Scholz pada hari Ahad (18 Ogos 2019).

Minggu ini perhatian sekali lagi akan terarah kepada mesyuarat tahunan bank pusat di Jackson Hole yang mana Pengerusi The Fed, Jerome Powell akan berucap dalam simposium itu pada hari Jumaat (23 Ogos 2019). Selain daripada itu, minit mesyuarat bank pusat Amerika Syarikat (The Fed) juga akan dikeluarkan pada awal pagi Khamis (22 Ogos 2019) yang mana pasaran akan mendapatkan maklumat lanjut tentang halatuju dasar monetari pada masa akan datang.

Berikut adalah empat tema utama yang bakal menjadi perhatian pelabur global sepanjang minggu ini.

1. Perkembangan Hubungan Perdagangan Amerika Syarikat-China

Presiden Trump berkata pada hujung minggu lalu bahawa hubungan dengan China kekal baik dan terus berhubung di antara satu sama lain. Larry Kudlow, penasihat ekonomi Trump berkata perbincangan melalui telefon antara Washington dan Beijing adalah positif dan lebih banyak perbincangan akan dibuat dalam masa sepuluh hari akan datang.

Dalam perkembangan terbaru pada pembukaan pasaran Wall Street hari Isnin, White House mengumumkan kerajaan Amerika Syarikat akan melanjutkan kelonggaran yang diberikan kepada Huawei untuk membeli bekalan daripada syarikat-syarikat AS. Berita terbaru ini telah melonjakkan pasaran saham Wall Street pada awal pembukaan hari Isnin yang sedia positif sejak Jumaat lalu.

2. Perjumpaan di Jackson Hole

Awal pagi Khamis (22 Ogos 2019) ini, minit mesyuarat The Fed akan dikeluarkan pada pukul 2 pagi yang akan menunjukkan maklumat lanjut tentang mesyuarat yang diadakan baru-baru ini. The Fed dijangka akan memberikan sebab-sebab lanjut pemotongan kadar faedah pada Julai lepas.

Dengan volatility (turun-naik) yang berlaku dalam pasaran sejak mesyuarat itu, simposium di Jackson Hole akan lebih menarik tumpuan pasaran dengan ucapan yang akan diberikan oleh Pengerusi The Fed, Jerome Powell pada hari Jumaat (23 Ogos 2019).

Pasaran ketika ini telah menyerap (priced-in) pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat bulan September. Dalam perkembangan berkaitan, hasil-bon jangka panjang dan pendek di Amerika Syarikat telah meningkatkan lagi kebimbangan berlakunya kemelesetan ekonomi.

Walaubagaimanapun, ia masih belum jelas sama ada bank pusat akan memotong kadar dengan lebih aggresif dalam usaha merancakkan semula pertumbuhan ekonomi.

3. Prestasi Sektor Ekonomi Global

Ekonomi Zon-Eropah semakin perlahan dan sesetengah negara di dalam blok ini telah menunjukkan pertumbuhan yang meleset. Adakah kemelesetan ekonomi semakin hampir berlaku di Eropah? Ini bakal terjawab dalam hasil tinjauan yang dibuat oleh Markit pada hari Khamis (22 Ogos 2019).

Data bulan lalu menunjukkan indeks PMI sektor pembuatan mencatat bacaan 46.5, jauh lebih rendah berbanding indeks PMI sektor perkhidmatan dengan bacaan 53.2. Walaubagaimanapun, bacaan sektor perkhidmatan jatuh daripada bulan Jun dengan indeks komposit yang menggabungkan kedua-dua sektor meleset ke paras terendah dalam tempoh tiga bulan.

Di Amerika Syarikat prestasi sektor pembuatan telah jatuh ke paras terendah sepanjang 10 tahun lalu pada bulan Julai, manakala sektor perkhidmatan yang mewakili sebahagian besar ekonomi kekal kukuh dengan bacaan 53.2. Namun, indeks PMI sektor pembuatan dijangka bakal terkesan disebabkan komponen tempahan baru yang jatuh ke paras terendah bagi tempoh tiga bulan.

4. Amaran Terhadap Ekonomi Global

Apa yang berlaku kepada pasaran bon minggu lalu telah mencetuskan kebimbangan akan berlakunya kemelesetan ekonomi. Namun, ada isyarat lain yang turut menghantui ekonomi global yang datang dari China.

Di China, data pengeluaran industri yang dikeluarkan pada minggu lalu merudum ke paras terendah 17-bulan yang menggambarkan penguncupan ekonomi disebabkan perang perdagangan dengan Amerika Syarikat. Penganalisa berkata data terbaru ini adalah bukti permintaan telah merosot dalam sebahagian besar ekonomi China bermula daripada barangan industri, pelaburan dan jualan runcit.

Penganalisa juga berpendapat ekonomi China memerlukan lebih banyak rangsangan disebabkan kekangan yang ada. Data pengeluaran industri kali ini juga meleset daripada jangkaan pasaran. Ekonomi akan terus perlahan dan kerajaan dijangka akan memberi rangsangan ekonomi sebelum penghujung tahun ini.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.investing.com/news/stock-market-news/futures-jump-on-growing-stimulus-hopes-1958142
  2. https://www.investing.com/news/technology-news/us-grants-huawei-another-90-days-to-buy-from-american-suppliers-ross-1958190
  3. https://www.investing.com/news/stock-market-news/asia-stocks-advance-as-chinas-rates-tweak-improves-investor-mood-1957893
  4. https://www.investing.com/news/economy/economic-calendar–top-5-things-to-watch-this-week-1957734
  5. https://www.investing.com/news/forex-news/top-5-things-to-know-in-the-market-on-monday-1958041
  6. https://www.reuters.com/article/us-china-economy-activity/chinas-economy-worsens-in-july-industrial-growth-at-17-year-low-as-trade-war-escalates-idUSKCN1V404X
  7. https://www.reuters.com/article/us-global-markets-themes/take-five-fed-in-a-hole-idUSKCN1V61A5

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend