Laporan Pendapatan Suku Ketiga Antara Tumpuan Utama Pasaran Global Minggu Ini (14-18 Oktober 2019)

Pasaran saham global bergerak lebih rancak pada minggu lalu berikutan sentimen yang beransur pulih. Tiga faktor yang memacu perkembangan positif ini adalah rundingan perdagangan Amerika Syarikat-China, Brexit dan juga halatuju monetari bank pusat utama dunia.

Kesemua faktor tersebut masih lagi berlegar dalam zon yang tidak pasti, di mana tiada kata putus dalam isu perang perdagangan mahu pun Brexit. Walaubagaimanapun, terdapat tanda positif dalam dua isu ini.

Hal ini telah menyumbang kepada sentimen yang lebih baik dalam pasaran global, di mana terdapat kemajuan besar dalam rundingan Brexit dalam pertemuan di antara Perdana Menteri United Kingdom dan Ireland (Boris Johnson dan Leo Varadkar).

Daripada sudut lain, prospek kata sepakat di antara AS-China dalam perjanjian perdagangan semakin meningkat apabila Presiden Donald Trump berkata perjanjian fasa pertama berjaya dicapai. Komen oleh beliau telah memangkin kenaikan tiga indeks utama Wall Street melebihi satu peratus pada penutupan hari Jumaat sebelum ia ditutup lebih rendah daripada paras tertinggi hari tersebut.

Rundingan di antara dua kuasa besar ekonomi dunia ini bersambung pada minggu lalu selepas terhenti selama beberapa bulan. Perkembangan positif menunjukkan China bersetuju untuk membeli $50 billion produk pertanian Amerika Syarikat dan juga patuh kepada beberapa konsesi harta intelek oleh White House.

Pasaran saham Asia pada hari Isnin dibuka lebih tinggi berikutan kemajuan dalam dua rundingan besar pada minggu lalu. Sentimen positif telah menyumbang kepada kenaikan indeks saham Asia pada awal pembukaan hari Isnin (14 Oktober 2019), sekaligus memberi tekanan kepada aset safe-haven seperti matawang Yen, emas dan bon.

Minggu ini, perhatian sekali lagi akan terarah kepada isu geopolitik dan perdagangan terutamanya Brexit dan rundingan AS-China. Pasaran akan meneliti sama ada terdapat kemajuan baru dalam rundingan untuk dijadikan panduan dalam pemilihan aset pelaburan.

Selain daripada itu, laporan pendapatan suku ketiga tahun 2019 oleh syarikat-syarikat di Wall Street juga dijangka memangkin pergerakan pasaran global sepanjang minggu ini.

Berikut adalah tema utama yang bakal menjadi perhatian para pelabur sepanjang minggu ini.

1. Ekonomi China Masih Perlahan

Pasaran saham Asia membuat kenaikan yang memberangsangkan selepas hasil positif dalam rundingan perdagangan AS-China yang berakhir pada hujung minggu lalu. Walaubagaimanapun, data ekonomi terbaru masih menunjukkan aktiviti ekonomi yang lemah di China.

Dalam data perdagangan yang dikeluarkan pada hari Isnin (14 Oktober 2019), eksport China jatuh ke paras terendah sejak Mac 2019 pada kadar 3.2% secara tahunan. Import pula jatuh lebih banyak pada kadar 8.2% yang merupakan paras terendah sejak tahun 2016.

Terdapat bukti yang lebih kukuh menunjukkan ekonomi China kini berhadapan kesukaran dengan kemerosotan 5.2% secara tahunan dalam jualan kereta. Ia juga adalah kejatuhan yang ke 15 bulan berturut-turut.

Menambah lagi kebimbangan dalam ekonomi global, data pengeluaran industri Zon Eropah yang turut dikeluarkan pada hari Isnin mencatat bacaan lebih rendah daripada jangkaan dengan kejatuhan 2.8% pada bulan Ogos, berbanding bulan yang sama pada tahun sebelum.

2. Kemajuan Dalam Rundingan Brexit

Kecelaruan dalam isu Brexit sejak sekian lama, sedikit terlerai apabila Perdana Menteri UK Boris Johnson dan Leo Varadkar (Perdana Menteri Ireland) kini melihat potensi untuk memeterai perjanjian. Perkembangan terbaru ini sememangnya adalah satu kejutan positif kepada ekonomi UK, di mana ia memberi faedah kepada pasaran matawang dengan lonjakan Pound Sterling pada dua sesi dagangan terakhir minggu lalu.

Jangkaan terhadap pemotongan kadar faedah oleh Bank of England (BoE) juga merosot berikutan potensi hasil positif dalam rundingan Brexit, sekaligus mengurangkan ketidakpastian dalam ekonomi United Kingdom.

Walaupun maklumat lanjut tentang kata sepakat masih belum jelas, komen positif oleh pihak Ireland dan ketua perunding Kesatuan Eropah (EU) menggambarkan situasi yang baik dalam isu ini. Isu sempadan Ireland adalah isu utama yang perlu diatasi dan inilah halangan terbesar dalam rundingan sejak tahun lalu.

3. Rundingan AS-China Memangkin Sentimen Positif

Komen positif Presiden Donald Trump telah memangkin kenaikan Wall Street pada minggu lalu. Walaubagaimanapun ia bukanlah satu perjanjian yang telah dicapai secara formal. Para pelabur masih lagi meneliti isu ini dan perkembangan terbaru menunjukkan pihak China mahu rundingan lebih lama sebelum menandatangani perjanjian fasa pertama.

Indeks saham global pada lewat dagangan hari Isnin dan pembukaan pasaran New York bergerak lebih rendah berikutan sebilangan pelabur yang mahu melihat kepastian dalam perjanjian dagang AS-China sebelum melabur dalam aset berisiko.

Paling penting adalah kesudian Amerika Syarikat untuk membatalkan kenaikan tarif seperti yang dirancang pada 15 Oktober, daripada 25% kepada 30% terhadap $250 billion import dari China. Kata sepakat walaupun belum dipersetujui secara formal menunjukkan ia turut memasukkan perlindungan harta intelek dan juga mata wang. China juga dilaporkan bakal membeli sehingga $50 billion produk pertanian dari Amerika Syarikat.

4. Laporan Pendapatan Suku Ketiga 2019

Isu perdagangan dan geopolitik telah mendominasi pasaran apda minggu lalu dan kini tumpuan juga akan terarah kepada laporan pendapatan syarikat pada suku ketiga 2019.

Pasaran menjangka berita yang kurang baik dalam laporan kali ini, dengan tumpuan akan terarah kepada kaunter-kaunter perbankan seperti JP Morgan, Citygroup, Goldman Sachs dan Well Fargo.

Dengan kadar faedah dasar yang telah diturunkan oleh Federal Reserve pada tahun ini, kita menjangka keuntungan bank-bank di Amerika Syarikat merosot lebih daripada satu peratus. Hal ini dinyatakan sendiri oleh penganalisa di Refinitiv, David Aurelio.

Ini akan menjadi kejatuhan pertama sejak suku ketiga tahun 2016.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.investing.com/news/stock-market-news/asia-shares-cheered-by-sinous-trade-progress-1995651
  2. https://www.bloomberg.com/news/articles/2019-10-14/trade-war-latest-trump-china-deal-hawks-tariffs-agriculture-k1qb35cm
  3. https://www.cnbc.com/2019/10/11/cramers-week-ahead-it-is-shaping-up-to-be-a-good-week-for-earnings.html
  4. https://seekingalpha.com/article/4296256-weighing-week-ahead-defining-moment-financial-markets
  5. https://www.investing.com/analysis/same-3-drivers-changing-tone-will-move-markets-in–week-ahead-200472898
  6. https://www.investing.com/news/stock-market-news/top-5-things-to-know-in-the-market-on-monday-1995780
  7. https://in.reuters.com/article/us-global-markets/global-stocks-slip-amid-lack-of-detail-on-trade-deal-idINKBN1WT018
  8. https://www.cnbc.com/2019/10/11/profits-expected-to-fall-as-earnings-season-kicks-off-in-the-week-ahead.html

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend