Lima Catalyst Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini (18-22 November 2019)

Indeks saham global ditutup positif pada akhir dagangan minggu lalu dengan indeks-indeks utama Asia dan Eropah majoritinya ditutup lebih tinggi. Secara keseluruhannya, sentimen positif pelabur disumbangkan oleh data ekonomi yang memberangsangkan dan juga perkembangan positif dalam rundingan perdagangan antara Beijing dan Washington.

Ketiga-tiga indeks utama saham Amerika Syarikat (AS) ditutup pada paras tertinggi dalam penutupan pasaran hari Jumaat (15 November 2019). Indeks S&P 500 juga meneruskan rekod positif dengan kenaikan selama enam minggu berturut-turut apabila sentimen pelabur dilihat semakin baik terhadap perkembangan rundingan perdagangan Amerika Syarikat – China.

Catalyst yang menyumbang kepada kenaikan Wall Street pada Jumaat adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh penasihat ekonomi Presiden Trump, Larry Kudlow yang berkata hubungan dengan China menunjukkan kemajuan dari segi rundingan.

Walaupun dengan ketidaktentuan hubungan perdagangan dengan China, indeks saham utama Wall Street merekodkan prestasi yang begitu baik sepanjang tahun 2019. S&P 500 mencatat kenaikan 24.5%, Dow Jones naik 20%, manakala Nasdaq menokok sehingga 28.7% berbanding tahun 2018.

Walaubagaimanapun, pasaran dilihat masih goyah untuk meneruskan pengukuhan jika tiada kemajuan yang signifikan dalam rundingan AS-China pada minggu ini. Terdapat beberapa catalyst penting yang perlu diperhatikan pada minggu ini, termasuklah minit mesyuarat Federal Reserve, perkembangan pilihanraya UK, laporan pendapatan kaunter peruncitan AS, dan juga prestasi semasa ekonomi Zon Eropah.

Berikut adalah lima catalyst utama yang bakal menjadi perhatian para pelabur sepanjang minggu ini.

1. Perkembangan Rundingan Perang Perdagangan

Sentimen pasaran sepanjang minggu lalu kekal baik dengan kemajuan dalam rundingan dagangan antara AS dan China. Keyakinan pasaran lebih jelas dilihat pada penghujung minggu lalu, apabila Wall Street merekodkan kenaikan tertinggi disokong oleh komen positif Larry Kudlow.

Setakat ini, Amerika Syarikat telah mengenakan 25% tarif terhadap AS$250 bilion dan 15% tarif terhadap AS$112 bilion import barangan dari China. Tarif baru sebanyak 15% terhadap AS$156 bilion pula akan berkuatkuasa pada 15 Disember ini.

China kini berusaha untuk meyakinkan Washington bagi memansuhkan tariff secara beransur-ansur.

Dalam perkembangan terbaru, rundingan melalui panggilan telefon pada hari Sabtu (16 November) antara ketua perunding AS dan China dinilai sebagai membina seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Xinhua.

Panggilan telefon melibatkan ketua perunding Liu He, Robert Lighthizer dan Steven Mnuchin melibatkan perbincangan tentang isu utama perjanjian fasa pertama. Mereka bersetuju untuk terus berkomunikasi secara rapat dalam mencari kata sepakat.

2. Minit Mesyuarat FOMC

Tiada yang mengejutkan apabila The Fed menurunkan kadar faedah Fed Fund Rate buat kali ketiga tahun ini. Kebanyakan pelabur telah menjangka pemotongan kadar baru-baru ini apabila bank pusat memberikan forward guidance sebelum mesyuarat tersebut berlangsung.

Apa yang mengejutkan adalah petunjuk yang diberikan oleh The Fed yang berkemungkinan menghentikan sementara waktu penurunan kadar faedah bagi melihat kesan kadar faedah yang rendah kepada ekonomi. Hal ini menurut bank pusat perlu mengambil sedikit masa sebelum kesannya dapat dilihat kepada ekonomi Amerika Syarikat.

Minit mesyuarat yang bakal dikeluarkan pada hari Khamis (21 November) akan menjadi perhatian untuk pasaran mendapatkan lebih maklumat tentang perkara yang dibincangkan oleh oleh ahli majlis mesyuarat The Fed sebelum ini terutamanya tentang inflasi.

Pengerusi Jerome Powell berkata inflasi perlu meningkat secara signifikan untuk bank pusat menaikkan semula kadar faedah.

3. Ekonomi Zon Eropah Hampir Meleset?

Tumpuan utama pasaran pada minggu ini daripada segi data ekonomi adalah kepada data Purchasing Managers Index (PMI) bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan di Zon Eropah yang akan dikeluarkan pada hari Jumaat (22 November).

Bacaan dijangka sedikit meningkat bagi kedua-dua data sektor pembuatan dan perkhidmatan. Walaupun ramalan adalah positif tetapi bacaan kekal menunjukkan stagnasi yang berlaku di blok tersebut.

Tinjauan yang dijalankan pada bulan Oktober menunjukkan pertumbuhan ekonomi berkemungkinan menjadi negatif pada suku keempat. Dengan andaian seperti ini, potensi untuk bacaan data PMI naik dengan signifikan adalah sangat rendah.

Apa yang lebih membimbangkan adalah rangsangan bank pusat dijangka tidak banyak membantu ekonomi jika situasi kekal negatif di Zon Eropah.

Pihak bank pusat juga telah beberapa kali menggesa supaya kerajaan-kerajaan Eropah membantu untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan pengembangan fiscal. Ujar bank pusat sebelum ini, rangsangan monetari tidak boleh bergerak dengan sendirinya tanpa sokongan dari segi perbelanjaan kerajaan.

4. Laporan Pendapatan Syarikat Peruncitan

Tahap kesihatan ekonomi sering dilihat kepada tingkah laku pengguna, lebih-lebih lagi negara seperti Amerika Syarikat yang mana ekonominya banyak bergantung kepada penggunaan domestik. Oleh itu, tren perbelanjaan penduduk adalah satu indikator penting dalam melihat sentimen mereka terhadap ekonomi.

Perbelanjaan pengguna secara aggregat sudah tentu secara langsung memberi impak kepada pendapatan syarikat-syarikat jualan runcit yang ada di Amerika Syarikat, di antaranya Home Depot, Kohl’s dan Gap yang akan melaporkan pendapatan suku ketiga pada minggu ini.

Setakat ini, 458 syarikat dalam indeks S&P 500 telah melaporkan pendapatan di mana secara keseluruhan pendapatan merosot 0.4% berbanding tempoh sama pada suku keempat 2018.

Daripada banyak syarikat peruncitan di Amerika Syarikat, gergasi dalam talian Amazon akan menjadi perhatian kerana ia dianggap sebagai petunjuk utama kepada tren perbelanjaan di negara itu. Perbelanjaan pengguna yang mewakili 70% daripada keseluruhan ekonomi AS akan menjadi petunjuk sama ada pengguna masih berbelanja atau sebaliknya.

5. Politik dan Pasaran Saham UK

Pilihanraya United Kingdom yang bakal berlangsung kurang dari sebulan sahaja lagi, dengan kedua-dua parti besar di negara itu dijangka akan mengeluarkan manifesto penuh dalam masa terdekat. Pihak pembangkang Parti Buruh dilaporkan berjanji mengambil alih rangkaian jalur lebar BT bagi memberikan lebih manfaat kepada rakyat UK dari segi penggunaan internet.

Indeks saham UK pada Jumaat mendapat manfaat apabila Parti Brexit mengurangkan ketidaktentuan menjelang pilihanraya yang akan berlangsung pada 12 Disember 2019. Selain daripada itu, perkembangan positif dalam perang dagang turut menyokong kenaikan indeks FTSE 100 dalam penutupan pasaran akhir minggu lalu.

FTSE 250 yang lebih terdedah dengan situasi di dalam negeri menokok 0.9% apabila Nigel Farage ketua Parti Brexit dilaporkan membuka ruang untuk Parti Konservatif (kerajaan) mendapat majoriti yang lebih besar.

Penganalisis pasaran di Credit Suisse menjangkakan Parti Konservatif akan mendapat majoriti jika melihat kepada tinjauan terkini. Walaubagaimanapun, sentimen pengundi kali ini tidak dapat dijangka dan mudah berubah dari masa ke semasa menjelang tarikh pembuangan undi.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kerajaan Baharu Argentina Harap Projek LNG Dengan Petronas Akan Diteruskan – Mondino

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — Kerajaan baharu Argentina berharap projek gas asli cecair (LNG) bersama yang bernilai berbilion dolar dengan syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas, akan diteruskan.

“Kami berharap dapat memberikan semua jaminan yang diperlukan untuk pelaburan ini diteruskan,” kata Menteri Luar, Perdagangan Antarabangsa dan Ibadat Argentina Diana Mondino kepada Bernama.

Mondino, yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi sulungnya, dijangka mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Petronas pada Isnin 18 Mac, 2024 untuk membincangkan aktiviti Petronas di Argentina.

Pada 1 Sept, 2022 Petronas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat minyak dan gas bersepadu terbesar Argentina, YPF, untuk meneruskan kerjasama di negara Amerika Selatan itu dalam projek LNG bersepadu serta bidang lain termasuk minyak huluan, petrokimia dan penyelesaian tenaga bersih.

Selain MoU itu, YPF dan entiti operasi Petronas di Argentina, Petronas E&P Argentina S.A., memeterai perjanjian kajian dan pembangunan bersama ke arah pelaksanaan kajian dan pembangunan potensi projek LNG Bersepadu Argentina.

Perkara itu akan merangkumi pengeluaran gas huluan khusus, pembangunan saluran paip dan infrastruktur khusus, pengeluaran LNG serta pemasaran dan penghantaran.

Keputusan pelaburan akhir (FID) untuk projek itu akan dilaksanakan selepas penilaian teknikal dan komersial yang teliti dijalankan, disokong oleh terma, perundangan dan dasar fiskal yang kondusif.

Pakatan strategik Petronas dengan YPF bermula pada 2014 melalui perkongsiannya dalam projek La Amarga Chica, Vaca Muerta, sebagai sebahagian daripada aspirasi pertumbuhannya di benua Amerika.

Mondino berkata negara itu boleh mengeksport banyak produk gas dan minyak ke peringkat dunia.

“Argentina boleh mengeksport banyak gas kepada dunia namun kami belum mempunyai teknologi untuk mencairkan gas dan pengangkutan…bukan di tahap yang sepatutnya.

“Banyak perubahan politik berlaku di negara saya dan kini, kami jauh lebih pantas. Sebenarnya, perkara ini boleh bermula bertahun-tahun yang lepas namun tidak berlaku. Kami akan memajukan pelaburan seperti ini,” katanya.

Dilaporkan pada 13 Mac, 2024 YPF dan Petronas telah membuat penangguhan selama setahun untuk memuktamadkan FID bagi fasa pertama projek itu.

— BERNAMA