Lima Fokus Utama Pasaran Saham Global Minggu Ini (4-8 November 2019)

Indeks saham Wall Street pada minggu lalu naik ke paras tertinggi yang baru dengan harga bon di Amerika Syarikat (AS) pula merosot berikutan sentimen pasaran yang beransur pulih secara keseluruhan. Di antara yang menyokong sentimen positif sepanjang minggu lalu adalah The Federal Reserve (The Fed), Brexit dan juga isu perdagangan global.

The Fed pada hari Khamis lepas (31 Oktober 2019) telah memotong kadar faedah sebanyak 25 mata asas. Ia adalah penurunan yang ketiga pada tahun ini dengan bank pusat AS itu memberi isyarat untuk menghentikan seketika pemotongan kadar faedah.

Perkara lain yang menyokong kenaikan pasaran saham Wall Street minggu lalu adalah data pekerjaan NFP yang mencatat bacaan di luar jangkaan pada Jumaat (1 November). Bukan itu sahaja, kenaikan juga dipacu oleh perkembangan positif perang perdagangan yang menunjukkan AS-China semakin hampir untuk menandatangani perjanjian fasa pertama.

Minggu ini pelabur akan mengambil peluang untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut tentang dasar The Fed melalui ucapan oleh ahli majlis mesyuarat bank pusat. Presiden baru European Central Bank (ECB) Christine Lagarde pula akan bercakap buat pertama kali sebagai  ketua bank pusat Eropah pada hari Isnin (4 November), manakala Bank of England (BoE) akan menetapkan dasarnya pada hari Khamis (7 November).

Selain daripada dasar monetari bank pusat utama, pasaran juga akan memberi perhatian kepada perkembangan isu perdagangan, Brexit dan laporan pendapatan syarikat di Wall Street.

Berikut adalah lima catalyst utama yang bakal menjadi perhatian para pelabur sepanjang minggu ini.

1. Penjelasan Lanjut The Fed

Dasar monetari akomodatif wujud di mana-mana negara dengan lebih banyak wang yang dicetak berikutan kebimbangan ekonomi global yang semakin perlahan. Demikian itu, kita tidak terkejut dengan pemotongan kadar faedah The Fed baru-baru ini disebabkan ketidaktentuan dalam isu besar perdagangan global.

Ahli-ahli mesyuarat The Fed akan berucap pada minggu ini dan pasaran akan mengambil peluang ini untuk mendapatkan lebih banyak penjelasan tentang halatuju dasar monetari di masa akan datang. Antara yang akan berucap adalah Presiden Fed cawangan New York John Williams, Ketua Fed cawangan Philadelphia Patrick Harker, Ketua Fed cawangan Chicago Charles Evans dan Presiden Fed cawangan Dallas Robert Kaplan.

Ketika ini pasaran menjangka kadar faedah Fed Fund Rate akan kekal di paras semasa sehingga April 2020.

2. Perjanjian Perdagangan Fasa Pertama

Kita akan terus memerhatikan perkembangan dalam isu perdagangan di antara AS dan China di mana perjanjian fasa pertama dilihat semakin hampir untuk dicapai.

Kita mendengar perkembangan positif yang ditunjukkan oleh Washington dan Beijing bahawa rundingan dagang berjalan lancar dan kemungkinan perjanjian fasa pertama akan dapat ditandatangani dalam masa terdekat. China juga mengesahkan bahawa prinsip teras dalam perjanjian telah dipersetujui pada hari Jumaat (1 November).

White House mengesahkan rundingan di antara Liu dan ketua perunding AS (Lighthizer dan Mnuchin) berjalan lancar. Presiden Trump pula menambah keyakinan pasaran dengan mengatakan perjanjian fasa pertama ini mewakili 60% daripada keseluruhan perjanjian jangka panjang antara kedua-dua negara.

3. Pilihanraya United Kingdom (UK) Sebelum Brexit

Perdana Menteri Boris Johnson akhirnya mendapat sokongan untuk mengadakan pilihanraya umum pada 12 Disember 2019. Kita melihat bahawa kemungkinan Hard-Brexit tidak akan berlaku kerana kedua-dua pihak akan merasai kesan negatif yang besar terhadap ekonomi.

Tumpuan dalam isu Brexit akan beralih kepada pilihanraya UK pada bulan hadapan di mana hasil pilihanraya akan menentukan apakah rundingan selanjutnya yang akan dibawa kepada Kesatuan Eropah (EU) oleh parti yang menang.

Daripada segi pergerakan pasaran, hasil pungutan suara sokongan terhadap parti yang mengambil bahagian dalam pilihanraya akan menjadi pemangkin kepada naik-turun pasaran terutamanya matawang Sterling dalam masa terdekat.

Antara lain yang menjadi perhatian di UK pada minggu ini adalah mesyuarat dasar BoE. Bank pusat akan mengumumkan keputusannya pada hari Khamis (7 November) dengan jangkaan tiada perubahan kepada kadar faedah. Dengan isu Brexit yang kini semakin tidak menentu dan pilihanraya umum Disember, sebenarnya tidak banyak yang mampu dilakukan oleh bank pusat kecuali menunggu perkembangan yang lebih jelas di masa hadapan.

4. ECB Dapat Presiden Baru Dari IMF

Mario Draghi akhirnya melepaskan baton kepada Christine Lagarde sebagai ketua European Central Bank (ECB) yang baru. Perspektif yang lebih global dalam diri Lagarde sepanjang menerajui IMF, ditagih untuk membawa ekonomi Eropah ke arah yang lebih mapan secara menyeluruh.

Lagarde dijangka akan mengutarakan visi beliau terhadap ekonomi Eropah di Berlin pada hari Isnin (4 November). Lagarde yang mengambil tampuk pemerintahan ECB pada 1 November yang lalu, telah pun mengeluarkan kritikan terhadap Jerman dan Belanda yang tidak mengeluarkan belanjawan lebihan untuk menyokong pertumbuhan.

Ucapan beliau pada hari Isnin sangat penting untuk diteliti bagi melihat tentang sifat beliau dalam penggubalan dasar bagi mengenali Lagarde sama ada seorang yang hawkish atau dovish.

5. Laporan Pendapatan Suku Ketiga

Laporan pendapatan suku ketiga tahun 2019 oleh syarikat-syarikat di Wall Street juga dijangka memangkin pergerakan pasaran global sepanjang minggu ini. Antara syarikat besar Wall Street yang akan mengumumkan laporannya ialah Uber, Under Armour, Disney, Qualcomm dan Roku.

71% syarikat di dalam indeks S&P 500 telah melaporkan pendapatan suku tahunan mereka. Secara keseluruhan, laporan kali ini lebih baik daripada jangkaan.

Menjelang hari Jumaat ini, 90% syarikat dijangka akan selesai mengumumkan pendapatan untuk suku ketiga tahun 2019 bagi indeks S&P 500.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.nasdaq.com/articles/weighing-the-week-ahead%3A-a-time-for-investors-to-act-2019-11-03
  2. https://www.cnbc.com/2019/11/01/cramers-week-ahead-expect-more-record-market-highs.html
  3. https://uk.reuters.com/article/uk-global-markets-themes-graphic/take-five-marking-the-end-of-a-30-year-peace-dividend-idUKKBN1XB49I
  4. https://seekingalpha.com/article/4301873-trend-friend
  5. https://www.investing.com/news/economy/economic-calendar–top-5-things-to-watch-this-week-2010696
  6. https://www.investing.com/analysis/week-ahead-stocks-to-remain-volatile-on-new-highs–trade-pact-anticipation-200481606
  7. https://finance.yahoo.com/news/earnings-ism-nonmanufacturing-what-to-know-in-the-week-ahead-155140079.html

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kerajaan Baharu Argentina Harap Projek LNG Dengan Petronas Akan Diteruskan – Mondino

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — Kerajaan baharu Argentina berharap projek gas asli cecair (LNG) bersama yang bernilai berbilion dolar dengan syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas, akan diteruskan.

“Kami berharap dapat memberikan semua jaminan yang diperlukan untuk pelaburan ini diteruskan,” kata Menteri Luar, Perdagangan Antarabangsa dan Ibadat Argentina Diana Mondino kepada Bernama.

Mondino, yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi sulungnya, dijangka mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Petronas pada Isnin 18 Mac, 2024 untuk membincangkan aktiviti Petronas di Argentina.

Pada 1 Sept, 2022 Petronas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat minyak dan gas bersepadu terbesar Argentina, YPF, untuk meneruskan kerjasama di negara Amerika Selatan itu dalam projek LNG bersepadu serta bidang lain termasuk minyak huluan, petrokimia dan penyelesaian tenaga bersih.

Selain MoU itu, YPF dan entiti operasi Petronas di Argentina, Petronas E&P Argentina S.A., memeterai perjanjian kajian dan pembangunan bersama ke arah pelaksanaan kajian dan pembangunan potensi projek LNG Bersepadu Argentina.

Perkara itu akan merangkumi pengeluaran gas huluan khusus, pembangunan saluran paip dan infrastruktur khusus, pengeluaran LNG serta pemasaran dan penghantaran.

Keputusan pelaburan akhir (FID) untuk projek itu akan dilaksanakan selepas penilaian teknikal dan komersial yang teliti dijalankan, disokong oleh terma, perundangan dan dasar fiskal yang kondusif.

Pakatan strategik Petronas dengan YPF bermula pada 2014 melalui perkongsiannya dalam projek La Amarga Chica, Vaca Muerta, sebagai sebahagian daripada aspirasi pertumbuhannya di benua Amerika.

Mondino berkata negara itu boleh mengeksport banyak produk gas dan minyak ke peringkat dunia.

“Argentina boleh mengeksport banyak gas kepada dunia namun kami belum mempunyai teknologi untuk mencairkan gas dan pengangkutan…bukan di tahap yang sepatutnya.

“Banyak perubahan politik berlaku di negara saya dan kini, kami jauh lebih pantas. Sebenarnya, perkara ini boleh bermula bertahun-tahun yang lepas namun tidak berlaku. Kami akan memajukan pelaburan seperti ini,” katanya.

Dilaporkan pada 13 Mac, 2024 YPF dan Petronas telah membuat penangguhan selama setahun untuk memuktamadkan FID bagi fasa pertama projek itu.

— BERNAMA