Lima Fokus Utama Pasaran Saham Global Minggu Ini (12–16 Ogos 2019)

Minggu lalu adalah satu tempoh yang ekstrem dalam pasaran saham global dengan majoriti indeks saham berakhir rendah pada hari Jumaat (9 Ogos 2019). Ia tidak lain tidak bukan disebabkan oleh pertikaian perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China yang sekali lagi memuncak sekaligus memandu volatility dalam pasaran.

Ketidaktentuan tercetus pada minggu lalu berikutan pengumuman Presiden Trump untuk mengenakan tarif 10% kepada baki import produk dari China yang berjumlah $300 bilion USD. Ia menjadi lebih teruk apabila Presiden Trump sekali lagi menuduh China memanipulasi matawangnya sekaligus menyebabkan matawang Yuan terus merudum dan mencetuskan kebimbangan risiko peperangan matawang di antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia ini.

Sepanjang tempoh yang volatile pada minggu lalu, indeks utama Wall Street berakhir lebih rendah dengan Dow Jones susut 0.80%. S&P 500 jatuh 0.50% dan Nasdaq susut 0.60%. Secara keseluruhan indeks-indeks ini jatuh sebanyak 3% dari paras tertinggi yang dicapai dalam sejarah pada akhir bulan Julai yang lalu.

Permulaan minggu ini pula menunjukkan indeks saham di China menokok dengan matawang Yuan dilihat lebih kukuh daripada jangkaan. People’s Bank of China (PBoC) iaitu bank pusat di China, menetapkan nilai Yuan kepada Dolar AS lebih tinggi daripada sebelum ini dan memberikan keyakinan kepada keseluruhan pasaran Asia pada hari Isnin (12 Ogos 2019).

Berikut adalah lima tema utama yang bakal menjadi perhatian pelabur global dan tempatan sepanjang minggu ini.

1. Perang Perdagangan dan Kemelesetan Ekonomi Amerika Syarikat

Goldman Sachs memberi amaran kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat dengan pertikaian perang perdagangan yang semakin memuncak dengan China. Bank pelaburan yang berpangkalan di negara Uncle Sam itu tidak lagi melihat perjanjian dicapai sebelum pilihanraya presiden Amerika Syarikat pada tahun 2020.

Presiden Donald Trump mengumumkan tarif baru 10% terhadap baki import $300 bilion USD dari China dua minggu lalu. China pula membalas pada 5 Ogos 2019 dengan menggantung import produk pertanian dari Amerika Syarikat dan membenarkan Yuan jatuh ke paras terendah sejak tahun 2008.

Bekas Setiausaha Perbendaharaan AS, Lawrence Summers yang juga bekas Pengarah Majlis Ekonomi Kebangsaan Amerika Syarikat (2009-2010) berkata perang perdagangan membawa negara itu ke arah kemelesetan. Katanya, kebarangkalian berlakunya kemelesetan kini lebih tinggi berbandung dua bulan lalu. “Anda boleh bermain api dan mungkin tiada yang berlaku, tetapi jika kamu selalu melakukannya kamu akhirnya akan terbakar juga”, demikian kata Summers.

2. Yuan China VS Dolar Amerika Syarikat

Naik turun dalam nilai Yuan akan terus menjadi perhatian pasaran global pada minggu ini selepas tuduhan ‘manipulasi matawang’ yang dilemparkan terhadap China. Apa yang berlaku kepada Yuan pada minggu lalu dibimbangi sebagai satu bentuk strategi persaingan dalam perdagangan global dengan merendahkan nilai matawang.

Beijing menepis tuduhan Washington bahawa pasaran yang menolak nilai Yuan lebih rendah dan mereka tidak menjadikan ia sebagai senjata dalam perang perdagangan.

Kejatuhan Yuan menambah ketidaktentuan dalam pasaran global dan dibimbangi akan mencetuskan perang matawang di antara AS-China. Jika ia benar-benar berlaku, bank-bank pusat yang lain tiada pilihan dan terpaksa melonggarkan dasar monetari untuk bersaing dalam pasaran global.

3. Pertumbuhan Ekonomi Zon-Eropah

Kebimbangan ekonomi tidak terhenti di antara AS-China sahaja, minggu ini fokus juga akan terarah kepada Zon-Eropah dengan tumpuan kepada ekonomi terbesar blok tersebut, Jerman. Rabu ini, Jerman akan menerbitkan data pertumbuhan ekonomi suku kedua tahun 2019 selepas data pengeluaran industri yang cukup membimbangkan pada bulan Jun.

Pertumbuhan ekonomi Zon-Eropah dijangka mencatat pertumbuhan 0.2% pada suku kedua dengan Jerman pula diramalkan meleset 0.1%.

Negara yang bergantung kepada eksport ini (Jerman) terdedah dengan perang perdagangan AS-China. Sebagai negara pengeksport, Jerman dibimbangi turut menuju kemelesetan sekaligus menyokong bank pusat Eropah (ECB) melonggarkan dasar monetarinya.

4. Data Ekonomi Amerika Syarikat

Pertikaian yang memuncak di antara AS-China pada minggu lalu mencetuskan pergerakan pasaran yang paling tidak menentu dalam pasaran saham. Minggu ini pasaran juga akan fokus kepada data ekonomi Amerika Syarikat dan bagaimana ia dapat menyerap risiko-risiko luaran yang berlaku dalam ekonomi global terutamanya perang perdagangan.

Data harga pengguna (CPI) akan dikeluarkan pada hari Selasa (13 Ogos 2019) yang mana ianya berada di bawah sasaran bank pusat sejak beberapa tahun yang lalu. Pasaran hadapan kini melihat kebarangkalian 25% pemotongan 50 mata asas kadar faedah oleh Federal Reserve pada mesyuarat bulan September akan datang.

5. Perkembangan Pasaran Malaysia

Di Malaysia, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah akan mengumumkan data pertumbuhan ekonomi suku kedua pada hari Jumaat (16 Ogos 2019). Tumpuan juga akan terarah kepada komen gabenor tentang isyarat pelonggaran dasar dalam mesyuarat BNM yang akan datang.

Penganalisa menjangka data pertumbuhan suku kedua Malaysia kekal kukuh di mana ianya naik sedikit berbanding bacaan suku pertama. Selain daripada itu, satu lagi data penting iaitu data inflasi akan dikeluarkan pada hari yang sama.

Dalam perkembangan pendapatan korporat, Public Bank Bhd dan Petronas Chemicals Group Bhd akan mengeluarkan laporan pendapatan suku kedua 2019 pada hari Jumaat (16 Ogos 2019). Pendapatan Public Bank dijangka terkesan oleh pemotongan kadar OPR oleh BNM, manakala Petronas dijangka mencatat pendapatan lebih kukuh berbanding suku pertama tahun ini.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend