Lima Pemangkin Utama Pergerakan Pasaran Global Pada Minggu Ini (11–15 November 2019)

Satu lonjakan yang meyakinkan dapat dilihat dalam pasaran saham global pada minggu lalu dengan sentimen pelabur sedikit terganggu pada hari Isnin (11 November 2019).

Ketiga-tiga indeks utama saham Amerika Syarikat ditutup pada paras tertinggi dalam penutupan pasaran hari Jumaat (8 November). Indeks S&P 500 juga merekodkan kenaikan selama lima minggu berturut-turut apabila sentimen pelabur dilihat semakin baik terhadap perkembangan rundingan perdagangan Amerika Syarikat – China.

Walaubagaimanapun, keyakinan pelabur sedikit terganggu pada awal hari Jumaat apabila Trump dilaporkan berkata bahawa beliau tidak bersetuju untuk memansuhkan tarif secara beransur-ansur terhadap China. Ia sama sekali bertentangan dengan laporan yang dikeluarkan pada hari Khamis (7 November) bahawa kedua-dua negara telah mempersetujui perkara tersebut.

Sepanjang minggu lalu S&P 500 menokok sebanyak 0.8%, indeks Nasdaq dengan kenaikan 1.1% dan Dow Jones Industrial Average (DJIA) meningkat 1.2%. Nasdaq pula merekodkan kenaikan kali keenam minggu berturut-turut pada penutupan pasaran hari Jumaat.

Walaubagaimanapun pasaran perlu berjaga-jaga kerana telah beberapa kali dikecewakan dengan rundingan perdagangan ini. Situasi positif dapat dilihat beberapa kali dalam rundingan dan tidak semena-mena bertukar keruh kerana kedua-dua pihak mahu mendapatkan perjanjian yang menguntungkan. China telah beberapa kali mengundang kecaman Presiden Donald Trump sekaligus memberikan tekanan kepada pasaran saham global.

Pasaran pada pembukaan hari Isnin (11 November) tertekan apabila terkesan dengan komen yang dibuat oleh Presiden Trump lewat minggu lalu. Pasaran Asia majoritinya menyaksikan lautan merah pada penutupan pasaran hari Isnin hingga menekan indeks-indeks utama Eropah dan Amerika Syarikat.

Antara lain yang akan menjadi perhatian pada minggu ini adalah perkembangan politik UK menjelang pilihanraya umum pada bulan hadapan.

Pelabur-pelabur juga akan memerhatikan data-data terkini ekonomi dunia terutamanya dari Amerika Syarikat, China, Jerman dan Jepun. Amerika Syarikat akan mengeluarkan laporan inflasi dan data jualan runcit pada hari Rabu dan Jumaat. Manakala Jerman, UK dan Jepun akan menerbitkan data pertumbuhan ekonomi untuk suku ketiga tahun 2019.

Berikut adalah lima catalyst utama yang bakal menjadi perhatian para pelabur sepanjang minggu ini.

1. Perang Perdagangan Amerika Syarikat – China

Persoalan yang bermain di benak pelabur pada awal minggu ini adalah sama ada perjanjian fasa pertama AS-China yang diumumkan sebulan lepas kini telah pudar. Hal ini disebabkan terdapat beberapa laporan yang bertentangan dengan perkembangan positif rundingan yang dibuat oleh pihak Amerika Syarikat.

Berikutan laporan pada hari Jumaat (8 November) yang mengatakan Presiden Trump belum bersedia untuk mengurangkan tariff terhadap China – terdapat kebimbangan kesan komen negatif Trump dalam mencapai perjanjian fasa pertama perdagangan bersama China.

Minggu ini pasaran akan terus meneliti perkembangan retorik dari kedua-dua pihak kerana ia bakal memberi kesan kepada sentimen pelabur. Pembukaan pasaran pada Isnin dilihat terkesan dengan komen yang dibuat oleh Trump apabila pasaran Asia ditutup lebih rendah secara keseluruhan.

2. Perkembangan Politik United Kingdom

Parti Konservatif mempunyai 317 kerusi dalam dewan perwakilan UK (House of Commons) daripada 655 kerusi keseluruhan yang akan dipertandingkan dalam pilihanraya akan datang. Tujuan Perdana Menteri Boris Johnson mengadakan pilihanraya lebih awal adalah untuk mendapatkan majoriti yang lebih banyak di Parlimen UK, bagi memudahkan kelulusan rang undang-undang selepas cadangan perjanjian Brexit oleh beliau ditolak oleh parlimen.

Perkembangan terbaru dalam tinjauan suara menunjukkan Parti Konservatif mendahului sokongan berbanding Parti Buruh pada pilihanraya yang bakal diadakan pada 12 Disember 2019 nanti.

Dalam perkembangan terkini, Parti Brexit menyatakan untuk tidak ikut serta dalam pilihanraya nanti sekaligus meningkatkan potensi kemenangan Parti Konservatif dengan majoriti yang lebih besar. Hal ini dilihat membuka peluang yang lebih besar untuk perjanjian Brexit diluluskan di Parlimen UK, jika pihak kerajaan mempunyai kerusi yang lebih banyak di Parlimen UK. Berita ini sekaligus telah menyokong kenaikan matawang Sterling pada hari Isnin.

3. Data Ekonomi Kedua Terbesar Dunia

Data terbaru dari China menunjukkan isyarat awal aktiviti ekonomi yang meningkat di negara itu. Baru-baru ini, data indeks sektor pembuatan Caixin mencatat bacaan tertinggi sejak bulan Mac 2017. Ini adalah kenaikan yang ketiga sejak tiga bulan lalu sekaligus memberi isyarat bahawa ekonomi China mungkin telah kembali ke landasan positif.

Data jualan runcit telah pulih sejak tiga bulan lepas yang menyaksikan ia berkembang 7.8% pada bulan lalu; tertinggi sejak Jun 2019. Pengeluaran industri pula mencatatkan pemulihan apabila mencatat kenaikan 4.4% pada bulan Ogos, seterusnya melonjak kepada 5.8% bulan berikutnya.

Minggu ini, data terbaru pengeluaran industri China akan dikeluarkan pada hari Khamis (14 November 2019) pada pukul 10 pagi dengan jangkaan kenaikan sebanyak 5.5%.

4. Pertumbuhan Ekonomi Dunia

Beberapa negara kuasa besar ekonomi dunia akan membentangkan laporan pertumbuhan ekonomi suku ketiga pada minggu ini. Ia melibatkan negara Jerman, Jepun dan United Kingdom.

Penting untuk pasaran meneliti data yang akan dikeluarkan oleh Jerman pada hari Khamis (15 November), sama ada negara terbesar Zon Eropah itu jatuh ke lembah kemelesetan atau kekal positif.

Di UK, data pada hari Isnin (12 November) merekodkan pertumbuhan ekonomi paling perlahan sejak hampir sedekad yang lalu, apabila kebimbangan terhadap Brexit dan ekonomi global menekan sektor pembuatan negara itu dan juga pelaburan perniagaan.

Pertumbuhan KDNK UK jatuh ke paras 1.0% pada suku ketiga, berbanding 1.3% yang dicatat pada tempoh sebelum itu. Ekonomi UK telah kehilangan momentum sejak referendum Brexit tahun 2016, dan kini isu Brexit masih belum selesai dengan pelbagai ketidaktentuan dalam politik negara ini.

5. Data Ekonomi Amerika Syarikat

Federal Reserve (The Fed) telah menurunkan kadar faedahnya buat kali ketiga tahun ini pada 30 Oktober yang lalu, walaupun ekonomi masih berkembang dengan baik. Masalah yang dihadapi oleh bank pusat AS itu adalah kadar inflasi yang masih belum mencapai sasaran.

Selain untuk menyokong kenaikan inflasi di Amerika Syarikat, penurunan kadar faedah baru-baru ini juga adalah untuk melawan pertumbuhan ekonomi global yang semakin perlahan.

Minggu ini pasaran akan memberi tumpuan kepada data inflasi yang akan dikeluarkan pada hari Rabu (14 November) iaitu indeks harga pengguna (CPI). Bacaan dijangka merekodkan kenaikan 1.7% dengan data teras meningkat sebanyak 2.4%. Walaubagaimanapun data keutamaan The Fed iaitu data perbelanjaan penggunaan peribadi terus bergerak di bawah sasaran 2%.

Hari Jumaat (16 November) pula data jualan runcit akan menjadi tumpuan dengan data pengeluaran industri.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.investing.com/news/stock-market-news/wall-street-opens-lower-as-trump-hong-kong-sour-mood-2017727
  2. https://in.reuters.com/article/us-usa-stocks/sp-500-posts-fifth-week-of-gains-as-wall-st-hits-records-idINKBN1XI1HR
  3. https://in.reuters.com/article/uk-global-markets/trade-deal-doubts-clip-world-stock-rally-oil-wavers-idINKBN1XI032?feedType=RSS&feedName=businessNews&utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+reuters%2FINbusinessNews+%28News+%2F+IN+%2F+Business+News%29
  4. https://in.reuters.com/article/global-precious/gold-hits-three-month-low-faces-biggest-weekly-drop-in-three-years-idINKBN1XI089?feedType=RSS&feedName=businessNews&utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+reuters%2FINbusinessNews+%28News+%2F+IN+%2F+Business+News%29
  5. https://www.cmcmarkets.com/en/news-and-analysis/the-week-ahead-uk-gdp-unemployment-itv-nvidia-results
  6. https://economictimes.indiatimes.com/markets/stocks/news/five-world-market-themes-for-the-week-ahead/articleshow/71982983.cms
  7. https://www.investing.com/news/economic-indicators/uk-economy-grows-at-slowest-annual-rate-since-2010-in-thirdquarter-2017551
  8. https://www.independent.co.uk/news/uk/politics/boris-johnson-news-live-brexit-latest-today-general-election-farage-a9197931.html

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kerajaan Baharu Argentina Harap Projek LNG Dengan Petronas Akan Diteruskan – Mondino

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — Kerajaan baharu Argentina berharap projek gas asli cecair (LNG) bersama yang bernilai berbilion dolar dengan syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas, akan diteruskan.

“Kami berharap dapat memberikan semua jaminan yang diperlukan untuk pelaburan ini diteruskan,” kata Menteri Luar, Perdagangan Antarabangsa dan Ibadat Argentina Diana Mondino kepada Bernama.

Mondino, yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi sulungnya, dijangka mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Petronas pada Isnin 18 Mac, 2024 untuk membincangkan aktiviti Petronas di Argentina.

Pada 1 Sept, 2022 Petronas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat minyak dan gas bersepadu terbesar Argentina, YPF, untuk meneruskan kerjasama di negara Amerika Selatan itu dalam projek LNG bersepadu serta bidang lain termasuk minyak huluan, petrokimia dan penyelesaian tenaga bersih.

Selain MoU itu, YPF dan entiti operasi Petronas di Argentina, Petronas E&P Argentina S.A., memeterai perjanjian kajian dan pembangunan bersama ke arah pelaksanaan kajian dan pembangunan potensi projek LNG Bersepadu Argentina.

Perkara itu akan merangkumi pengeluaran gas huluan khusus, pembangunan saluran paip dan infrastruktur khusus, pengeluaran LNG serta pemasaran dan penghantaran.

Keputusan pelaburan akhir (FID) untuk projek itu akan dilaksanakan selepas penilaian teknikal dan komersial yang teliti dijalankan, disokong oleh terma, perundangan dan dasar fiskal yang kondusif.

Pakatan strategik Petronas dengan YPF bermula pada 2014 melalui perkongsiannya dalam projek La Amarga Chica, Vaca Muerta, sebagai sebahagian daripada aspirasi pertumbuhannya di benua Amerika.

Mondino berkata negara itu boleh mengeksport banyak produk gas dan minyak ke peringkat dunia.

“Argentina boleh mengeksport banyak gas kepada dunia namun kami belum mempunyai teknologi untuk mencairkan gas dan pengangkutan…bukan di tahap yang sepatutnya.

“Banyak perubahan politik berlaku di negara saya dan kini, kami jauh lebih pantas. Sebenarnya, perkara ini boleh bermula bertahun-tahun yang lepas namun tidak berlaku. Kami akan memajukan pelaburan seperti ini,” katanya.

Dilaporkan pada 13 Mac, 2024 YPF dan Petronas telah membuat penangguhan selama setahun untuk memuktamadkan FID bagi fasa pertama projek itu.

— BERNAMA